Assalamualaikum wrh brh
Yang
Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Ketua Ketua Jabatan Negeri
dan Persekutuan,
Pegawai – pegawai Perkhidmatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai dan petugas Dewan Undangan
Negeri
Pemerhati, Rakan Media, dan semua yang mendengar Sidang DUN kali ini.
1. Alhamdulillah, kita telah sampai ke penghujung Mesyuarat pertama Sidang Dewan Undangan Negeri ke 15 pada hari ini. Sebelum meneruskan ucapan, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua, dan yang mengikuti persidangan kita pada hari ini.
2. Mengambil kesempatan pada hari ini juga, mewakili pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri yang ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Bin Ahmad Badawi. Semoga beliau ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh. Amin ya Rabbal ‘aalamin.
3. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih, kepada semua Ahli- Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian, dalam perbahasan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
4. Terima kasih atas semua pandangan, kritikan, cadangan dan persoalan oleh semua Ahli Yang Berhormat di sepanjang Sidang kali ini. Saya senantiasa memperingatkan Ahli Yang Berhormat, bahawa walaupun semua Ahli Yang Berhormat yang ada dalam Dewan ini, adalah dari sebelah Kerajaan sahaja, tetapi ianya tidak menghalang Ahli Yang Berhormat, untuk memberikan kritikan secara membina - kerana kami semua yang di amanahkan ini tidak sempurna, ada kelemahan, dan tidak tahu semua perkara, dan yang paling penting ialah, kita semua menggalas tugas mengurus-tadbir Negeri Terengganu kita yang tercinta ini, sebagai sebuah pasukan.
5.
Sebahagian besar persoalan yang
dikemukakan dalam Dewan ini – samaada soalan lisan atau bertulis, atau yang
dibangkitkan semasa perbahasan titah, telah dijawab oleh pentadbiran ini, dan
juga digulung mengikut portfolio masing – masing oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, saya
hanya akan menyentuh perkara yang tertentu sahaja, untuk makluman Ahli – Ahli
Yang Berhormat.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
6. Selain dari di dalam Dewan ini, sudah tentu kita juga menerima pandangan, cadangan dan kritikan dari pihak yang berada di luar dari dewan ini - samada rakyat awam yang datangnya (dalam berbagai bentuk dan kaedah, dan berbagai medium komunikasi termasuk di kedai kopi dan pasar tempat awam atau mana-mana jua tempat awam), pandangan pegawai dan professional samada dari rakyat Terengganu atau sesiapa sahaja, dari kalangan NGO, kumpulan think-tank, dan lain lain.
7. Kita mestilah menilai pandangan mereka ini, dan tangani semua pandangan mereka dengan dada yang terbuka, jiwa yang kuat dan fikiran yang tenang, dengan kefahaman bahawa mungkin ada di antara aduan mereka yang betul dan mungkin ada yang tidak betul.
8.
Mana – mana yang betul dan berasas,
kita jadikannya sebagai nasihat. Mana yang tidak betul, kita jadikannya sebagai
rujukan persepsi, yang mewajarkan kita menilai kelemahan kita. Sabda Nabi SAW
dalam hadith Riwayat Muslim, Abu
Daud dan an-Nasa’I yang bermaksud :
“Agama itu merupakan
nasihat. Kami bertanya: ‘Bagi siapa?’ Baginda Nabi SAW bersabda: ‘Bagi Allah,
Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
9. Di masa yang sama, kita juga tidak naif. Selain dari kritikan yang asli, terdapat juga tulisan nakal yang tidak berasas yang disusun atur dengan serangan bertubi – tubi kepada Kerajaan dan saya, dengan berunsur adu domba yang ditambah rempah ratus dan fitnah yang bertebaran.
10. Peribahasa Melayu menyebut : Sudah terang lagi bersuluh, siang bagai hari terang bagai bulan. Sungguh jelas kepada kita, bahawa apabila dibuat data crawling dan data analytics (dengan izin), dan dipaparkan graf analitik terhadap serangan ini, ianya datang dari tidak lebih dari 4 nod/punca utama (yang semuanya kita kenal dari mana puncanya), yang akhirnya diarahkan untuk melancarkan serangan, kerana menyangka ianya adalah point utama untuk menyerang Kerajaan, disambut oleh cybertrooper ideological dan berbayar ini. Kesimpulan kepada kita – bahawa serangan ini adalah serangan dari kelompok yang kecewa perjuangan politik, kurang kasih sayang, dan bukannya berlaku secara organik, dan bukannya sesuatu yang kita patut tidak lena kerananya.
