KUALA TERENGGANU - Sebanyak 7,721 lot 'tanah terkilan' telah diluluskan kepada rakyat Terengganu sejak kerajaan negeri pimpinan Pas mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018 hingga Februari lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu melibatkan 6,303 tanah lot tapak rumah dan 1,418 lagi kelulusan tanah pertanian di semua daerah.
Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan tempoh tertentu bagi pengurusan kelulusan 'tanah terkilan' bagi mengelakkan berlakunya (aduan atau permohonan) yang tidak berkesudahan.
"Bagaimanapun, dalam masa yang sama kita tetap menilai dari kes ke kes untuk meneliti sekiranya ada yang terlepas pandang sepanjang proses ini dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shafizi (Pas - Batu Rakit) dalam sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.
Istilah 'tanah terkilan' merujuk kepada tanah yang pernah diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) pada 1999, namun hak milik tanah tersebut didakwa ditarik balik atau 'dirampas' selepas Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Terengganu pada PRU11, tahun 2004.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan meluluskan lagi lot 'tanah terkilan' sekiranya ada aduan baharu daripada rakyat, bergantung kepada penilaian kes demi kes.
"Setiap permohonan akan diteliti dan dipertimbangkan mengikut keperluan serta kelayakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kerajaan negeri telah meluluskan keseluruhan 40,977 lot tanah kepada rakyat sepanjang tempoh pentadbiran Pas bermula Mei 2018 hingga Februari lalu.
Jelasnya, daripada jumlah itu, 30,771 lot adalah permohonan tanah bangunan manakala 10,206 lot lagi melibatkan tanah pertanian.
"Setiu merekodkan jumlah kelulusan tertinggi iaitu 8,364 lot, diikuti Kemaman (7,997), Dungun (7,817), Marang (6,542), Hulu Terengganu (4,204), Besut (3,853), Kuala Nerus (1,181) dan Kuala Terengganu sebanyak 1,019 lot," ujarnya. - Sinarharian
0 Comments