Majlis Graduasi Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Pelajar Kumpulan Ketiga Tahun 2026

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bismillahirrahmanirrahim 

Alhamdulillahi rabbil’alamin, wassalatu wassalamu ‘ala asyrafil anbiya’i walmursalin, wa’ala alihi wasahbihi ajma’in.

Mengadap, 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia, 

Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin

Pemangku Raja Terengganu

Ampun Tuanku,

Patik dan seluruh Jawatankuasa menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke Majlis Graduasi Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Pelajar Kumpulan Ketiga Tahun 2026. Sesungguhnya dengan keberangkatan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku memberikan pengertian yang amat bermakna buat rakyat jelata yang turut hadir bagi meraikan para graduan program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Kumpulan Ketiga.

Ampun Tuanku,

Izinkan patik untuk berucap sepatah dua kata kepada semua hadirin dan hadirat yang hadir pada hari ini.

Ampun Tuanku,

[SALUTASI]

Majlis pada hari ini begitu bermakna bagi meraikan para graduan yang telah melalui tiga peringkat pengajian, iaitu Ibtidai, Mutawassit dan Mutaqaddim bagi Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Kumpulan Ketiga dalam tempoh yang agak panjang iaitu kira-kira enam tahun.

Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh graduan yang berjaya menamatkan pengajian, serta penghargaan kepada keluarga, para guru dan semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang pengajian tersebut.

PENGORBANAN DAN NILAI PENDIDIKAN

Enam tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Para pelajar melalui pelbagai cabaran sambil membahagikan masa antara pekerjaan, keluarga dan pengajian.

Alhamdulillah, SPAIT terus menjadi antara usaha penting dalam memperkukuh pendidikan Islam di Terengganu khususnya dalam melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak.

Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang terus komited menjayakan SPAIT ini dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh tenaga pengajar SPAIT, warga kerja JHEAT, MAIDAM serta semua pihak yang telah istiqamah dalam memastikan program pengajian ini dapat terus hidup dengan jayanya.

Buat para graduan, sekali lagi saya mengucapkan tahniah. Teruskan menuntut ilmu, teruskan memperbaiki diri dan teruskan berbakti.

Ampun Tuanku,

Sekianlah sahaja persembahan ucapan patik. 

Patik sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat untuk mengurniakan sijil kepada para graduan pada pagi yang penuh bermakna ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufiq walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ampun Tuanku.

Post a Comment

0 Comments