KMI Kuala Terengganu Menang Anugerah Kecemerlangan Industri 2024


 KUALA TERENGGANU, 13 Jun - KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMI Kuala Terengganu) meraih Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024, anugerah berprestij yang diiktiraf di peringkat nasional bagi menghargai sumbangan industri terhadap pembangunan ekonomi negara.

Kejayaan KMI Kuala Terengganu itu diumumkan pada satu majlis yang diadakan di The Majestic Hotel yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pengurus Besar KMI Kuala Terengganu, Salina Long berkata, AKI adalah pengiktirafan penting oleh kerajaan bagi meraikan syarikat-syarikat yang menunjukkan kecemerlangan dalam sektor masing-masing. 

“Memenangi anugerah ini mengukuhkan dedikasi KMI Kuala Terengganu untuk menetapkan piawaian tertinggi dalam perkhidmatan kesihatan dan misi yang berterusan bagi meningkatkan penjagaan pesakit dan kecemerlangan operasi. 

“Pengiktirafan berprestij daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ini turut menandakan pencapaian luar biasa Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan inovatif kepada masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Katanya, penilaian untuk AKI 2024 adalah berdasarkan Kerangka Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), sebuah kerangka penilaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang digunakan untuk mempromosikan amalan terbaik global dalam kecemerlangan perniagaan.

 "Kami amat berbesar hati menerima AKI 2024 dan penghargaan ini adalah bukti kerja keras seluruh pasukan yang komited terhadap kecemerlangan, memastikan sentiasa memenuhi keperluan pesakit dan kepentingan semua pemegang taruh.

“Kami juga berbangga menjadi syarikat pertama dari Terengganu yang merangkul anugerah nasional, sangat bersyukur atas pengiktirafan ini dan akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek perkhidmatan," jelasnya.

Katanya, KMI Kuala Terengganu diketengahkan kerana perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, amalan pengurusan yang inovatif, dan peranannya dalam memajukan industri kesihatan di Malaysia.

Tambah beliau, pencapaian tersebut tidak akan dicapai tanpa sokongan staf KMI Kuala Terengganu yang tekun bekerja, pesakit yang menaruh kepercayaan dan pemegang taruh yang sentiasa menyokong usaha untuk memperkukuhkan industri kesihatan di Negeri Terengganu.

Post a Comment

0 Comments