Usul penyasaran diesel industri pelancongan dibawa di Dewan Negara

KUALA TERENGGANU: Usul berkaitan subsidi diesel terhadap industri pelancongan akan dibawa untuk dibahas pada sesi persidangan Dewan Negara dalam masa terdekat ini.

Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris berkata, beliau akan mengemukakan usul memohon penyasaran subsidi diesel tersebut terutama kepada pengusaha serta penggiat pelancongan di Semenanjung.

Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu berkata, usul tersebut diketengahkan berikutan keluhan berhubung kenaikan kos operasi oleh pemain industri berkenaan.

Menurutnya, beliau mahu mencadangkan agar kerajaan menyenaraikan pengusaha pelancongan di Semenanjung sebagai penerima subsidi bahan api itu seperti yang dinikmati di Sabah dan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada penggiat pelancongan selepas penyasaran diesel sejak dua minggu lalu.

“Saya akan bawa usul ini ke sidang Dewan Negara yang akan datang agar subsidi diesel juga diberikan kepada pemain industri pelancongan di Semenanjung seperti di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Razali berkata demikian selepas merasmikan Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 di Dataran Shahbandar di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga menerima permintaan daripada pemain industri supaya kerajaan Pusat mengkaji semula penyasaran diesel urunkan yang didakwa mendadak dan mengejut.

Terdahulu akhbar ini melaporkan keluhan pengusaha pelancongan terdiri daripada peniaga dan pengusaha bot di Pulau Redang yang menanggung kenaikan kos operasi susulan harga baharu diesel.

Selain itu, turut dikatakan menghadapi masalah sama adalah pemilik rumah bot di Tasik Kenyir yang sudah mula berkira-kira untuk menaikkan harga perkhidmatan bagi tahun ini. 

 

Post a Comment

0 Comments