Syor jawatankuasa khas Kabinet tangani dakwaan ketirisan diesel babit nelayan - EXCO Terengganu


KUALA TERENGGANU: Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menyelesaikan isu ketirisan subsidi diesel di laut terutama membabitkan nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicadangkan sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

Katanya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli boleh membantu jawatankuasa berkenaan dengan mencadangkan formula penyelesaian isu ketirisan subsidi diesel di laut dengan berkesan.

"Dakwaan kegiatan penyeludupan diesel dalam kalangan nelayan di laut oleh Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan adalah serius.

"Dakwaan Rafizi itu membabitkan integriti dan kemampuan agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menyusun segera mekanisme pengurusan dan kawal selia penyaluran minyak subsidi kepada nelayan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rafizi ketika berucap pada pengumuman calon Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Bakap Rabu lalu dilaporkan berkata, ada dua cara penyeludup seludup keluar diesel. Satu jalan darat melalui sempadan, dan kedua melalui nelayan yang seludup diesel melalui bot-bot nelayan yang diisi dari skid tank.

Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi, berkata profesion nelayan yang menyambung nyawa di lautan bagi menyumbangkan bekalan makanan kepada negara turut terjejas berikutan momokan dengan dakwaan negatif oleh Rafizi.

Dakwaan berlaku penyelewengan subsidi diesel di laut itu mengguris perasaan kalangan nelayan.

"Disebabkan pelbagai kementerian yang bertanggungjawab dalam penguat kuasa undang-undang di laut, kita cadangkan agar jawatankuasa Kabinet khas ini diwujudkan.

"Tiada gunanya kita menuding jari menyalahkan pelbagai agensi penguat kuasa atas dakwaan berlakunya ketirisan diesel di laut, sebaliknya penubuhan jawatankuasa itu mampu merungkaikan isu seperti dakwaan," katanya.

Kerajaan masih mengekalkan subsidi diesel kepada nelayan dengan kadar RM1.65 seliter meskipun pelaksanaan penyasaran subsidi diesel membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran telah dilaksanakan mulai 10 Jun lalu.

Bagi membendung penyelewengan bahan subsidi itu dalam kalangan nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan menetapkan tiada lagi pembelian secara pukal diesel oleh nelayan bagi mengekang berlakunya aktiviti penyeludupan.

Untuk rekod, harga runcit bahan api diesel terkini telah ditetapkan kerajaan kadar RM3.35 seliter di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia manakala harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Post a Comment

0 Comments