Bantuan Input Penternakan Beri Manfaat Kepada 610 Penternak


 KUALA NERUS, 13 September- Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM3 juta bagi tujuan agihan input yang dibahagikan kepada tiga sektor iaitu pertanian, penternakan dan perikanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi sektor pertanian lebih kurang RM1 juta diperuntukkan dan memberi manfaat kepada 610 orang penerima di seluruh negeri ini. 

"Ini adalah siri kedua daripada program agihan input penternakan ruminan dimana kita telah selesaikan penyerahan bagi daerah Besut serta Setiu dan daerah-daerah lain akan menyusul selepas ini. 

"Bagi pengagihan di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus hari ini, melibatkan 151 orang penerima dimana kita agihkan antaranya makanan ternakan, mesin chooper dan juga beberapa kelengkapan untuk buka padang ragut, " ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Input Penternakan Ruminan Tahun 2023 bertempat di Dewan Masyarakat Tok Jiring, di sini, hari ini.

Katanya, insentif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi membantu penternak yang berhadapan dengan isu kenaikan harga dedak binatang ternakan.

"Bila kita tidak dapat atasi faktor-faktor dari luar daripada kawalan, kita masuk kepada 'angle' lain yang berada dalam kawalan kita diantaranya beralih kepada sumber makanan hijau.

"Sebab itu kita agihkan mesin chopper supaya penternak boleh manfaatkan rumput napier, batang jagung dan sebagainya, " jelas beliau. 

Mengulas lanjut katanya, penternak juga digalakkan untuk membuka lebih banyak padang ragut. 

"Dengan langkah ini, penternak akan ada kawasan untuk ambil rumput, bila sumber makanan hijau kita mencukupi dengan sendirinya kebergantungan kepada sumber dedak akan berkurangan dan mampu mengurangkan dari segi kos penternakan, " ujarnya.

Dr Azman memaklumkan, pelan besar kerajaan negeri adalah untuk meningkatkan dari segi pengeluaran daging.

“Sekarang ini dari segi self-sufficiency ratio (SSR) baru sekitar 34 peratus hasil ternakan Terengganu mencukupi untuk keperluan rakyat, 60 peratus lebih kita masih bawa daripada luar.

"Sebab itulah pada masa yang sama kita tambah bilangan ternakan, keluasan padang ragut dan kita cuba nilai tambahkan produk yang kita ada contohnya lembu sado yang sudah menjadi sebahagian daripada trend penternak muda di Terengganu.

Katanya, sektor penternakan akan terus menjadi fokus kerajaan negeri dalam usaha merealisasikan pelan besar untuk menjadikan Terengganu sebuah negeri pengeluar makanan.

Post a Comment

0 Comments