KUALA TERENGGANU : Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (YPM) menyediakan peruntukan sebanyak RM74.8 juta untuk melaksanakan semua aktiviti berkaitan pendidikan sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norhana Yaakub berkata, jumlah itu terus meningkat berbanding peruntukan sebanyak RM62.9 juta yang telah disalurkan tahun lalu.
Menurutnya, terdapat 12 program pembiayaan yang dilaksanakan YPM untuk membantu semua pelajar mengikut keperluan mereka melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
Katanya, antara pembiayaan tersebut ialah bantuan awal hendak menyambung pengajian, bantuan semasa berada Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bantuan sekali bayar (one off) ke luar negara dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk anak asnaf.
“Terbaharu, YPM turut menyediakan program pembiayaan pelajar iaitu biasiswa penuh ke Tunisia dan Algeria dalam beberapa bidang termasuk pengajian Islam mulai tahun ini.
“Kita sediakan 60 tempat untuk pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sepanjang tahun ini, YPM mensasarkan seramai 12,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan menerima bantuan awal pengajian termasuk ke peringkat Asasi, Diploma dan Matrikulasi.
Tambahnya, seramai 25,000 lagi pelajar IPT sedia ada pula dijangka menerima bantuan one-off untuk memastikan mereka dapat mengikuti pengajian dengan lancar.
“Kita tidak hanya menumpukan kepada bidang akademik semata-mata malah bidang TVET turut diberi bantuan terutama kepada anak-anak asnaf untuk mengubah kehidupan mereka.
“Pada tahun lalu, YPM telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk program latihan TVET yang dijalankan dengan kerjasama institusi kerajaan dan pihak industri,” katanya.
0 Comments