11.
Kepada mereka ini, saya ingin
nasihatkan, dan nasihat ini juga kepada diri
kita sendiri, bahawa
semua yang kita lakukan ada perkiraan dosa dan
pahalanya. Jangan sampai fitnah yang berlegar seantero dunia ini, akan menjadi
belenggu api di leher penyebar fitnah, di yaumul
mahsyar nanti, sehingga menjadi muflis pula di sana.
Memperkukuh Sistem
Federalisme
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
12. Terima kasih kepada YB Pengkalan Berangan dan Sura yang telah menyentuh berkenaan amalan federalisme, berkait dengan hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan. Saya ingin tegaskan, bahawa adalah menjadi tekad Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan sistem federalisme, dan hubungan dengan kerajaan Persekutuan yang menjadi asas dalam pembinaan negara Malaysia.
13. Konsep federalisme yang diamalkan di Malaysia ini perlu dipertahan dan diperkukuhkan. Federalisme yang berfungsi dengan baik, bukan sahaja memupuk pembangunan seimbang antara Persekutuan dan Negeri, bahkan turut menjamin hak rakyat, untuk menikmati hasil pembangunan tanpa diskriminasi politik.
14. Namun begitu, kerangka sistem federalisme berdasarkan Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan (yang direkabentuk sebagai asas kemerdekaan Malaysia tahun 1957) yang diamalkan dalam negara kita pada ketika ini, adalah lebih cenderung kepada centralized federalisme (dengan izin), yang telah meletakkan kuasa kerajaan Persekutuan yang lebih luas dan besar dari sudut bidang kuasa dan sumber kewangan, menjadikan kerajaan negeri amat bergantung kepada Kerajaan Persekutuan secara amalannya.
15. Suasana semasa menghadapi tahun awal kemerdekaan 1957, dan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, memungkinkan prinsip pembahagian kuasa ini adalah sesuai dan tepat pada ketika itu, iaitu semasa kita mula merangkak. Tetapi apabila negara Malaysia pada waktu ini sudah mula mampu berlari, sudah tentu ada aspek pembahagian kuasa ini wajar dinilai kembali.
16. Menurut Dr Muhammad Fathi Yusof (seorang pakar perlembagaan) dalam tulisannya 68 tahun Federalisme di Malaysia, menyebutkan tentang isu pergantungan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat sebagai “pergantungan ini berpunca dari sumber kewangan cukai dan bukan cukai yang dibenarkan kepada Kerajaan Negeri adalah terhad.”
17. Sistem ini juga telah membuka ruang, dan boleh dimanipulasi menerusi tekanan ke atas kerajaan-kerajaan negeri, yang dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan dari segi politik, dengan kerajaan di peringkat Persekutuan.
18. Oleh itu, saya mencadangkan agar sistem federalisme yang ada pada ketika ini, perlu dilakukan penambahbaikan (dan untuk rekod, saya juga pernah membangkitkan hal ini dalam Dewan Rakyat dengan penambahbaikan), dengan mengambilkira suasana dan keadaan semasa yang semakin berkembang. Sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan reform (dengan izin), sebagai contohnya daripada centralized federalisme kepada co-operative federalisme.
19. Pendekatan co-operative federalism yang saya lontarkan ini, bukanlah suatu konsep baharu, bahkan telah terbukti keberkesanannya di negara- negara yang mengamalkan sistem persekutuan secara lebih matang.
20. Walaupun tidak sama kedudukannya dengan penubuhan Malaysia, tetapi sebagai contohnya untuk penilaian dan pengetahuan kita semua, adalah seperti The Tasmanian Commonwealth-State Agreement Principles of Participation di Australia, yang menggariskan beberapa prinsip kerjasama seperti memaksimumkan penyelarasan satu-satu keputusan dengan matlamat dan objektif Kerajaan Negeri, meminimumkan birokrasi dan kos pentadbiran, dan meminimumkan sebarang sekatan yang boleh menghalang usaha Kerajaan Negeri untuk berpartisipasi dalam apa jua bentuk kerjasama yang ada. Melalui pendekatan ini juga, kerajaan negeri dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan keutamaan pembangunan negeri masing- masing, berdasarkan keperluan setempat.
