Majlis Pelancaran Dasar dan Pelan dibawah Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (TNEXT – Terengganu New Economy Transformation)


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

(SALUTASI)

Muqaddimah

1. Alhamdulillah kita dapat bersama-sama dalam majlis Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023–2030 bersama dengan dua pelan penting negeri iaitu Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT).

2. Tahniah kepada Yang Berhormat EXCO dan semua pasukan yang terlibat dalam merangka dasar dan perancangan strategik yang sangat penting kepada Negeri Terengganu ini.
Tiga Dokumen Dasar

3. Sewaktu saya berucapa dalam Persidangan East Coast Energy 2025 yang lalu, saya menekankan bahawa pentingnya untuk Negeri Terengganu menjadi negeri tarikan pelabur untuk sektor industry yang berimpak tinggi termasuk yang menjadi keperluan asas serta permintaan utama dunia iaitu industri gas dan tenaga hijau.

4. Bertepatan dengan iltizam ini, hari ini ada tiga dokumen dasar negeri yang merupakan perinciannya dari Kerajaan Negeri dengan objektif untuk memastikan Negeri Terengganu terus maju, mesra pelabur, berdaya saing, dan bersedia untuk menghadapi masa depan yang berteraskan pemerkasaan ekosistem pelaburan berimpak tinggi, teknologi hijau dan ekonomi digital.

5. Dalam dunia yang serba pantas dan penuh cabaran ini, Negeri Terengganu mesti berada di tengah gelombang transformasi – bukan sebagai pemerhati, tetapi sebagai pemain utama. Oleh yang demikian, dasar-dasar yang kita rasmikan hari ini adalah merupakan satu dokumen strategik yang saling lengkap-melengkapi, saling mengukuh, dan yang paling penting, berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bercirikan kesan limpahan (spill-over effect) yang lebih besar buat mereka.

6. Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian menetapkan enam kluster utama perindustrian yang menjadi fokus kepada Kerajaan Negeri iaitu 
i. Minyak dan gas
ii. Teknologi hijau
iii. Pembuatan
iv. Logistik dan pengangkutan
v. Bioteknologi
vi. Teknologi bangunan

7. Dasar ini diselaraskan dengan agenda pembangunan nasional dan dapat dicapai melalui enam teras pelaksanaan dan 22 strategi seperti penyediaan insentif yang lebih menarik, peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, penambahbaikan infrastruktur serta pengurusan tanah yang lebih sistematik dan mesra pelabur.

8. Dalam merealisasikan ekonomi hijau sebagai teras masa depan negeri, kerajaan negeri turut membangunkan Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030), yang merupakan perincian kepada Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030).

9. PITIH 2030 dirangka sebagai satu pelan komprehensif untuk mengarusperdanakan teknologi hijau terutamanya subset tenaga hijau sebagai sumber ekonomi baharu negeri menggunakan kelebihan aset-aset di negeri ini seperti jaringan sungai, empangan dan radiasi solar. Hingga kini Terengganu telah menunjukkan komitmen kita, antaranya melalui penerokaan dan pelaksanaan bagi beberapa projek. Antaranya ialah:
Projek Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS) di Tasik Kenyir, antara kapasiti tenaga hijau yang terbesar di rantau ini,
Projek loji hidrogen Petronas,
Taman Perindustrian Kemaman untuk industri hiliran CCUS (carbon capture, utilization and storage),
serta
Projek Rintis Kincir Angin di Kemaman.

10. Usaha-usaha ini memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai penyumbang tenaga hijau dan tenaga bersih utama dalam negara kita.

11. Berdasarkan anggaran semasa, jumlah penjanaan tenaga hijau di negeri ini bakal mencecah 4 Gigawatt pada 2030, iaitu bersamaan 20% penjanaan tenaga hijau semasa negara. Tidak ramai yang sedar bahawa ini menjadikan Terengganu antara penjana tenaga hijau tertinggi di Malaysia dan berperanan penting membantu negara untuk mencapai matlamat pelepasan gas rumah hijau sifar bersih (net zero greenhouse gas emission) menjelang 2050.

Hadirin dan hadirat sekalian,

12. Seiring dengan hala tuju perindustrian dan teknologi hijau negeri, kerajaan turut menyediakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT) yang akan menjadi sistem pelaksana dan pada masa yang sama membentuk satu penjanaan ekonomi yang membuka lebih banyak peluang kepada pelabur dan rakyat negeri ini.

13. Terengganu menyasarkan pembangunan ekosistem digital yang menyeluruh, merangkumi infrastruktur fizikal, ekonomi, data, serta keupayaan insan. Beberapa inisiatif strategik dirangka di bawah lima teras iaitu :
i. Kerajaan Digital (Digital Government) 
ii. Infrastruktur Digital (Digital Infrastructure)
iii. Komuniti dan Bakat Digital (Digital Talent and Community)
iv. Industri Digital
v. Usahawan Digital

14. Ketiga-tiga dasar yang kita lancarkan hari ini iaitu Dasar Perindustrian, PITIH 2030 dan RTEDT merupakan dokumen asas yang saling melengkapi dan menjadi asas penting kepada hala tuju Terengganu sebagai negeri maju, hijau dan digital menjelang 2030.

Penutup

Hadirin dan hadirat sekalian,

15. Sehebat mana pun dasar dan pelan yang dirancang tetapi tanpa sokongan penjawat awam yang cekap, pelabur yang yakin dan rakyat yang menyertai, ia hanya akan tinggal sebagai dokumen yang cantic dalam bentuk publication semata-mata. 

16. Idea yang mulia, tidak akan hidup tanpa tindakan. Gerakkan ia, hidupkan idea-idea ini dan biarkan geloranya membina masa depan yang diimpi-impikan.

17. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita merealisasikannya agar anak-anak dan generasi akan dating di negeri ini berbangga dengan kita untuk menyediakan negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera buat mereka.

18. Ada juga suara kecil yang terpencil yang dengan sinis menyebut bermacam dasar dan perancangan strategik negeri telah dilancarkan tetapi mananya pembangunan yang dibawa. Tak apalah mungkin makna sebuah pembangunan pun mereka terkeliru. Mungkin ini juga maksud peribahasa Melayu “Agak lebih daripada agih” iaitu mereka ini dari jenis yang banyak bicaranya tetapinya kerjanya sedikit sahaja. Yang penting kita dengan berjiwa besar menjadikan sindiran mereka sebagai kata semangat untuk kita terus bekerja. 

19. Ingatlah, kita tidak mahu mengulangi cerita benar belasan tahun pelbagai projek yang dilancarkan dan dilaksanakan di negeri yang tercinta ini tetapi bukan sedikit, jutaan ringgit yang tinggal menjadi gajah putih akibat dendam sesama sendiri. Yang nyata apa yang kita jadikan dasar dan pelan strategik ini semuanya sedang dilaksanakan dengan cermat insya-Allah. Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah SWT membantu kita mencapai kejayaan.

Hadirin dan hadirat sekalian, 

20. Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan:

DASAR DAN PELAN DI BAWAH PORTFOLIO EKONOMI DIGITAL, PENDAPATAN BAHARU, PERDAGANGAN, PERINDUSTRIAN DAN TEKNOLOGI HIJAU TAHUN 2025


***Tema: Menjayakan Transformasi Terengganu: Pelaburan Strategik, Ekonomi Hijau dan Digital untuk Rakyat

Post a Comment

0 Comments