Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Pelancaran Logo Sambutan 60 Tahun Penubuhan PMINT


Assalamualaikum

(SALUTASI)

KATA-KATA ALUAN


1.    Alhamdulillah. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bersama dalam Majlis Pelancaran Logo Sambutan 60 Tahun Penubuhan PMINT


2.    Tadi ada bergurau dengan Dato’ Nara Setia, dia kata 60 tahun ni, sama umur dengan dia. Saya ingat Dato’ Nara baru umur 45. Penubuhan PMINT selama 60 tahun dan saya ada tanya juga pada ketua pegawai eksekutif tadi, bangunan PMINT yang ada sekarang ini, dimaklumkan mula beroperasi dan digunakan pada tahun 1988. Ada benda yang ironi, yang saya boleh sebutlah pada tuan-tuan, pada tahun 1988 itu, ketika saya lepas pada SPM, masuk matrikulasi, saya pernah naik ke bangunan PMINT, bertemu dengan seseorang yang bertugas di PMINT, jadi saya tak nak sebut la siapa dia, nanti orang gi cari dia pulok, siapa yang bertugas di PMINT pada waktu itu dan hari ini bermula daripada 2018 saya menjadi Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PMINT pula, “What a coincidence dengan apa yang berlaku.”


3.    Tema sambutan 60 tahun ialah “Membina Masa Hadapan” dan tentunya hari ini adalah Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan PMINT.

Hadirin dan hadirat sekalian,

4.    1 April 2025 pada tahun ini, maka genaplah 60 tahun penubuhan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu yang lebih dikenali PMINT. Tahniah setingginya, kepada mereka yang telah memulakan langkah bagi menghidupkan PMINT, jasa orang lama-lama ini, ada dan sangat memberi erti kepada negeri Terengganu. Tahniah juga kepada semua warga yang melaksanakan semua tanggungjawab sejak sekian lama. Pekerja, warga PMINT, ahli keluarganya silih datang dan pergi. Semuanya ada jasa dan bakti yang telah ditaburkan untuk menggerakkan PMINT sehinggalah PMINT berkembang sebagai sebuah badan berkanun negeri yang unggul serta dihormati pada hari ini.

5.    Saya penuh yakin bahawa PMINT bersama dengan 9 anak syarikatnya, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, saban hari saban waktu, ahli-ahli lembaga melihat prestasi anak syarikat, ada yang turun naik, ada yang merah, ada yang hijau, silih berganti. Takpe, yang penting ialah kita terus berusaha, saya percaya bahawa semua akan mampu untuk membawa perubahan yang positif dalam pembangunan negeri Terengganu dengan sentiasa mengambil inisiatif-inisiatif baru dalam menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan, mempelbagaikan pembangunan di dalam sektor hartanah, pelancongan dan perindustrian dalam suasana dunia yang semakin mencabar pada hari ini, tambah-tambah pada tempoh sehari dua ini.

Hadirin dan hadirat sekalian,

6.    PMINT perlu terus meningkatkan keupayaan warga kerjanya dengan membudayakan amalan kerja cemerlang, memperkasakan budaya produktif dan inovatif, berprestasi serta berintegriti dalam memikul tanggungjawab semua. Memang kita berdepan dengan dilema, separuh badan kita, kita melihat adalah anggota penjawat badan berkanun negeri dan di sana ada budaya kerja syarikat-syarikat, anak syarikat dan syarikat pertama yang perlu mengalami transformasi ke arah budaya kerja yang lebih profesional dan sesuai ataupun at par paling tidaknya dengan perkembangan operasi sesebuah syarikat korporat. Ini adalah cabaran yang perlu kita laksanakan bukan sekadar merasakan sebahagian diri kita ini adalah kakitangan kerajaan semata-mata.

7.    Transformasi yang dilaksanakan oleh PMINT akan membuka dimensi baru agar PMINT lebih dinamik dan progresif bagi mencapai sasaran keberhasilan utama Kerajaan Negeri Terengganu. Sekali lagi, tahniah kepada semua.

Hadirin dan hadirat sekalian,

8.    Berpantun sikit. 

Pergi mencari ikan gelama,

Terjumpa pula ikan aya,

Kepada warga PMINT baharu dan lama,

Setinggi tahniah dari saya.

 

Singgah di dahan si burung belatuk,

Dahan yang kuat laginya kukuh,

60 tahun PMINT dibentuk,

Semoga terus kekal utuh.

 

9.Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya melancarkan Logo Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penubuhan PMINT.

Semoga terus maju dan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

 

Sekian.

 

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Post a Comment

0 Comments