21. Di samping itu, co-operative federalism dapat mengurangkan ketegangan politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, terutama apabila pentadbiran berada di bawah parti yang berbeza. Objektif yang kita ingin capai ialah, memperkukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sebarang perubahan pimpinan politik dalam Negara serta menambah keyakinan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran.
22. Reformasi federalisme kedua yang boleh dilaksanakan, adalah dalam bentuk kajian semula pengembalian cukai kepada negeri, berdasarkan prinsip kecekapan bagi mengukuhkan fiskal negeri (yang saya juga pernah bangkitkan dalam Dewan Rakyat). Antaranya melalui Tax Sharing Agreement yang memberikan satu pecahan tetap, melalui formula khusus yang dipersetujui bersama.
23. Reformasi ketiga, saya juga mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Khas, bagi memberi input, serta cadangan reformasi sistem federalisme negara yang lebih realistik dan praktikal, sesuai dengan kepantasan sesebuah Negeri dan Negara untuk bergerak seiring, dalam kitaran global pada waktu ini dan masa hadapan.
24.
Sekali lagi saya tegaskan, teguran
dan pandangan yang saya lontarkan ini, adalah untuk memperkukuhkan sistem
federalisme yang termaktub dalam perlembagaan, supaya negeri dan Negara dapat
bergerak seiring untuk mencapai kesejahteraan kehidupan, dan keharmonian yang
lebih berpanjangan.
Kebergantungan Royalti
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
25. Terima kasih kepada YB Kemasik, Pengkalan Berangan, Bukit Besi, Kuala Besut dan Bukit Tunggal; yang ada menyentuh tentang sumber hasil baharu dan kebergantungan negeri kepada royalti, dan saya kira YB EXCO Kota Putera telah memberikan respon berkenaan sumber hasil baharu ini, hari ini saya hanya ingin menyentuh berkenaan kebergantungan negeri kepada royalti.
26. Sebagaimana yang saya jelaskan berkenaan dengan sistem federalisme tadi, masih ada yang tidak faham atau buat-buat tidak faham tentang perkara ini. Sebab itulah apabila kita memperjuangkan isu Royalti Petroleum, mereka memperlekeh kononnya kita mengemis ihsan Kerajaan Persekutuan; seolah-olah kita selalu dan terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan. Hal ini jelas pendirian kita, bahawa royalti petroleum adalah hasil hak negeri, walaupun ada pihak di kalangan rakyat Terengganu sendiri yang seolah-olah menafikan hasil bumi bertuah ini.
27. Lebih tersasar, apabila mereka memburuk-burukkan kita kononnya kita tiada usaha untuk berdikari mencari hasil lain, untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti. Oleh yang demikian, saya fikir elok juga saya perjelaskan perkara berkenaan di sini.
28. Pertama, berdasarkan rekod kewangan Kerajaan Negeri, purata tahunan jumlah hasil cukai dan bukan cukai bagi tempoh 2008 hingga 2013 ialah RM189.1 juta, dan bagi tempoh 2014 hingga 2017 ialah RM234.9 juta. Manakala bagi tempoh 2018 sehingga 2024 meningkat kepada RM256.0 juta.
29. Kedua,
purata tahunan peratusan Royalti (atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan)
berbanding jumlah hasil pula bagi tempoh 2008 hingga 2013 ialah 83.9%
kebergantungannya, dan bagi tempoh 2014 hingga 2017 ialah 81.3%
kebergantungannya. Manakala bagi tempoh 2018 hingga 2024, selari dengan
peningkatan hasil, peratusan ini berkurang kepada 75.7%.
33. Apa yang ingin saya buktikan ialah, bahawa Kerajaan Negeri hari ini tetap mempunyai rancangan dan telah melaksanakan usaha untuk meningkatkan hasil, dan mempelbagaikan sumber hasil serta mengembangkan ekonomi.
