Assalamualaikum
dan Salam Sejahtera.
Terima kasih diucapkan kepada Dato' Yang Di-Pertua.
1. Di dalam ruang perbahasan yang terhad ini, saya yakin
semua Ahli Parlimen sudah membangkitkan pelbagai perkara berkait dengan RMK-13.
Maksudnya adalah jelas : iaitu kita mahu Malaysia yang lebih baik di masa
depan. Mana yang baik kita sokong, mana yang dirasakan ada kelemahan, maka
pihak Kerajaan tentunya akan bersikap terbuka dengan pandangan.
2. Secara umum, saya merasakan bahawa RMK-13 sepatutnya dirangka dengan
struktur yang lebih baik berbanding RMK sebelumnya, dengan pendekatan yang
lebih baharu. Sama ada ia menyempurnakan program atau inisiatif RMK-12 yang
masih belum selesai, mahu pun menambah baik segala kekurangan semua rancangan
Malaysia sebelum ini.
3. Suatu dokumen seperti RMK-13, perlu dilihat berbeza dari Belanjawan Tahunan.
Tidak pasti apakah faktornya, namun RMK-13 yang peruntukannya yang lebih besar
berbanding RMK-12, sepatutnya mempunyai sasaran dan indikator numerikal yang
jelas untuk dicapai, dan dimaklumkan kepada Ahli Dewan untuk dibuat analisanya.
COOPERATIVE FEDERALISME - PENDEKATAN MENYELESAIKAN MASALAH RAKYAT
Dato' Yang Dipertua,
4. RMK-13 seharusnya
juga dijadikan peluang untuk memberi nilai tambah kuasa Negeri, atau melakukan
reformasi pengurangan kuasa persekutuan (decentralisation) dalam aspek dan
kadar tertentu, supaya Negeri dapat bergerak dengan lebih pantas tanpa
dipengaruhi sentimen politik kepartian. Ini adalah untuk memastikan jika negeri
dan Pusat berbeza politik, ianya tidak memberi kesan kepada pembangunan Negeri
dan kesejahteraan rakyat.
5. Ya saya faham, kita ada kerangka pembahagian kuasa Negeri dan Persekutuan
berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi kita semua maklum, bahawa keadaan
semasa Perlembagaan digubal adalah hampir 70 tahun yang lalu, tentunya berbeza
dengan keperluan semasa waktu ini.
6. Contoh realiti yang sering saya berikan, adalah berkaitan
pelaburan ke negeri-negeri.
7. Walaupun diumumkan projek pelaburan yang berbilion-bilion jumlahnya, namun
pendapatan dan hasil kepada negeri adalah kecil sahaja.
8. Kerajaan Negeri hanyalah mempunyai kuasa kutipan cukai yang jumlahnya
tersangat kecil, berbanding hasil kutipan cukai pendapatan syarikat dan
individu yang diperolehi oleh kerajaan Pusat.
9. Malaysia perlu mempertimbangkan kesesuaian untuk beralih kepada model
cooperative federalism dan juga fiscal federalism - di mana penyelesaian
masalah rakyat menjadi keutamaan, mengatasi sempadan kerangka perlembagaan yang
direkabentuk untuk menyediakan kemerdekaan negara pada tahun 1957.
10. Ini memerlukan pendekatan baharu dalam menyelaras dasar,
pelaksanaan projek dan pengagihan sumber, termasuklah pembahagian kuasa
percukaian yang lebih meluas supaya Negeri memperolehi hasil yang lebih baik
berbanding dengan kerangka yang ada pada masa ini.
11. Di bawah semangat cooperative dan fiscal federalism, saya mencadangkan agar
Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Geran Khusus Persekutuan & Negeri, di
bawah Akta baharu yang boleh digubal, menggunakan kuasa di bawah Perkara 76
Perlembagaan Persekutuan.
12. Ini membolehkan peruntukan diberikan secara terus kepada negeri bagi
melaksanakan projek nasional atau keutamaan Negeri – tanpa ketirisan, birokrasi
atau kelewatan agensi pusat.
13. Justeru, saya juga ingin mencadangkan penubuhan Suruhanjaya bagi mengkaji
Transfomasi Pembangunan Negara yang antara lainnya :
- Menilai keberkesanan pelaksanaan RMK - RMK sebelum ini;
- Mengaudit sistem pemberian semasa (geran am, geran khas, perkongsian hasil
dan sebagainya);
- Mencadangkan pendekatan baru seperti Equalization Payment dan Fiscal
Stabilization Programme (dengan izin) yang terbukti berkesan di negara-negara
persekutuan seperti Jerman, Kanada dan Australia;
- Dan paling penting, memastikan penyertaan semua negeri melalui wakil rasmi
dalam Suruhanjaya ini, agar semangat federalisme yang tulen dapat ditegakkan.
