Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Apresiasi Kontinjen SUKMA dan PARA SUKMA Terengganu


Assalamualaikum wbt.

(Salutasi)

Pendahuluan

1.    Alhamdulillah, rasa kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan kita bersama walaupun sedang berpuasa bagi menjayakan Majlis Apresiasi Kontinjen SUKMA dan PARA SUKMA Terengganu yang telah bertanding di Temasya SUKMA ke 21, Sarawak pada tahun 2024.

2.    Penghargaan buat Kontinjen SUKMA Terengganu yang dipimpin oleh Ketua Kontinjen bersama dengan timbalan-timbalannya dan semua pembantu yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan kita dapat bertanding dalam suasana yang penuh dengan semangat kesukanan.

3.    Tahniah dan juga terima kasih setingginya kepada  juga dirakamkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat EXCO Sukan dan timbalan serta semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menjadi bapa angkat masing-masing serta jabatan-jabatan angkat yang memberikan sokongan secara langsung dan tidak langsung bagi persiapan Kontinjen SUKMA 2024 dan ketika temasya berlangsung di Sarawak.

4.    Secara keseluruhannya, sebagaimana yang kita maklum, kita berada di tangga yang kelima secara keseluruhan pada kali ini dengan memperolehi 41 Emas, 36 Perak dan 47 Gangsa di belakang tuan rumah Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

5.    Tentunya pencapaian ini bukan pencapaian yang menjadi sasaran kita tetapi saya percaya semua para atlet bersama dengan jurulatih masing-masing, pengurus pasukan dan bapa-bapa angkat telah mencuba pendekatan, cara dan perjuangan yang seboleh mungkin untuk mencapai kemenangan dalam acara masing-masing tetapi biasalah adat bertanding, ada menang ada kalah, apa yang paling penting ialah tidak ada di antara kita yang merasa lemah semangat, tidak ada di antara kita yang merasa down, terutama ketika kita melakukan persiapan, kita bangkit kembali untuk kita bertarung dalam edisi SUKMA di Negeri Selangor nanti.

6.    Secara umumnya, saya nak sebut beberapa pasukan antaranya Pasukan Judo mendapat Emas terbanyak dengan kutipan  6 Emas, diikuti oleh Berbasikal, Pencak Silat dan Memanah yang mendapat 5 Emas. Keempat-empat sukan ini kita menjadi juara secara keseluruhan.  Berikan tepukan.

7.    Memang kita tak nafikan bahawa antara kekangan dan halangan kepada kita yang saya percaya negeri lain pun sama juga berdepan dengan kekangan yang sama ialah logistik yang agak memberi tekanan psikologi kepada kita semua jika bertanding di tempat yang agak jauh daripada Semenanjung. Tapi saya percaya segala kelemahan-kelemahan yang kita hadapi sebelum ini kita jadikannya sebagai satu pengajaran  dan kita rangka strategi baru, berusaha kembali untuk kita kembali ke puncak kejuaraan SUKMA.

8.    Sukan Tenpin Bowling pula mencipta rekod tersendiri apabila mendapat pingat Emas yang pertama kepada Kontinjen Terengganu sejak SUKMA diadakan. Manakala Sukan Kriket menyumbangkan pingat sulung kepada kontinjen iaitu pingat Gangsa.

9.    Sukan tempur pula menjadi penyumbang utama kepada kontinjen dengan kutipan keseluruhan adalah sebanyak 18 pingat Emas. 7 sukan tempur yang menyumbang pingat Emas ialah Judo (6), Silat (5), Taekwondo (3), Karate (1), Tinju (1), Muay Tay(1) dan Wushu (1). Ini semua pendekar la ni yang ada di antara kita.

10.                   Untuk Temasya Sukan Para Malaysia ( ParaSukma ) 2024 adalah melibatkan atlet yang bertanding seramai 74 orang.  Kita berada di tempat kesembilan daripada 15 penyertaan dengan kutipan 10 Emas, 19 Perak dan 15 Gangsa dan keadaan ini adalah pencapaian yang baik berbanding tempat ke-13 pada Para SUKMA pada 2022 yang lalu. Tahniah saya ucapkan.

11.                   Tahniah dan syabas juga kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri yang diketuai oleh Pengarahnya sendiri, Tuan Haji Asmadi bin Mohamad serta semua para pegawai, persatuan, atlet dan semua pihak yang terlibat dalam PARA SUKMA kali ini.

12.                   Alhamdulillah, bagi menghargai pengorbanan dan ketekunan para atlet, maka hari ini Negeri akan mengagihkan insentif kemenangan dengan kadar yang bersesuaian dengan pencapaian kita pada kali ini iaitu RM 3000 untuk pemenang pingat emas, RM 2000 untuk pingat perak dan RM 1000 untuk gangsa sama rata untuk atlet SUKMA dan PARA SUKMA dengan melibatkan peruntukkan secara keseluruhan yang diagihkan kepada semua para pemenang SUKMA dan Para SUKMA berjumlah RM 1,082,000.00.

Hadirin hadirat sekalian,

13.                   Sekali lagi saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat untuk meletakkan Terengganu pada tahap yang tinggi dalam bidang sukan, terutamanya dalam Kejohanan SUKMA dan PARA SUKMA pada kali ini. Insya-Allah, kita akan bangkit untuk berada di puncak dalam SUKMA edisi berikutnya di Negeri Selangor nanti.

14.                   Sekian, Wabillah Hitaufik Wal Hidayah Wassalamualaikum WBT.

Post a Comment

0 Comments