PAS mesti terus beri manfaat kepada semua – Samsuri


 KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap parti itu akan terus memberi manfaat kepada umat Islam serta rakyat berbilang kaum di negara ini. 

Berucap dalam program Tamrin Qiadi PAS Negeri Terengganu, beliau berkata, PAS bukan hanya sekadar parti politik, tetapi sebuah gerakan yang bertanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat. 

“Moga PAS akan menjadi satu parti yang dapat berterusan memberi manfaat kepada umat Islam dan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam apa jua cabaran mendatang,” katanya. 

Samsuri yang juga Menteri Besar turut mengingatkan ahli PAS agar terus menjaga akhlak dan adab dalam perjuangan politik, sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang. 

“Suka untuk saya ingatkan kepada ahli-ahli parti PAS termasuk diri sendiri bahawa 9 Mei 2018 merupakan suatu tarikh keramat bagi PAS kerana kita telah diamanahkan satu tanggungjawab yang amat besar oleh rakyat.

“Namun begitu, sebagai pembangkang mahupun kerajaan, perlulah kita sentiasa menjaga akhlak dan adab yang baik. Lebih-lebih lagi sebagai kerajaan, kita akan lebih diperhatikan dan diharapkan oleh rakyat untuk membela nasib mereka,” katanya.

Untuk rekod, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS terus mengukuhkan kedudukannya dengan mengekalkan pentadbiran di Kelantan serta mengambil alih Terengganu daripada Barisan Nasional (BN). 

Sepanjang tempoh itu, PAS giat melaksanakan pelbagai usaha dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kebajikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 9/3/2025

Post a Comment

0 Comments