14. Rakyat sebenarnya tidak peduli siapa yang bertanggungjawab, sama ada
Persekutuan atau Negeri – apa yang penting, masalah mereka diselesaikan.
PERANCANGAN PEMBANGUNAN TERENGGANU
Dato' Yang Dipertua,
15. Setelah meneliti dokumen utama RMK-13 dan membelek semula Kajian Separuh
Penggal RMK-12 dan dokumen asal RMK-12, saya berpandangan bahawa terdapat
pengurangan ketara antara kedua-dua rancangan Malaysia ini.
16. Untuk Terengganu, RMK-12 telah meletakkan asas yang kukuh bagi penyediaan
peruntukan pembangunan yang lebih besar, sekali gus mensasarkan lonjakan
pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu.
17. Namun, RMK-13 hanya melibatkan Terengganu dalam enam (6) strategi sahaja
daripada keseluruhan 122 strategi.
18. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan juga hanya menyasarkan purata
kadar pertumbuhan tahunan KDNK Terengganu 4.8 peratus, iaitu lebih rendah
daripada sasaran di dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 (6.0%) dan RMK-12
(6.6%) bagi tempoh 2021 hingga 2025.
19. Sedangkan, Kerajaan Negeri sendiri menyasarkan, untuk mencapai pertumbuhan
sehingga 6.6 peratus menjelang tahun 2030, atau secara puratanya 5.4 peratus
bagi tempoh 2026 hingga 2030.
20. Apa yang kita mahu ialah, kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membawa
masuk program / projek infra yang berimpak tinggi (high impact), dan pemacu
utama (key enabler) ke Terengganu, bagi melonjakkan pembangunan dan pertumbuhan
ekonomi di negeri ini dan ke wilayah Pantai Timur.
21. Inilah juga yang kita harapkan, iaitu pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3
(LPT3).
22. Sedangkan, menerusi RMK-12 sebelum ini, kerja awalan
seperti siasatan dan kerja ukur tanah, serta penilaian impak trafik telah pun
dimulakan dan telah pun disiapkan pada akhir tahun 2022.
23. Selain itu, pada Februari 2025 yang lepas, Kerajaan Persekutuan memaklumkan
sedang meneliti aspek jajaran dan pendekatan pembangunan yang akan dilaksanakan
bagi projek ini.
24. Selain LPT3, saya juga mengharapkan pengumuman daripada YAB Tambun,
mengenai rancangan pelaksanaan Economic Accelarator Project (EAP), di sepanjang
jajaran ECRL di semua Negeri laluan ECRL, di mana di Terengganu ada sejumlah
enam (6) pembangunan berorientasikan transit (TOD), empat (4) taman
perindustrian dan satu (1) hab logistik.
Dato' Yang Dipertua,
25. Satu perkara lagi yang menghairankan saya, adalah mengenai sasaran dan
perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu.
26. Ketika YAB Tambun mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan
hab pengeluaran makanan negara melibatkan Terengganu, purata kadar pertumbuhan
tahunan bagi KDNK sektor Pertanian Terengganu disasarkan hanya 1.1
peratus.
27. Sedangkan, perikanan dan akuakultur juga adalah merupakan salah satu
industri strategik bagi ekonomi biru. Sub-sektor tanaman dan penternakan
Terengganu juga, telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan
kebelakangan ini.
28. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor
pertanian Terengganu, untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus
menjelang tahun 2030, atau secara puratanya 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga
2030.
29. Merumuskan kesemua isu-isu ini, saya memohon YAB Tambun dan Kerajaan
Persekutuan untuk mempertimbangkan, dan memperjelaskan tuntutan-tuntutan
berikut:
i. Membayar kepada Kerajaan Negeri, hasil daripada petroleum seperti sebelum
YAB Tambun menjadi Perdana Menteri, iaitu sebanyak dua kali setahun, dan
sejumlah seperti yang dianggarkan, sekali gus membatalkan kesemua kawalan tidak
perlu yang dikenakan pada ketika ini bagi membelanjakan peruntukan ini.
ii. Menambah jumlah peruntukan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Terengganu,
bagi menyelenggara dan menaik taraf kawasan perindustrian, sekali gus
menggalakkan pelaburan dalam industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang
tinggi.
iii. Meningkatkan nilai bantuan fiskal dan bukan fiskal, bagi menjamin
ketersediaan (readiness) perkhidmatan, dan produk pelancongan di Terengganu,
dalam menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membantu MOTAC mencapai
sasarannya.
iv. Menaik taraf dan menyelenggara institut latihan yang beroperasi di
Terengganu, bagi mengarus perdanakan program TVET, sekali gus menyokong
keperluan bakat oleh industri, dan merealisasikan visi Dasar TVET Negara
2030.
v. Menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pusat
pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan
bekalan makanan di Terengganu, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil
pertanian negara.