34. Antara yang ketara perbezaannya ialah, keupayaan Syarikat Berkait Kerajaan (GLC) atau di setengah negara disebut sebagai State Owned Enterprises, di mana di Terengganu telah mencatatkan kejayaan revenue yang berlipat ganda setiap tahun berbanding sebelum kami mengambil alih kerajaan pada tahun 2018.
35. Selain daripada itu juga, dalam usaha untuk meningkatkan hasil, sekali gus sebagai salah satu lagi hasil baharu Kerajaan, sebagai satu contohnya, sebuah syarikat di bawah Terengganu Incorporated (TI), iaitu EPIC Berhad & anak-anak syarikatnya, telah dan sedang melebarkan aktivitinya dengan berkecimpung di dalam segmen minyak & gas seperti aktiviti hiliran (“downstream”), pertengahan (“midstream”) dan servis huluan (“upstream services”).
36. Aktiviti yang sedang disertai adalah seperti penyelenggaraan (“maintenance, construction & modification” (MCM)), logistik, “warehousing”, dengan nilai kontrak dalam tangan yang diperolehi sebanyak RM1.8 bilion (sehingga 31 Disember 2024).
37. Bagi melengkapkan keseluruhan portfolio petroleum, Kumpulan Terengganu Inc juga sedang dalam proses mengembangkan aktiviti di dalam segmen huluan, penerokaan & pengeluaran (“upstream exploration & production, E&P”) bagi melengkapkan penyertaan syarikat GLC Terengganu, di dalam keseluruhan rantaian nilai industri minyak & gas.
38. Terengganu Inc juga telah mengenalpasti syarikat yang berpangkalan di Oman untuk menjadi rakan strategik, dalam aktiviti pengeluaran minyak dan gas ini.
39. Dua lapangan minyak turut dikenalpasti oleh Terengganu Inc, dan rakan strategiknya untuk diambilalih operasinya, dan sekarang ini perbincangan awal telah dimulakan dengan pihak PETRONAS.
40. Perolehan dari segmen penerokaan dan pengeluaran (E&P) ini, dijangka
membolehkan matlamat jangka pertengahan dicapai, untuk lahirnya sebuah entiti “Terengganu
Petroleum” yang mampu bergerak lebih jauh,
dan akan menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan keseluruhan kluster
minyak & gas syarikat GLC Terengganu, seterusnya mengurangkan kebergantungan Kerajaan terhadap royalti
semata - mata. Dan ini adalah perkara baharu yang
tiada sebelum tahun 2018.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,
41. Beberapa Ahli – Ahli Yang Berhormat juga membangkitkan tentang agenda pembangunan negeri. Sebagai ulangkaji kita bersama, inilah yang kita jenamakan di bawah satu pelan induk (masterplan) iaitu PELAN INDUK TERENGGANU SEJAHTERA 2030 (PITAS2030), yang merupakan satu perancangan komprehensif dan holistik, yang merangkumi pengukuhan ekonomi dan pembangunan fizikal serta spirituam rakyat.
42. Di dalam PITAS2030 penggal ini, Kerajaan telah menyenaraikan 93 program Pembangunan Berimpak Tinggi atau High Impact Portfolio Program (HIPP) pada tahun ini dan tambahan baharu, yang diselaraskan kepada setiap portfolio exco.
43.
Mengikut laporan pencapaian
pelaksanaan PITAS2030 bagi 2024, pihak kerajaan telah berjaya menyempurnakan 32
program atau 34.4 %, 38 program atau
40.9% sedang dalam pelaksanaan dan 19 program lagi 20.43% dalam peringkat
perancangan. Hanya ada 4 program atau 4.3% sahaja yang masih di peringkat
kertas konsep. Ini dari keseluruhan daripada 93 program yang kita rangkakan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
46. Kerajaan Negeri terus komited meneroka potensi sumber asli secara lestari dan beretika, khususnya dalam sektor Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE). Seperti semua sedia maklum, hasil daripada kajian geosains yang telah dijalankan, dan Terengganu dikenal pasti mempunyai potensi yang paling signifikan NR-REE di Malaysia.
