Terengganu tegas haramkan vape - Ahmad Samsuri


 KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu tetap dengan pendirian mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape meskipun sedar keputusan itu berisiko menjejaskan sokongan politik.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dibuat atas dasar tanggungjawab kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat terutama generasi muda.

"Kami sedar ada yang tidak bersetuju, tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami tidak boleh hanya melihat dalam aspek politik semata-mata.

"Kami perlu memikirkan kesan jangka panjang, terutama dalam melindungi pelajar sekolah daripada bahaya vape yang semakin berleluasa,” katanya memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri pada Ahad.

Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan negeri bersedia menghadapi sebarang risiko politik kerana keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat.

Dalam masa sama, katanya, beliau turut berharap golongan muda memahami bahawa larangan ini bukan bertujuan menyusahkan mereka, sebaliknya demi kesejahteraan masa depan.

"Kami tidak mahu anak muda terjerumus dalam budaya yang boleh merosakkan kesihatan mereka. Ini adalah amanah yang perlu kami pikul walau apa jua cabaran," katanya.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Kerajaan Terengganu masih belum membuat keputusan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape di negeri ini.

Jelas beliau, kertas cadangan mengenainya sudah disiapkan dan akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat. - Sinarharian

Post a Comment

0 Comments