Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional Sempena PRN Negeri Sembilan 2026

 

Warga Negeri Sembilan yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah kita dapat bertemu pada malam ini di saat yang sangat penting. Untuk kita menghantar suatu mesej yang jelas kepada rakyat Negeri Sembilan bahawa kita daripada Perikatan Nasional bersama dengan muafakat dengan Barisan Nasional adalah suatu muafakat yang sangat serius untuk membawa perubahan, melakukan anjakan paradigma kepada suasana politik di Negeri Sembilan sebagai permulaan dan politik tanah air di peringkat yang lebih besar.
Selamat datang kepada YAB Menteri Besar Kelantan dan isteri yang turut hadir bersama kita pada malam ini.​
Hadirin, hadirat yang saya hormati sekalian.

Pilihan raya adalah merupakan suatu proses dalam sistem demokrasi. Pilihan raya memberi ruang kepada semua rakyat yang ada dalam sistem. Untuk menyatakan pendirian dan pilihan mereka sebagai pengundi. Bagi menentukan bentuk sesebuah kerajaan yang bakal memikul tanggungjawab mengurus tatbir sesebuah negeri atau negara.
Dan dalam konteks kita pada saat ini di Negeri Sembilan, menentukan siapa yang akan mengurus tadbir Negeri Sembilan. Mengurus tadbir sesebuah negeri khususnya memerlukan perancangan yang jelas, komitmen yang berterusan dan wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat yang mempunyai kebolehan selain dipayungi oleh satu muafakat kerjasama politik yang komited dan lebih stabil.
Dalam merangka kerangka dasar dan perancangan yang akan kita bawa sebagai panduan utama di Negeri Sembilan selepas pilihan raya nanti, kita memahami bahawa antara kelebihan yang ada pada Negeri Sembilan adalah kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk ke Lembah Klang yang telah membawa pelbagai potensi pembangunan dan peluang ekonomi. ​
Di masa yang sama kita juga tidak boleh menutup mata terhadap realiti yang sedang dihadapi oleh seluruh rakyat. Ramai yang masih bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat, pembangunan yang belum dinikmati secara seimbang di kalangan seluruh rakyat yang mendiami negeri dan negara kita ini.
Atas sebab itulah maka Perikatan Nasional membawa sebuah tawaran manifesto yang berpaksikan kepada keperluan rakyat. Kami percaya bahawa kerajaan negeri mesti kembali kepada tanggungjawab asasnya iaitu membela kebajikan rakyat, memperkukuh ekonomi negeri, merancakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti, menyediakan perumahan mampu milik, memperkasakan mutu penyampaian perkhidmatan awam serta mentadbir negeri dengan penuh amanah, telus dan berintegriti.

Di masa yang sama, kita semua sedar bahawa setiap janji ini mestilah berlandaskan kepada realiti, hakikat yang sebenar, bukan sekadar retorik. Bercakap, berucap, memadu janji adalah manis tetapi boleh menjadi racun yang berbisa jika diingkarinya, boleh menjadi senjata makan tuan jika janjinya yang menjangkaui bulan dan bintang yang akhirnya menghantui kita siang dan malam. Inilah realiti dan igauan yang dihadapi oleh pihak tertentu dalam pilihan raya yang lalu.
Tekunilah beberapa peribahasa Melayu antaranya, kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya, terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah emas padahnya, tegak berpaling duduk berkisar, mulut terdorong emas padahannya.
Oleh yang demikian, setiap tawaran yang kita kemukakan telah dirangka secara
bertanggungjawab, mengambil kira kemampuan sebenar kewangan kerajaan negeri, mengoptimumkan hasil dan perbelanjaan sedia ada, memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta serta memastikan kedudukan kewangan negeri kekal mampan untuk generasi yang akan datang.
Saudara dan saudari sekalian, 
Menyedari besarnya amanah untuk mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan
kesejahteraan kepada Negeri Sembilan, maka satu persefahaman muafakat politik telah dibina antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sembilan 2026.
Persefahaman ini lahir daripada iltizam baharu yang lebih kukuh dengan penuh semangat persaudaraan dan persefahaman, kematangan politik dan kesungguhan untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan yang lain.
Melalui siri perbincangan yang terbuka, konstruktif dan penuh rasa tanggungjawab,
kedua-kedua gabungan telah meletakkan kepentingan rakyat keseluruhan berbagai bangsa dan agama di Negeri Sembilan sebagai suatu keutamaan. Maka kami telah menyelaraskan aspirasi serta mencari titik persamaan demi masa depan Negeri Sembilan. 

Maka, berasakan komitmen bersama kepimpinan Perikatan Nasional dan dengan penuh rasa tanggungjawab kita akan melancarkan manifesto Perikatan Nasional sebagai suatu iltizam dan tawaran kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Hasil daripada semangat tersebut, dengan jiwa yang besar dan tekad yang sama, Perikatan Nasional menerima manifesto Barisan Nasional iaitu “Hebatkan Semula Negeri Sembilan” sebagai manifesto bersama.

