MB Terengganu ucap takziah atas pemergian Pengarah Urusan Sabasun


 KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Pengarah Urusan Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd, Che Salmi Che Ibrahim yang meninggal dunia pada awal pagi Selasa.

Ahmad Samsuri menyatakan khabar pemergian itu turut mendukacitakan rakyat Terengganu.

"Sangat terkesan dengan pemergian pemilik Pasaraya Sabasun, Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim pada pagi tadi.

"Antara kebaikan terbesar beliau sebelum dijemput Ilahi ialah memutuskan untuk tidak menjual sebarang produk boikot di Pasaraya Sabasun," katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.

Ahmad Samsuri turut mendoakan kesejahteraan Allahyarham Che Salmi dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Che Salmi menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada jam 4.45 pagi akibat kanser.

Allahyarham merupakan antara penyumbang besar kepada Palestin dan berani menyatakan boikot secara terang-terangan terhadap semua produk Israel di Sabasun HYPErRUNCIT.

Pada Februari lalu, premis berkenaan mengumumkan untuk tidak lagi menjual sebarang produk yang memberikan keuntungan kepada negara haram Israel bermula 1 Mac tahun ini.

Syarikat Sabasun yang ditubuhkan pada 2 April 1995 di Terengganu itu mempunyai seramai 450 pekerja kesemuanya terdiri dalam kalangan warga tempatan selain menjual 350 barangan syarikat Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) dan membekalkan 3,500 jenis barangan yang menjana pendapatan RM3 juta sebulan untuk barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Setakat ini, syarikat berkenaan mempunyai enam cawangan iaitu di Bukit Kecil, Kuala Terengganu; Wakaf Tembesu di Kuala Nerus; Kijal, Ajil dan Cheneh di Kemaman serta sebuah cawangan di luar Terengganu iaitu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Post a Comment

0 Comments