Katanya, tajaan berjumlah RM247,000 seorang itu merangkumi yuran pengajian, penginapan, permit residen, utiliti, insurans dan elaun sara hidup sepanjang tempoh 4.5 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata pelaburan besar itu adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri memberi akses pendidikan bertaraf antarabangsa kepada anak Terengganu.
“Mereka merupakan kumpulan pertama hasil Program Tahfiz Mandarin IMTIAZ Marang yang dilaksanakan sejak 2018, sekali gus membuktikan kejayaan pelaburan jangka panjang negeri dalam melahirkan pelajar dwi-kemahiran menguasai ilmu agama, bahasa dan profesional sional,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU, di Dewan Besar Yayasan Terengganu, hari ini.
Menurutnya, empat pelajar terbabit ialah Ameer Sadiq Ahmad Lutfi, Shazarul Azree Jamaludin, Muhammad Harith Irfan M. Anuar dan Rabiatul Annisa Mohd Fousi, kesemuanya lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu Marang di bawah Program Tahfiz Mandarin.
Tambah Satiful, mereka menjalani persediaan di INTEC Education College, UiTM Shah Alam sebelum memulakan pengajian asasi enam bulan di BFSU, seterusnya menyambung Ijazah Sarjana Muda selama empat tahun bermula Mac 2026.
“Setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk biasiswa, RM1 juta melalui GLC dan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan, namun kos pengajian luar negara yang semakin tinggi menghadkan jumlah pelajar yang dapat dihantar setiap tahun.
“Kumpulan pertama ini dihantar ke bidang perniagaan, manakala kumpulan seterusnya dijangka dalam bidang sains tulen, kejuruteraan dan sebagainya,” katanya.
Menurut Satiful, kos pengajian setiap pelajar ditanggung melalui skim Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Terengganu, boleh bertukar menjadi biasiswa sekiranya pelajar mencapai kecemerlangan.
“Insya-Allah, program penghantaran pelajar ke universiti-universiti di China ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang.
“Setiap pelajar haruslah berusaha dengan gigih untuk terus cemerlang sepanjang tempoh berada di BFSU China. Gunakanlah peluang keemasan ini dengan sebaiknya. Pelajarilah ilmu serta budaya untuk faedah agama, bangsa dan negara,” ujar Satiful.
Dalam ucapannya, Satiful turut menasihatkan pelajar agar menjaga akhlak serta menjadi 'duta kecil' Terengganu dan Malaysia sepanjang berada di China.
“Kejayaan anda bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk negeri dan negara. Pulanglah dengan ilmu, pengalaman dan sumbangan yang boleh membangunkan masyarakat kita,” tambahnya.
Justeru itu, beliau berharap agar para pelajar pulang dengan membawa kejayaan cemerlang setelah tamat pengajian kelak dan dapat berkhidmat di negeri tercinta. - TRDI
0 Comments