KUALA TERENGGANU: Kumpulan Terengganu Inc, syarikat pelaburan milik kerajaan negeri menyalurkan sebanyak RM500,000 untuk memperkasakan bidang pendidikan dengan menaja pelajar cemerlang pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, ini adalah tahun kedua penyaluran sumbangan untuk Tabung Biasiswa GLC (syarikat milik kerajaan) yang ditubuhkan sejak tahun 2022 dengan jumlah keseluruhan RM1 juta.
Menurutnya, kolaborasi dengan Yayasan Terengganu itu bertujuan meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat-syarikat korporat Negeri Terengganu sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada pelajar cemerlang terutama dari golongan keluarga berpendapatan rendah.
“Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. bersama-sama kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd., Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC.
“Yayasan Terengganu pula bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang yang terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis menandatangani Perjanjian YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2023 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 10 pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI bagi ambilan kedua tahun 2023 turut hadir menerima surat tawaran, komputer riba dan tablet masing-masing.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Terengganu, Datuk Mohd. Azmi Mohamad Daham berkata, setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun.
Menurutnya, kesemua penerima biasiswa itu sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa universiti awam dalam negara dengan pengkhususan bidang perundangan, pengurusan muamalat, analitik data, sains komputer, sains statistik, pengurusan alam sekitar, pentadbiran perniagaan dan teknologi pertanian.
0 Comments