Suhakam digesa siasat TCO dikenakan ke atas MB Terengganu


 KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) digesa menyiasat dakwaan pencabulan hak privasi melibatkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta beberapa individu lain selepas didakwa menjadi sasaran tindakan pengawasan melalui mekanisme ‘Travel Control Order’ (TCO) secara senyap.

Gesaan itu dinyatakan menerusi memorandum diserahkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohd Soud Said @ Mat Ali kepada Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus di Kuala Lumpur sekitar jam 3 petang pada Isnin.

Menurut Mohd Soud, pemantauan pergerakan tanpa had oleh pihak berkuasa bukan sahaja melanggar hak asasi manusia tetapi juga membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, selain bertentangan dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

"Pemantauan yang tidak dikawal ini berisiko menjadi senjata untuk penindasan politik serta menekan hak kebebasan bersuara rakyat dan media," katanya.

Dalam masa sama, beliau mendesak kerajaan supaya menghentikan serta-merta pemantauan seperti itu dan menubuhkan sebuah badan pemantau bebas yang memiliki kuasa siasatan serta tanggungjawab melapor secara telus.

"Rakyat Malaysia berhak untuk hidup dalam suasana aman, bebas daripada pemantauan melampau yang mencabuli privasi mereka," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Jelasnya, tindakan itu dilihat mencabul hak asasi manusia, khususnya hak kebebasan bergerak seperti yang dijamin di bawah Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan terhadap YAB Menteri Besar Terengganu.

Turut didedahkan dalam memorandum itu ialah komunikasi peribadi Ahmad Samsuri yang didakwa turut dipantau secara tidak sah, sekali gus mencabuli hak privasinya sebagai individu dan penjawat awam.

Dalam pada itu, peguam, Datuk Dr Kamilia Ibrahim menegaskan, rakyat tidak menuntut layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut keadilan yang sewajarnya sebagai suara yang sah dalam sistem demokrasi.

"Perkara ini dianggap sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dalam kerajaan Persekutuan yang dipercayai menggunakan jentera negara untuk menekan tokoh politik yang mempunyai pendirian berbeza.

"Tindakan seperti ini adalah berbahaya kepada amalan demokrasi dan mencipta iklim ketakutan serta tekanan ke atas mana-mana pemimpin yang memperjuangkan idealisme politik secara berprinsip," ujar beliau.

Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan beliau pernah dikenakan TCO seperti Ahmad Samsuri, namun telah ditarik balik atas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendakwa dikenakan pemantauan TCO sehingga panggilan telefonnya diawasi.

Naib Presiden Pas itu berkata, langkah berkenaan menjadikan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata (tidak dikehendaki) di tanah air sendiri.

Bagaimanapun, Razarudin berkata, tiada keperluan untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu itu dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah. - Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments