KUALA TERENGGANU - Jambatan Angkat Kuala Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi jambatan pertama di dunia yang beroperasi hampir sepenuhnya menggunakan tenaga solar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, bangunan ikonik yang menjadi mercu tanda Terengganu itu menggunakan 98 peratus tenaga solar sejak setahun lalu.
Menurutnya, kejayaan memperkasakan tenaga boleh diperbaharui itu bukan sahaja membanggakan negeri Terengganu, malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Jambatan ini telah berdaftar di bawah Green Energy Tariff dan menerima sijil pengiktirafan daripada The International Tracking Standard Foundation, mengukuhkan lagi statusnya sebagai jambatan pertama seumpamanya di dunia yang beroperasi menggunakan tenaga solar.
"Sepanjang 2024, penggunaan elektrik di jambatan itu mencatatkan 176 megawatt (MW) untuk menara utara dan 294 MW di menara selatan.
"Peralihan kepada tenaga solar ini merupakan usaha kita menyahut seruan kerajaan untuk mencapai kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environmental, Social and Governance - ESG)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian pengurusan dan pengoperasian Jambatan Angkat antara kerajaan negeri dengan Terengganu Inc di sini, baru-baru ini.
Melalui perjanjian tersebut, Terengganu Inc menerusi anak syarikatnya, TI Properties Sdn Bhd, terus diberi mandat untuk mengendalikan operasi Jambatan Angkat itu selama lima tahun lagi sehingga 31 Mei 2029.
Dalam pada itu, Burhanuddin Hilmi berkata, pihaknya turut menyasarkan kedatangan 150,000 pelancong sepanjang 2025 menerusi kerjasama dengan penggiat industri pelancongan di seluruh negeri.
Beliau optimis Jambatan Angkat itu akan terus menjadi tarikan pelancongan utama, sekali gus merancakkan industri pelancongan dan ekonomi Terengganu.
"Sejak dibuka pada 2019, jambatan ikonik ini telah menarik 595,579 pelancong dari dalam dan luar negara.
"Setakat ini, binaan tersebut turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk Best New Tourism Icon, Kuala Terengganu pada 2019 dan Malaysia Tourism Quality Assurance (Gold Award) 2023," ujar beliau. - Sinarharian
0 Comments