KUALA TERENGGANU - Terengganu merupakan negeri pertama yang mengeluarkan beras sendiri dengan mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 450 tan metrik beras jenama tersebut bagi setiap musim untuk berada dalam pasaran di negeri ini.
"Beras Ganu ini sudah dikeluarkan pada April tahun lepas. Kita keluarkan 450 tan metrik beras pada setiap musim menuai yang berlaku dua kali setahun iaitu pada April dan Oktober.
"Disebabkan isu yang timbul ketika ini iaitu kekurangan beras, kita terus bekerja keras bagi meningkatkan pengeluaran beras negeri bagi memenuhi permintaan sumber makanan ruji oleh penduduk di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azman berkata, antara langkah yang dilakukan kerajaan Terengganu memecahkan monopoli kartel beras apabila sawah padi di negeri ini dimiliki Melayu Islam sebanyak 100 peratus.
"Dari 12,000 hektar keluasan, 500 hektar merupakan sawah padi yang mempunyai pensijilan MyGAP.
"Padi MyGAP yang dituai dan diproses di Kilang Padi Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Baruh Masin Jabi juga milik Melayu Islam," jelasnya.
Dalam pada itu, Azman berkata, beras MyGAP dengan jenama Beras Ganu dibungkus oleh Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri.
Beliau menambah, pembungkusan itu dilakukan di Kilang Pembungkusan Beras TADC di Kampung Telaga Papan Setiu.
"Beras Ganu diedarkan di Pasaraya Ameen Hallmart di Kampung Losong, Kuala Terengganu yang merupakan sebuah pasar raya milik Melayu Islam.
"Jadi kita alu-alukan orang ramai untuk membeli Beras Ganu. Ia adalah satu-satunya jenama beras 100 peratus tempatan dalam negara yang mempunyai pensijilan MyGAP yang telah diuji selamat dari segi kualiti dan biosekuriti," jelasnya.
Azman juga merancang untuk mengedarkan beras tempatan keluaran Terengganu ke negeri lain untuk memenuhi keperluan.
"Insya-ALLAH ada cadangan. Kita akan tingkatkan kapasiti pengeluaran beras untuk edarkan ke negeri lain," ujarnya.
0 Comments