Dato' Yang Di Pertua,
30. Saya juga ingin mencadangkan, agar Kerajaan Persekutuan menjadikan sektor
pertanian, sebagai identiti teras Malaysia yang perlu diberikan tumpuan penuh
dan diangkat sebagai Agenda Nasional, selain menjadikan mega-trend lain terkini
di peringkat global seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan teknologi
sebagai fokus pembangunan jangka panjang.
31. Lihat lah agenda nasional yang
pernah kita berikan tumpuan suatu ketika dahulu, ke mana kesan dan hasilnya
pada masa kini? Adakah ia menjadi pemacu ekonomi negara kita? Atau ia sekadar
trend semasa yang dijadikan tumpuan sehingga kita terlepas fokus yang
sepatutnya?
PEMBANGUNAN RANTAIAN NILAI REE
Dato' Yang Dipertua,
32. Pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) kini dirancang untuk diperluas
kepada lima (5) aspek, iaitu; perlombongan, penulenan & pengasingan,
pembangunan industri hiliran & pertengahan, penyediaan kepada produk
eksport serta penjagaan alam sekitar.
33. Ia adalah sesuatu yang baik, memandangkan industri ini bakal menghasilkan
pulangan yang besar kepada negeri dan juga negara, sekaligus memberikan manfaat
kepada rakyat secara keseluruhannya.
34. Bagi merancakkan lagi pembangunan industri NREE di negara kita, saya
mencadangkan agar diwujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE, yang memberikan
fokus terhadap pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur
nadir bumi dan pemulihan tanpa sisa. Atau dengan kata lain, dengan izin (advance
material processing, NREE metallurgy & zero-waste recovery).
35. Walaupun saya menyokong penuh pembangunan industri NREE ini, namun
sepanjang penelitian saya terhadap perinciannya di dalam RMK-13, penekanan
terhadap hak negeri kurang diberikan perhatian. Sedangkan REE ini di bawah
bidang kuasa negeri yang tertakluk di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan.
36. Apa yang paling membimbangkan kami di negeri, seingat rekod yang Negeri
ada, pihak Negeri tidak pernah dilibat urus mengenai tuntutan perolehan pihak
Amerika Syarikat terhadap NREE di Malaysia, seperti yang dilapurkan oleh media
asing sebagai salah satu syarat perundingan tarif dengan Kerajaan Amerika
Syarikat.
10 KEUTAMAAN DALAM
PEMBANGUNAN R&D
Dato' Yang Dipertua,
37. RMK-13 secara aktifnya, dilihat bukan sahaja menekankan pembangunan aspek
penyelidikan dan pembangunan (R&D), bahkan turut meletakkan secara selari
aspek pengkomersialan dan inovasi ( C & I ), menjadikannya R & D &
C & I.
38. Dalam hal ini, kita juga tidak wajar “re-invent the wheel”, tetapi lebih
sesuai memilih “teknologi strategik” yang ingin dibangunkan sebagai keperluan
niche Negara, dan diangkat sebagai Agenda Nasional.
39. Dalam hal ini, suka untuk saya mencadangkan lima (5) proses keutamaan, agar
pertambahan peruntukan bagi aspek R & D & C & I ini menghasilkan
impak maksimum kepada rakyat dan negara:
- Pertama; Menetapkan sasaran kenaikan perbelanjaan R&D secara berperingkat,
dan mewujudkan mekanisma pemantauan yang efektif.
- Kedua; Membangunkan modal insan berkualiti tinggi, melalui pelaksanaan
program kajian lanjutan (PhD atau post-doctorate), bertemakan R&D berimpak
tinggi dengan sokongan biasiswa yang kompetiti,f dan peluang kerjaya di dalam
industri.
- Ketiga; Memperkukuh ekosistem kolaborasi sektor
awam-swasta-akademik, melalui galakan program mobiliti antara universiti,
institusi penyelidikan dan industri, bagi mempercepat proses pemindahan
teknologi serta kemudahan prototaip (rapid prototyping)
- Keempat; Mengarahkan pendekatan yang berfokus, kepada sektor yang menjadi
kelebihan kepada negara dan keperluan setempat seperti industri pertanian pintar, tenaga boleh
diperbaharui dan bioteknologi halal.
- Kelima; Memantau dan menilai secara berterusan dasar yang berpandukan
R&D, dan aliran peruntukan secara data-driven, untuk menghasilkan impak
yang maksimum.
40. Mengakhiri ucapan saya, semoga segala cadangan dan komentar yang diberikan
di dalam ruang yang terhad ini, dapat dijadikan sebagai teladan dan
penambahbaikan di dalam RMK-13, demi kesejahteraan negara dan rakyat secara
keseluruhannya.
Sekian, terima kasih.
0 Comments