SETIU, 4 Mac - Meskipun bukan secara langsung, anak-anak syarikat kerajaan negeri turut menyumbang kepada kelancaran program Wad Kelas Ketiga Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu semenjak tahun 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sumbangan mereka diperolehi melalui pelbagai program lain yang dilaksanakan.
"Secara langsung tidak, tetapi melalui akaun disatukan, sumbangan mereka dikira ada dalam menjayakan program wad kelas ketiga percuma.
"Untuk membiayai program itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebahagian kewangan yang ada.
"Sumbangan daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri memang ada, tetapi disumbangkan melalui pelbagai program lain yang diadakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, petang semalam.
Hadir sama meninjau pelaksanaan bazar Ramadan ialah timbalannya, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama ADUN Langkap, Azmi Maarof dan ADUN Permaisuri, Mohd Yusof Majid.
Wan Sukairi memaklumkan, program wad kelas ketiga percuma telah memberi manfaat kepada seramai 224,000 orang dengan peruntukan lebih RM12 juta semenjak dimulakan pada tahun 2019.
"Program ini kita telah sambung sehingga tiga tahun (sehingga 2028) memandangkan keberkesanan yang ada dan sambutan luar biasa ke atas program ini yang memberikan kemudahan kepada rakyat," katanya. - TRDI
0 Comments