CHUKAI: Keputusan kerajaan untuk meningkatkan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) kepada negeri sebanyak 25 peratus bermula 2026, membuktikan hubungan baik antara kerajaan Pusat dengan negeri.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia juga menunjukkan perbincangan sihat yang berlangsung antara kedua-dua pihak, sekali gus membugarkan semangat federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau berkata, ia juga adalah satu permulaan ke arah usaha menambah baik beberapa kadar pemberian lain kepada negeri dengan mengambil kira perbezaan demografi.
"Kali terakhir kadar ini dipinda ialah pada 2002. Sudah pasti dalam tempoh 20 tahun banyak perubahan telah berlaku dari aspek populasi rakyat dan nilai ekonomi.
"Dalam tempoh itu, kadar populasi Terengganu telah meningkat sebanyak 31.6 peratus daripada 936,000 penduduk pada 2002 kepada 1.23 juta penduduk kini.
"Alhamdulillah, saya kira ini adalah satu permulaan baik dalam kita melakukan lebih banyak penambahbaikan dengan meneliti beberapa kadar pemberian lain kepada negeri yang wajar dikaji dengan mengambil kira perbezaan demografi antara semua negeri di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Terengganu 2025 dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Sultan Ahmad, di sini, hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa mulai 2026.
Terdahulu hari ini, Anwar turut menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Terengganu bersama-sama Ahmad Samsuri di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Timur, di sini.
Sejurus selesai mesyuarat, Anwar terus mengadakan tinjauan mesra di Bazar Masjid Sultan Ahmad. - Bharian
0 Comments