15,000 peminat sukan permotoran berhimpun di Terengganu


 KUALA TERENGGANU: Lebih 15,000 peminat sukan permotoran bakal hadir memeriahkan Terengganu International Bike Week (TIBW) selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, lebih 3,000 peminat sukan pemotoran itu adalah merupakan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara.

Razali menjelaskan, TIBW edisi ke-11 ini merupakan himpunan terbesar peminat motosikal berkuasa tinggi dengan tiga hadiah utama cabutan bertuah turut menjadi rebutan pengunjung.

“Hampir 3,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, Brunei, Indonesia, Thailand serta Singapura telah mendaftar sebagai peserta TIBW 2024.

“Pelbagai pengisian telah diatur seperti gerai jualan, pameran, dan ceramah santai agama selain hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Harley Davidson, Yamaha NVX serta Yamaha RXZ.

“Kita sasarkan 15,000 pengunjung akan hadir pada perhimpunan kali ini berbanding 10,000 pada tahun lalu,” katanya selepas merasmikan TIBW 2024 di Dataran Shahbandar di sini, hari ini.

Tambah Razali lagi, penganjuran TIBW 2024 juga mampu merancakkan sektor ekonomi selain membantu mencapai sasaran 4.5 sehingga 5 juta pelancong ke negeri itu pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, lebih 1.5 juta pelancong telah direkodkan di Terengganu dalam tempoh suku pertama 2024 sekaligus memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri.

“Banyak program pelancongan disusun dalam kalendar acara bakal diteruskan mengikut perancangan dan kita yakin boleh mencapai sasaran 4.5 sehingga 5 juta pelancong tahun ini,” tambahnya. 

Post a Comment

0 Comments