KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu merancang menubuhkan sebuah entiti petroleum milik negeri dikenali sebagai Terengganu Petroleum sebagai langkah strategik mengukuhkan hasil ekonomi negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada bayaran royalti petroleum daripada Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, entiti tersebut dijangka menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negeri hasil penglibatan dalam segmen penerokaan dan pengeluaran (E&P) minyak serta gas pada masa hadapan.
"Perolehan dari segmen E&P ini dijangka membolehkan matlamat jangka pertengahan dicapai, untuk lahirnya sebuah entiti 'Terengganu Petroleum' yang mampu bergerak lebih jauh.
"Ia juga akan menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan keseluruhan kluster minyak dan gas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu, seterusnya mengurangkan kebergantungan kerajaan terhadap royalti semata-mata.
"Ini adalah perkara baharu yang tiada sebelum tahun 2018," katanya ketika ucapan penggulungan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, selain memperjuangkan hak royalti, kerajaan negeri juga melaksanakan usaha memperkasa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Terengganu Incorporated (TI) dan EPIC Berhad yang kini aktif dalam industri minyak dan gas.
Menurut Ahmad Samsuri, setakat ini EPIC dan anak-anak syarikatnya berjaya memperoleh nilai kontrak dalam tangan sebanyak RM1.8 bilion sehingga 31 Disember 2024.
Katanya, Terengganu Inc turut mengenal pasti dua lapangan minyak bersama rakan strategik dari Oman untuk diambil alih operasinya sebagai langkah ke arah pembentukan entiti baharu itu yang dijangka memberi lonjakan besar kepada hasil negeri.
Jelas beliau, statistik semasa turut menunjukkan kebergantungan Terengganu terhadap royalti semakin berkurangan sejak kerajaan negeri diterajui Pas bermula 2018.
"Purata peratusan kebergantungan kepada royalti berbanding jumlah hasil negeri berkurang kepada 75.7 peratus bagi tempoh 2018 hingga 2024, berbanding 83.9 peratus antara 2008 hingga 2013 dan 81.3 peratus dari 2014 hingga 2017.
"Ini jelas membuktikan kerajaan negeri berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018,” ujarnya.
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri tidak berusaha mencari sumber pendapatan lain selain bergantung kepada royalti petroleum.
"Berdasarkan rekod kewangan, hasil cukai dan bukan cukai negeri menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun lalu.
"Purata tahunan hasil bagi tempoh 2008 hingga 2013 adalah sebanyak RM189.1 juta, meningkat kepada RM234.9 juta bagi tempoh 2014 hingga 2017, dan melonjak lagi kepada RM256 juta sepanjang 2018 hingga 2024," katanya. - Sinar Harian
0 Comments