Jika Sistem Rosak, Negara Gagal - MB Seru Reformasi Pentadbiran


 KUALA TERENGGANU, 18 April – Menteri Besar Terengganu memberi peringatan bahawa jika sistem dan struktur pentadbiran negara terus diganggu oleh campur tangan politik sempit, Malaysia bakal terjerumus ke dalam kitaran ganas yang berulang setiap kali perubahan kuasa berlaku.

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kestabilan negara bukan terletak pada siapa yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi pada institusi yang kekal neutral, telus dan berfungsi di atas prinsip keadilan.

"Sekiranya sistem dan struktur ini diganggu, maka kita akan berdepan dengan kitaran ganas, yang berulang-ulang setiap kali perubahan politik berlaku," katanya dalam penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam. 

Beliau menegaskan bahawa krisis politik yang berterusan akan mencetuskan keresahan dalam kalangan penjawat awam, mengganggu keharmonian masyarakat dan merencatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

"Ini akhirnya membawa kepada terhakisnya keyakinan pihak pelabur pada kita," kata beliau.

Menurut beliau, negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan mampu mengekalkan kestabilan dasar walaupun sering berlaku perubahan kepimpinan, kerana mereka tidak merosakkan struktur kerajaan yang telah dibina.

"Di sana, struktur dan sistem negara tetap kukuh, dan ketidaktentuan ekonomi sangat minima," ujarnya memberi perbandingan.

Justeru, beliau menyeru agar reformasi pentadbiran dilaksanakan secara berfasa, terutamanya jika berlaku perubahan kuasa di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

"Sudah tentu semua agensi pelaksana dan penguat kuasa akan terus kekal, kerana mereka adalah orang yang sama juga yang akan menjalankan tugas jika kami diamanahkan rakyat nanti," katanya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments