'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam


 KUALA TERENGGANU, 19 April – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan peringatan penuh makna bahawa kuasa politik adalah sesuatu yang bersifat sementara, manakala sistem pentadbiran adalah warisan yang wajib dijaga daripada dicemari kepentingan peribadi.

Menurut beliau, sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun pemimpin mampu terus menongkat langit dan kekal berkuasa selama-lamanya.

"Ada ketika kita berkuasa dan ada ketika kuasa hilang dari tangan kita," katanya dalam sesi penggulungan DUN, di Wisma Darul Iman, kelmarin. 

Beliau menegaskan bahawa struktur kerajaan tidak boleh sekali-kali dipaksa untuk tunduk kepada kehendak politikus yang ingin mengekalkan kekuasaan mereka.

"Sistem ini tidak boleh dipaksa-rela digunakan oleh political masters untuk tujuan politik kepartian," ujar beliau.

Samsuri turut menempelak cubaan segelintir pihak yang menyerangnya dengan memutarbelit isu dan fakta, seolah-olah beliau baru memegang kuasa dan tidak memahami selok-belok pentadbiran.

"Saya mula menggalas jawatan ini sejak 2018 lagi. 

"Tapi isu ini hanya timbul enam bulan kebelakangan ini sahaja," ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan dirinya tidak naif dalam isu pentadbiran dan tahu dengan jelas apa itu Travel Control Order (TCO) dan kesan status sebagai VIP.

"Saya agak segan menyebut terma VIP, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya tidak sama dengan pandangan mainstream," katanya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments