Visi Ahmad Samsuri dari Terengganu ke Malaysia


UCAPAN perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Parlimen baru-baru ini memperlihatkan satu wacana yang tajam, berfakta dan berpandangan jauh tentang kedudukan serta masa depan negeri Terengganu serta negeri Pantai Timur lainnya.

Ucapannya dimulakan dengan penegasan bahawa Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah meletakkan asas kukuh bagi peruntukan pembangunan Terengganu, namun dalam RMK13, negeri itu hanya terlibat dalam enam daripada 122 strategi keseluruhan. Beliau menilai sasaran purata pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu dalam RMK-13 iaitu 4.8 peratus sebagai terlalu rendah berbanding sasaran RMK-12 (6.6 peratus) dan Kajian Separuh Penggal RMK-12 (6.0 peratus).

Walhalnya kerajaan negeri Terengganu sendiri menyasarkan pertumbuhan sehingga 6.6 peratus menjelang tahun 2030, atau purata 5.4 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Baginya, menetapkan sasaran yang rendah memberi isyarat kurangnya aspirasi pembangunan, walhal Terengganu mempunyai kapasiti dan potensi pertumbuhan yang lebih tinggi.

Ahmad Samsuri turut menuntut agar Kerajaan Persekutuan menunjukkan kesungguhan membawa projek infrastruktur berimpak tinggi ke Terengganu, termasuk yang menjadi pemacu utama kepada pembangunan wilayah Pantai Timur. Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dijadikan contoh utama, memandangkan kerja awalan seperti siasatan dan penilaian impak trafik telah siap pada 2022.

Tuntutan Ahmad Samsuri ini wajar sekali memandangkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sendiri pernah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan sempena ulang tahun hari keputeraan baginda pada 29 September 2024 agar kerajaan Persekutuan meneruskan pelaksanaan LPT3.

Dalam titah baginda, dinyatakan bahawa usaha membina LPT3 adalah penting bagi memastikan kerancakan ekonomi dan sosial rakyat dapat berkembang, serta menyeru agar projek ini dipercepatkan pelaksanaannya.

Malah, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan juga pernah berkata pada 19 November 2024 bahawa LPT3 dicadang dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta (PPP) berasaskan bidaan bersaing dan kajian awalan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti jajaran dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga ke Tunjong, Kelantan sepanjang 122 kilometer sebagai jajaran yang berdaya maju selepas beberapa siri perbincangan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Kelantan dan Terengganu.

Menangguhkan LPT3 bererti menangguhkan peluang pembangunan yang berpotensi mengubah landskap ekonomi Pantai Timur. Kelewatan ini bukan sahaja melambatkan manfaat ekonomi kepada negeri-negeri Pantai Timur, malah menjejaskan potensi Terengganu dan Kelantan untuk menarik pelaburan baharu yang memerlukan akses pengangkutan darat yang moden dan efisien.

Dalam aspek sektor pertanian, Ahmad Samsuri membangkitkan keganjilan sasaran pertumbuhan hanya 1.1% bagi KDNK sektor pertanian Terengganu, sedangkan negeri ini terlibat dalam projek hab ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara. Beliau menegaskan bahawa sektor perikanan, akuakultur, tanaman dan penternakan telah menunjukkan perkembangan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kerajaan negeri malah menyasarkan pertumbuhan purata sektor ini pada kadar 8 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030, malah mencecah 10.6 peratus hingga 12 peratus menjelang 2030. Ini membuktikan wujud jurang ketara antara aspirasi negeri dengan perancangan pusat, yang perlu dijambatani melalui semakan semula sasaran RMK-13.

Bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi Terengganu, beliau mengemukakan lima tuntutan konkrit kepada Kerajaan Persekutuan.

Pertama, mengembalikan pembayaran hasil petroleum dua kali setahun tanpa kawalan ketat yang menjejaskan kelancaran perbelanjaan negeri.

Kedua, menambah peruntukan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Terengganu untuk penyelenggaraan kawasan perindustrian, sekali gus menarik pelaburan bernilai tinggi.

Ketiga, meningkatkan bantuan fiskal dan bukan fiskal bagi memastikan sektor pelancongan Terengganu bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Keempat, menaik taraf institusi latihan untuk mengarusperdanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), seiring dengan keperluan industri dan visi Dasar TVET Negara 2030.

Kelima, menyokong pembangunan infrastruktur pengairan, saliran, dan kemudahan rantaian bekalan pertanian bagi mengukuhkan keselamatan makanan negara.

Setiap tuntutan ini adalah bersifat strategik dan memberi kesan langsung kepada daya saing ekonomi negeri, sekali gus menepati prinsip pembangunan inklusif.

Ahmad Samsuri turut mencadangkan agar sektor pertanian dijadikan identiti teras Malaysia dan diangkat sebagai Agenda Nasional. Cadangan ini membuktikan bahawa beliau tidak hanya berfikir dalam kerangka kepentingan negeri, tetapi juga dalam perspektif nasional, dengan keseimbangan antara kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kekuatan tradisional seperti pertanian, demi menjamin kelestarian ekonomi jangka panjang.

Beliau turut menyentuh isu pembangunan industri nadir bumi (REE) yang dirancang untuk diperluas kepada lima aspek strategik. Walaupun menyokong penuh langkah ini, beliau menegaskan bahawa hak negeri tidak boleh diketepikan memandangkan REE berada di bawah bidang kuasa negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, sebarang perundingan dengan pihak luar termasuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat perlu melibatkan kerajaan negeri. Pendiriannya ini berpaksikan prinsip federalisme yang adil dan saling menghormati.

Ucapan Ahmad Samsuri ini memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan nasional yang jarang kelihatan dalam perbahasan pembangkang. Beliau menggabungkan analisis berasaskan data, kefahaman mendalam terhadap realiti ekonomi negeri dan cadangan polisi yang konkrit. Pendekatan ini dibuat berpaksikan visi reformasi struktur hubungan pusat-negeri yang lebih adil, berkesan dan berorientasikan hasil.

Berdasarkan ciri-ciri ini tidak hairanlah mengapa ramai yang berpandangan beliau antara pemimpin yang wajar dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri dari blok pembangkang atas kemampuan beliau mengangkat isu negeri ke pentas nasional sambil mengekalkan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan seimbang di seluruh negara. - Sinar Harian

* Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor di University College TATI/Ahli Lembaga Pengarah, The Future Research

Post a Comment

0 Comments