Majlis Pelancaran Program Portal Jodoh Darul Iman


 Assalamualaikum wrh brh

(Salutasi)

Muqaddimah

1. Terlebih dahulu, saya zahirkan rasa syukur terhadap Allah SWT kerana dapat sama-sama hadir di Majlis Pelancaran Portal Jodoh Darul Iman (PJDI), suatu inisiatif yang mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Kebajikan rakyat sentiasa dijaga.

2. Pada kesempatan ini, saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional yang telah menjemput saya untuk bersama-sama dalam majlis yang penuh bermakna ini. 

3. Inisiatif ini sebagaimana yang sama-sama kita maklum dan dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat sebentar tadi adalah untuk memperkenalkan suatu kaedah atau platform atas talian yang dikenali sebagai Portal Jodoh Darul Iman. Dan kita mengharapkan agar portal ini akan membantu untuk mempercepatkan proses mencari jodoh dalam kalangan pemuda-pemudi di negeri Terengganu yang masih belum bertemu jodoh atau belum berkahwin secara selamat dan patuh syariah dengan syarat-syarat sebagaimana yang ada dalam risalah di hadapan kita semua.

4. Portal ini juga menyediakan ruang bimbingan, panduan, dan sokongan kepada pasangan yang sedang bertaaruf agar proses ke arah perkahwinan yang sah berjalan dengan baik serta patuh syariat. Sistem ini juga membuka ruang kepada ibu dan bapa tunggal yang berminat untuk mencari jodoh. Usaha ini diharap dapat meningkatkan kadar perkahwinan dalam kalangan rakyat negeri Terengganu, seterusnya meningkatkan kadar kelahiran di negeri ini.

5. Mungkin setengah pihak beranggapan atau melihat aspek mencari jodoh, mendirikan rumah tangga dan kelahiran, menambah kelahiran di dalam keluarga mereka ini adalah aspek yang sangat kecil. Aspek yang sangat personal, sangat peribadi. Tetapi sebenarnya ia berkait dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam sesebuah negeri dan sesebuah negara.

6. Kita lihat apa yang telah berlaku kepada negara yang mempunyai penduduk paling ramai dalam dunia, di China. Salah satu dasar yang diperkenalkan oleh negara China, Cina satu masa dahulu ialah setiap keluarga mempunyai, hanya boleh ada seorang anak sahaja. Setelah pelaksanaan beberapa tahun yang agak lama juga, mereka sedar bahawa timbul satu masalah yang baharu dalam negara mereka sehingga dibuat satu polisi yang baharu ini yang ditambah baik dan diberi kebenaran untuk tambah daripada satu kepada dua.

7. Semasa mereka memperkenalkan dasar one child, one family itu, mungkin mereka tidak terbayang akan kesan yang boleh berlaku dengan mengubah fitrah yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahuwataala ini. Hasil daripada pelaksanaan one child one family ini menyebabkan berlaku generation gap dalam keluarga, dalam, dalam kependudukan di China. Bayangkan apabila sesebuah keluarga itu yang ada ibu dan bapa hanya ada seorang anak.

8. Satu-satu masa dan anak ini, oleh kerana sifat ketimuran yang ada di negeri sebelah kita ini sehinggalah sampai ke Jepun, termasuklah China, agak kebiasaan sebenarnya untuk anak akan menjaga orang tua dia. Tapi apabila tinggal seorang, seorang kena jaga family dan tidak ada yang boleh keluar untuk mencari kerja apabila ibu dan bapa mereka ini telah tua. Menyebabkan berlaku gap tenaga kerja yang agak serius di China pada waktu itu sehinggalah mereka terpaksa mengubah kembali supaya dibuka kepada two child per family.

9. Satu perkara lagi yang sedang berlaku sebenarnya, mungkin kita kata kita aspek mencari jodoh ini tapi ia berkait dengan pelbagai perkara yang sedang berlaku dalam negara kita dan ini juga trend yang sedang berlaku di seluruh dunia.

10. Beberapa bulan yang lalu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ketika datang ke negeri Terengganu, beliau minta untuk naik kereta bersama dengan saya, untuk saya yang pandu, dia duduk di sebelah, pusing-pusing di sekitar Kuala Terengganu, kami berdua saja dalam kereta itu.

11. Perkara pertama yang ditanya oleh Tun dan disebut oleh Tun kepada saya ialah kebimbangan beliau mengenai trend semasa ini, di mana golongan muda-mudi, anak-anak belia yang ada sekarang ini termasuk orang Melayu sendiri, orang Cina dan lain-lain, trend lambat kahwin, tak mahu kahwin, dan kalau kahwin tak nak anak. Atas alasan, atas pelbagai alasanlah dan trend itu ada yang menyebut kerana mereka nak enjoy dahulu, mereka nak berjalan dahulu, nak travel ke sana ke mari dahulu, lambat mendirikan keluarga dan kalau diri keluarga pun ada yang buat syarat tak nak anak kerana nak enjoy dahulu, travel dan sebagainyalah.

12. Jadi sebenarnya observant by mantan Perdana Menteri itu juga sebenarnya perkara yang sedang berlaku dalam negara kita. Mungkin kita di peringkat negeri Terengganu ini tak menular lagi perkara yang demikian tapi sudah menjadi satu trend yang agak boleh diterima di kalangan muda-mudi.

13. Sekali lagi perkara-perkara sebegini mungkin kita, setengah orang beranggapan dia lihat itu merupakan satu perkara yang unit yang kecil dalam masyarakat, keluarga. Kalau tak nak berkahwin apa nak boleh buat. Tetapi kalau lihat dalam tempoh, perkara ini berlaku dalam satu tempoh yang tertentu, lima tahun, 10 tahun, ianya akan mendatangkan pelbagai kesan yang besar dalam negara kita ini termasuklah kesan demografi, kesan sosial yang tak dapat kita bayangkan sebagaimana berlaku di negara-negara barat dan kesan kepada keberadaan sesebuah keluarga itu sendiri yang tidak, tidak ada pewaris dan sebagainya.

14. Jadi sebenarnya kalau kita tengok secara keseluruhan, usaha kita ini adalah untuk membantu menyelesaikan, untuk mengelakkan masalah yang lebih besar melanda dalam negeri dan dalam negara kita ini. Jadi usaha ini adalah merupakan satu usaha yang, yang boleh dibuat dalam lingkungan bidang kuasa yang kita ada. Selebihnya kita mohon kepada semua mereka di luar sana supaya turut menyahut seruan daripada kita ini kerana kita kena lihat a big picture, satu agenda yang lebih besar untuk memastikan kelangsungan kependudukan dalam negeri dan dalam negara kita ini. 

15. Hadirin dan hadirat sekalian, itu saja yang saya nak sampaikan dan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya melancarkan Portal Jodoh Darul Iman. Semoga mendapat keberkatan dan dibantu oleh Allah Subhanahuwataala. 

Sekian, wabillahittaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Post a Comment

0 Comments