47. Namun demikian, pembangunan sektor ini mesti dilaksana secara berhati-hati (supaya kita tidak mengulangi kelemahan yang berlaku dalam sector silika – perkara sama yang dibangkitkan oleh YB Seberang Takir dan lain - lain), dengan keutamaan kepada pematuhan teknikal, pendekatan berhemah dan berfasa, dan libat urus komuniti bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
48.
Satu kerangka kerja (framework) dan
peta jalan (roadmap) NREE Terengganu telah dirangka, dan dirujuk khusus
untuk pembangunan dan tadbir urus mineral yang berharga
ini, agar manfaat yang terbanyak kembali kepada rakyat negeri ini.
50. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri sedang giat meneroka kerjasama strategik dengan negara-negara lain seperti Australia, Jepun, dan Korea bagi mendapatkan teknologi alternatif yang lebih terbuka dan lestari, termasuklah fokus utama adalah pemain industri dan pakar rakyat tempatan.
Intimidasi Politik
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
54. Terima kasih YB Bandar, Bukit Tunggal, Batu Rakit, Permaisuri dan Sura yang menyentuh tentang berkenaan dengan isu intimidasi dan tekanan politik yang dikenakan kepada saya. Berkenaan hal ini, saya tidak berniat untuk mengulangi kembali kesemua 18 poin yang telah saya sebutkan dalam kenyataan media saya sebelum daripada ini.
55. Perkara yang dibangkit-tularkan di kalangan yang menyerang pula, telah secara tersasar cuba membawa perkara yang tidak berkait dengan poin utama yang saya bangkitkan, seolah lupa bahawa saya berdepan dengan perkara ini hanya dalam tempoh 6 bulan terakhir ini sahaja, sedangkan saya mula menggalas jawatan ini sejak tahun 2018 lagi.
56. Tentunya kita semua tidak naif dan saya tidak naif. Maka ditimbulkan seolah saya tidak tahu peraturan imigresen, bahawa TCO ini adalah perkara biasa seperti orang lain juga, bahawa saya tidak tahu kesan sebagai VIP (dan berkenaan terma VIP ini, agak segan untuk saya sebutkan di sini, tapi perlu juga saya gagahkan menyebutnya, supaya masing – masing tahu pandangan saya berkenaan dengan terma VIP, yang mungkin tidak sama dengan pandangan mainstream (dengan izin).
57.
Sebagai satu contohnya, ini agak privasi sedikit tetapi saya sebut juga
sebagai pengetahuan dan maklumat. Saya
pernah ditanya oleh anak – anak, ketika
saya memandu sendiri kereta
bersama mereka ke KTCC dan tempat – tempat lain :– Kenapa saya tidak
pernah meletakkan kereta di tempat
parking VIP ketika saya ke sana, tidak pernah sejak
dari menjadi Menteri Besar ?. Jawapan saya pada anak – anak : “Siapa VIP ? Abah
ke KTCC adalah atas urusan peribadi, bukan urusan rasmi tugas sebagai Menteri
Besar, dan tentu ada Very Important
Person lain yang ada keperluan mendesak untuk meletakkan kereta di situ”.
Jadi, baru boleh faham bagaimana takrifan saya dan kefahaman saya tentang VIP.
63.
Sekiranya sistem dan struktur ini diganggu, maka kita akan berdepan dengan
kitaran ganas (vicious cycle),
yang akan berulang-ulang setiap kali perubahan politik berlaku, dan inilah
antara punca ketidak-selesaan di kalangan penjawat awam, ketidak harmonian
dalam masyarakat, ketidak stabilan dasar, yang akhirnya membawa pada
terhakisnya keyakinan pihak pelabur pada kita.
Burung tempua terbang rendah,
Sang helang pula mencari mangsa, Penggulungan saya hampir sudah,
Maaflah jika panjang dari biasa
Kalau anda pergi ke sawah, Sila singgah di
pondok saya, Kalau ada ucapan yang salah, Mohon kiranya maafkan saya.
Penutup
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
67. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, semua ahli-ahli Yang Berhormat yang berada dalam Sidang DUN pada kali ini.
Dengan ini, saya menyokong dan menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Sekian, terima kasih.
0 Comments