MB Terengganu ikon MySESMA 2023


KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan sebagai ikon Alumni Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (MySESMA 2023).

Ahmad Samsuri adalah bekas pelajar SESMA selama lima tahun bermula 1983 sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Bahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1993.

Majlis penganugerahan kepada Ahmad Samsuri disampaikan Presiden MySESMA, Datuk Mohd Zuber Embong pada majlis Minum Petang Perdana sempena sambutan ulang tahun ke-50 SESMA di Taman Tamadun Islam (TTI) semalam.

Pada program itu, kira-kira 1,200 bekas pelajar SESMA termasuk Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Yahya Ali hadir.

Mohd Zuber berkata, program itu diadakan sebagai penghargaan atas kecemerlangan bekas pelajar SESMA yang kini berjaya dalam pelbagai bidang diceburi.

"Kejayaan MySESMA mengumpul dana sebanyak RM2 juta untuk kegunaan SESMA dalam tempoh kira-kira enam bulan adalah hasil sokongan dan usaha semua bekas pelajar.

"Dana berkenaan akan digunakan bagi pembelian bas baru untuk SESMA bagi menggantikan bas lama yang sudah uzur," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zuber berkata, dana itu juga akan digunakan untuk projek menaik taraf surau sekolah selain pembinaan gelanggang sukan serbaguna tertutup untuk kegunaan pelajar.

Katanya, dana itu juga akan digunakan bagi menubuhkan Yayasan MySESMA untuk kebajikan pelajar.

"Bas lama yang dinyahmilik oleh kerajaan akan diubah suai sebagai kafe dan diletakkan dalam kawasan masjid Wakaf Tembusu," katanya. 

Post a Comment

0 Comments