Hudud: Penjelasan Exco Kerajaan Terengganu


 KUALA TERENGGANU: Menjawab isu kenapa kerajaan Terengganu tidak melaksanakan hukum hudud selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memberi penjelasan.

Katanya, pelaksanaan hukum hudud yang pertama sekali perlu jelas dari segi tasawur berkait dengan undang-undang jenayah syariah.

Kata beliau, ada dua perspektif yang perlu dilihat, pertama ialah taknim, undang-undang jenayah syariah Islam dan kedua, taqdiq undang-undang jenayah Islam.

Taknim bermaksud kerajaan negeri mengkanunkan undang-undang syariah Islam supaya ia terdapat dalam undang-undang bagi negeri Terengganu.

Proses untuk mentaknimkan undang-undang jenayah syariah Islam suatu proses yang panjang kerana ia melibatkan bidang kuasa negeri dan bidang kuasa pusat atau persekutuan.

“Apa yang dilaksana oleh PAS sejurus diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 1999 di bawah kepimpinan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah proses untuk mentaknimkan undang-undang jenayah syariah Islam hudud, qisas dan takzir.

“Akhirnya pada tahun 2001 Dewan Undangan Negeri Terengganu telah meluluskan untuk menerima Enakmen Jenayah Syariah Hudud, Qisas dan Takzir bagi negeri Terengganu,” katanya di sini.

Proses taknim ia diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kerana di sana ada bidang kuasa pusat dan negeri. Jadi selesai satu tanggungjawab kerajaan Terengganu untuk mentaknimkan.

Keduanya bagaimana untuk kita laksanakan. Jadi untuk menjawab persoalan itu ia satu tanggungjawab yang sangat besar dan rumit untuk dilaksanakan kerana melibatkan bidang kuasa negeri dan persekutuan.

Kata Dr Muhammad Khalil kalau kita lihat sebagai contoh dalam perlembagaan persekutuan mengungkapkan bahawa mana-mana perlembagaan di peringkat negeri tidak boleh dilaksanakan hukuman lebih daripada 3,5,6 iaitu 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebat atau rotan.

Enakmen jenayah syariah sebahagian daripada hukuman-hukuman itu melebihi apa yang telah dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya ialah hukuman ke atas seseorang yang minum arak, ada ulama sebut 80 sebatan, ada yang kata 40 sebatan, jadi ia melebihi apa yang telah dihadkan oleh perlembagaan persekutuan.

Maka di sini kita mempunyai masalah untuk melaksanakan, di samping isu-isu yang lain seperti penguatkuasaan, pendakwaan, pihak berkuasa yang menjaga keselamatan iaitu polis dan seumpamanya untuk menangkap orang yang bersalah.

“Itu antara isu-isu yang perlu kita lihat juga. Sebab itulah apa yang penting kita perlu lihat dari segi semangat, kesungguhan dan iltizam kerajaan negeri untuk terus memperkasakan syariah Islam di Terengganu termasuk undang-undang syariah Islam.

“Saya bagi perumpamaan yang mudah, kita umpama bawa kereta bila kita sampai dekat trafic light ada lampu merah, jadi kita tidak matikan enjin, cuma kita tidak boleh berjalan, kereta hidup bila lampu bertukar hijau maka kita akan jalan.

“Maknanya kita sudah mentaknimkan undang-undang jenayah syariah tetapi kita tidak boleh laksanakan lagi, kita tunggu lampu hijau insya-Allah sekiranya lampu hijau menyala kita akan laksanakan, soalnya bila, itu kita tidak tahu, yang penting iltizam ada,” ujarnya.

Beliau juga berkata, apabila bercakap tentang syariah Islam kita selalu dimomokkan hudud, bila sebut tentang Islam, qisas seolah-olah dalam syariah Islam tujuan untuk menghukum orang yang berzina direjam, mencuri potong tangan, orang yang minum arak dengan hukumannya sedangkan falsafah kepada syariat Islam itu sangat luas.

Antara syariat Islam ialah kerajaan berintegriti, kerajaan yang memberikan kebajikan kepada rakyat, kerajaan yang menggalak dan mempromosikan agenda dan program yang maaruf. Itu semua sebahagian daripada syariah Islam.

Dalam konteks negeri Terengganu sekarang masuk penggal kedua di bawah pemerintahan PAS (PERIKATAN NASIONAL) usaha diteruskan bagi memperkasa agenda pelaksanaan syariah Islam akan dilahirkan kerajaan berintegriti, berkebajikan kepada rakyat dengan menggalakkan program-program makruf yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Contohnya boleh lihat dalam manifesto yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan kebanyakannya melibatkan kebajikan rakyat.

Contohnya kebajikan kepada anak muda dengan memberi lesen percuma, bagi golongan tua dan berumur yang bukan penjawat awam disediakan bantuan Pencen Rakyat dan ibu tunggal golongan B40 dibantu memiliki rumah Qardul Hassan atau i-Rahman dan lain-lain lagi.

Dr Muhammad Khalil berkata, agenda pelaksanaan Islam perlu dilihat dengan lebih menyeluruh dan luas bukan sahaja dalam konteks berkaitan hudud dan qisas sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Menang kali kedua

Dr Muhammad Khalil diamanah sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan menang di Dun Batu Buruk.

Dan sekali lagi diberikan amanah bertanding di Dun berkenaan pada PRN 12 Ogos lepas.

Pada penggal lepas beliau diamanah sebagai Timbalan Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan negerivdi bawah Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.

Dan pada penggal ini mempengerusikan portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.

Pada penggal lepas portfolio itu dipengerusikan Dato’ Mohd Nor Hamzah.

“Cuma ada sedikit perubahan dari segi bidang tugas, yang mana sebahagian bidang tugas yang berada dalam portfolio lepas dialih kepada portfolio yang dipegang Dato’ Satiful Bahari Mamat berkait dengan pembinaan modal insan.

“Ada pun yang berada dalam portfolio tersebut dialih kepada portfolio yang saya diberikan amanah.

“Saya lihat apa yang telah dimulakan Dato’ Mohd Nor sangat meyakinkan dan banyak program yang dilaksanakan dengan jayanya,” kata Dr Muhammad Khalil.

Menurutnya beliau akan meneruskan program-program yang telah diatur oleh Exco sebelum ini dan cuba diperlengkapkan lagi.

Kata beliau dari sudut dakwah akan dikembangkan lagi kepada rakyat Terengganu dengan lebih menyeluruh.

Post a Comment

0 Comments