UCAPAN perbahasan Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini menonjolkan satu dimensi penting yang jarang diberi perhatian serius, iaitu keperluan Malaysia mempertimbangkan peralihan kepada model cooperative federalism dan fiscal federalism.
Cadangan beliau yang turut disertakan dengan rujukan kepada amalan antarabangsa seperti Equalization Payment dan Fiscal Stabilization Programme, bukan sahaja berani malah memperlihatkan visi jangka panjang yang strategik untuk memperkukuh hubungan pusat-negeri dan mengoptimumkan pembangunan seluruh negara.
Konsep cooperative federalism menekankan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri, berasaskan pembahagian tanggungjawab yang jelas dan mengutamakan penyelesaian masalah rakyat tanpa mengira perbezaan politik. Fiscal federalism pula merujuk kepada sistem pengagihan kuasa kewangan dan hasil cukai yang lebih seimbang, memastikan negeri-negeri mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membiayai keperluan pembangunan mereka.
Dalam konteks Malaysia, Ahmad Samsuri mempersoalkan realiti semasa di mana negeri hanya mengutip hasil yang kecil berbanding dengan jumlah kutipan cukai oleh kerajaan Persekutuan. Walaupun pelaburan besar diumumkan, pulangan langsung kepada negeri tidak sepadan. Ini menjadi penghalang kepada kelancaran pembangunan tempatan, khususnya di negeri yang mempunyai potensi ekonomi besar tetapi kekurangan dana pembangunan.
Cadangan Ahmad Samsuri ini juga selari dengan suara beberapa negeri, khususnya Johor, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menuntut agar lebih banyak hasil negeri dipulangkan kepada kerajaan negeri. Johor misalnya, pernah mengutarakan cadangan supaya peratusan hasil cukai yang dikutip oleh persekutuan di negeri itu dikembalikan dalam bentuk peruntukan pembangunan yang lebih besar.
Sekiranya fiscal federalism dilaksanakan, tuntutan seperti ini akan mempunyai asas institusi yang kukuh. Negeri-negeri kaya hasil seperti Johor, Sarawak, Sabah dan Terengganu akan berupaya merancang pembangunan mereka secara lebih berkesan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada kelulusan Pusat. Pada masa yang sama, mekanisme pengimbangan dapat memastikan negeri-negeri yang kurang berkemampuan tidak tercicir.
Ahmad Samsuri turut mengemukakan cadangan supaya Malaysia meneliti dan mengadaptasi pendekatan pembahagian hasil seperti Equalization Payment dan Fiscal Stabilization Programme yang telah terbukti keberkesanannya di beberapa negara persekutuan maju, khususnya Jerman, Kanada dan Australia.
Di Jerman, mekanisme yang dikenali sebagai Länderfinanzausgleich atau Equalization Payment telah menjadi teras kepada hubungan kewangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri (Länder). Melalui sistem ini, negeri-negeri yang mempunyai tahap kemakmuran dan pendapatan cukai yang tinggi diwajibkan menyumbang sebahagian daripada lebihan hasil mereka ke dalam satu tabung bersama di peringkat Persekutuan. Dana ini kemudiannya diagihkan kepada negeri-negeri yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi.
Tujuannya adalah untuk memastikan setiap negeri dapat menyediakan standard perkhidmatan awam yang hampir setara, walaupun keadaan sosioekonomi dan tahap kemajuan antara negeri berbeza. Sistem ini berfungsi sebagai alat penyamaan kapasiti fiskal, sekali gus mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan yang berpotensi mewujudkan jurang sosial dan politik.
Kanada pula melaksanakan Equalization Programme yang beroperasi dengan matlamat serupa, iaitu memindahkan dana Persekutuan kepada wilayah-wilayah yang pendapatan fiskalnya berada di bawah purata nasional. Pembahagian ini membolehkan wilayah berpendapatan rendah tetap mampu menyediakan perkhidmatan awam yang setara dengan wilayah lebih makmur.
Di samping itu, Kanada turut mengamalkan Fiscal Stabilization Programme, iaitu satu skim bantuan kewangan kepada wilayah-wilayah yang mengalami penurunan hasil yang besar dan mendadak akibat faktor luar kawalan, seperti kejatuhan harga minyak, gas atau komoditi utama lain. Dengan adanya skim ini, wilayah yang ekonominya bergantung kepada sektor tertentu dapat mengelakkan kejutan fiskal yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan sosial mereka.
Australia menggunakan pendekatan yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Geran Komanwel. Melalui mekanisme ini, hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta dana Persekutuan diagihkan kepada negeri dan wilayah berdasarkan formula yang mempertimbangkan kedua-dua faktor iaitu keperluan perkhidmatan (service needs) dan kapasiti hasil (revenue-raising capacity) setiap negeri.
Dengan kata lain, negeri yang mempunyai kos penyampaian perkhidmatan yang lebih tinggi atau kapasiti mengutip hasil yang lebih rendah akan menerima peruntukan lebih besar bagi memastikan rakyat di seluruh negara menerima tahap perkhidmatan awam yang adil dan saksama. Pendekatan ini telah berjaya mengurangkan jurang pembangunan antara negeri di Australia, sekali gus memelihara perpaduan nasional dalam sebuah negara Persekutuan yang luas dan berbilang wilayah.
Cadangan mengenai cooperative federalism, fiscal federalism, Equalization Payment dan Fiscal Stabilization Programme adalah satu lonjakan wacana yang relevan dan strategik untuk masa depan Malaysia. Ia sejajar dengan tuntutan negeri-negeri yang mahu kuasa kewangan lebih besar demi mempercepat pembangunan, sambil memastikan negeri yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.
Cadangan ini memperlihatkan visi yang jelas, kemahiran analitikal yang tinggi dan keupayaan memimpin perbincangan dasar ke arah pembaharuan besar yang memerlukan konsensus nasional. Dalam konteks politik Malaysia hari ini, ucapan beliau memberi gambaran bahawa pembangkang tidak ketandusan pemimpin untuk mengemudi perjalanan kerajaan alternatif dengan agenda reformasi institusi.
Walaupun cadangan ini datang dari pihak pembangkang, ia wajar diperhalusi untuk dilaksanakan kerana ia bukan sahaja akan memperkukuh federalisme Malaysia malah mampu menjadikan negara lebih stabil, adil dan makmur. Paling tidak, ucapan ini wajar dilihat sebagai satu pandangan jauh yang perlu diberikan perhatian dalam konteks manifestasi visi kepimpinan negara dan satu visi yang layak diangkat sebagai agenda utama negara dan inspirasi kepada reformasi politik Malaysia. – UTUSAN
MUHAMMAD Afifi Abdul Razak ialah seorang penganalisis sosio-politik tempatan dan Felo The Future Research.
0 Comments