KUALA TERENGGANU, 18 April – Kerajaan Negeri Terengganu terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berjaya memperoleh nilai kontrak mencecah RM1.8 bilion menjelang Disember 2024, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar dan perancangan kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2018, yang memberi fokus kepada pemerkasaan GLC dan pemelbagaian sumber hasil negeri.
"Syarikat GLC kita mencatat peningkatan hasil yang berlipat ganda setiap tahun sejak 2018.
"Ini bukan sekadar angka, tetapi petunjuk jelas bahawa strategi kita mula membuahkan hasil nyata," katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman.
Menurut Menteri Besar, antara GLC yang mencatatkan kejayaan adalah EPIC Berhad bersama anak syarikatnya, yang kini aktif dalam pelbagai segmen industri minyak dan gas, termasuk hiliran (downstream), pertengahan (midstream), dan perkhidmatan huluan (upstream services).
"Mereka terlibat dalam penyelenggaraan, logistik, dan pengurusan gudang.
"Setakat 31 Disember 2024, jumlah kontrak dalam tangan yang diperolehi adalah sebanyak RM1.8 bilion,” jelasnya. - TRDI
0 Comments