Ini Bukan Masa Bulan Madu – Dr Sam

KUALA TERENGGANU, 11 September – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam urus tadbir bahawa tugas mereka sudah pun bermula dengan gaya pengurusan lebih baik.

Menurutnya, jika penggal lepas semuanya dalam proses pembelajaran tetapi pada penggal kedua gaya pengurusan perlu berubah lebih laju, dan  bukan lagi dalam tempoh berbulan madu.

Katanya, peranan semua pihak yang terlibat dalam urus tadbir negeri diperlukan secara kolektif, bagi mencapai objektif.

“Jika pada penggal pertama masih fasa belajar,’ give and take’, ‘wait and see’ dan bersabar dengan kelemahan tetapi  penggal kedua ini semua Exco dan ketua jabatan, ‘should have shorter learning curve’.

“Selepas hampir sebulan masa pembentukan kerajaan, kita tak mempunyai masa yang panjang untuk 5 tahun akan datang yang dijangka lebih pendek dari itu,” katanya dalam laman facebook rasminya pada hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Bengkel Hala Tuju Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang dianjurkan akan membina satu gerak kerja yang terbaik buat semua pasukan.

“Cabaran yang kita hadapi juga ialah cabaran internal yang melibatkan rakyat dan pemegang taruh selain external. 

“Jika tidak menukar mindset rakyat dan tidak menggunakan peluang, pergerakan kita akan lambat.” jelasnya lagi.

Tambah Dr Ahmad Samsuri, bengkel kali ini turut memfokuskan bagaimana untuk memastikan kecekapan kelulusan projek dapat dilaksanakan dengan pantas. 

“Sentiasalah berlapang dada, memberi jawapan yang cermat dan mempermudahkan urusan pelabur,”ujarnya.

Post a Comment

0 Comments