Asasnya ialah menifeso bersama yangtelah dibentangkan malam tadi yang diperkukuhkan lagi dengan 14 tawaran tambahan Perikatan Nasional sebagai pelengkap kepada komitmen bersama untuk membina sebuah Negeri Sembilan yang lebih maju, lebih makmur dan lebih sejahtera. 

Saudara saudari sekalian, manifesto ini bukan sekadar sebuah dokumen, ia adalah janji, amanah dan kontrak moral kepada rakyat. 
Insha-Allah dengan mandat daripada rakyat pada 1hb Ogos nanti, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan setiap komitmen yang telah kita gariskan demi kesejahteraan seluruh warga Negeri Sembilan. Ayuhlah kita langkah bersama, berganding bahu membina harapan baru dan mencipta masa depan yang lebih gemilang.
Ada pantun di hujung. Negeri Sembilan kalau tak berpantun tak sah. Tapi pantun ni pantun Gen Z, pantun moden.

Slogan dan moto,
Berwawasan dan rasional, ​
Inilah dia manifesto, ​
Perikatan Nasional.
Bersama saya adalah manifesto sepakat Perikatan Nasional yang merupakan empat belas tawaran tambahan. Ada enam teras dalam manifesto ini.​

Teras yang pertama ialah teras pentadbiran iaitu pembangunan dashboard pelaksanaan manifesto Negeri Sembilan. Kita akan pantau dari masa ke semasa dari segi pelaksanaannya, penambahbaikan sistem pengurusan dan pentadbiran masjid yang lebih mesra qariah. ​
Teras yang kedua ialah belia dan keluarga. Penyediaan rumah transit belia untuk graduan dan pasangan baru berkahwin.
Yang kedua pelaksanaan program pemerkasaan keluarga mawadah.
Teras yang ketiga ialah ekonomi iaitu penerokaan dan pembangunan pelan ekonomi biru Negeri Sembilan.
Yang kedua ialah penaik tarafan infrastruktur sokongan industri gas dan minyak. Ini bukan minyak Turkmenistan di Negeri Sembilan ni. Yang ketiga pembangunan pakej pelaburan baru dalam sektor mineral kritikal, semikonduktor, aeroangkasa, EV, logistik dan ekonomi digital.
Teras yang keempat ialah kebajikan.
Pemberian bantuan prihatin rakyat dengan sasaran keluarga B40 dan M40 berkomitmen tinggi serta berpendapatan rendah.
Yang kedua dalam teras kebajikan ialah penyaluran dana sokongan khas kebajikan dan hal ehwal bukan Islam. 
Teras yang kelima pendidikan.
Perkara pertama ialah penaik tarafan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) yang berteraskan TVET, Pendidikan Gunaan atau Applied Education, Pendidikan Industri dan Inovasi.
Yang kedua pemerkasaan Sekretariat TVET Negeri dengan program Tahfiz TVET.
Yang ketiga pemberian bantuan persijilan profesional untuk graduan Negeri Sembilan.
Teras yang keenam ialah pekerjaan.
Oleh kerana isu pekerjaan adalah merupakan isu yang sangat penting menjadi bread and butter kepada setiap rakyat di sebuah negeri dan dalam negara kita.
Yang pertama ialah penubuhan Negeri Sembilan Talent Corporation (NTC) sebagai pusat pembangunan bakat dan kepakaran masa depan dalam bidang AI, Artificial Intelligence bukan Anwar Ibrahim, teknologi hijau, semikonduktor, keselamatan cyber, ekonomi digital dan otomasi termaju.
Dan yang kedua dalam teras pekerjaan, penubuhan pusat padanan pekerjaan Negeri Sembilan untuk sektor pelancongan dan industri terkini.
Empat belas tawaran tambahan ini adalah dicampur dengan Manifesto Barisan Nasional yang telah dibentangkan dan ianya wujud sebagai manifesto bersama. Saya percaya dalam Manifesto Barisan Nasional telah memperincikan pelbagai perkara, puluhan inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan sekiranya muafakat Perikatan Nasional, Barisan Nasional diberi amanah pada 1hb Ogos dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan.
Seruan saya kepada hadirin hadirat dan seluruh rakyat di Negeri Sembilan, pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai latar belakang tua dan muda. Manfaatkanlah peluang dan ruang yang sangat berharga pada satu hari bulan ini untuk melakukan perubahan yang sangat penting di Negeri Sembilan. Yang akan meneroka dan membuka jalan kepada suatu perubahan di negeri lain, di Melaka, insyaAllah dan juga perubahan di Perikatan Nasional, di negara kita suatu masa nanti dalam Pilihan Raya PRU yang ke-16 insyaAllah.

Jadikanlah ini sebagai suatu titik permulaan yang sama-sama kita tuai hasilnya selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum yang ke-16 nanti insyaAllah. Boleh atau tidak? Boleh!
Alhamdulillah komitmen daripada tuan-tuan dan seluruh warga Malaysia yang hadir secara maya ataupun secara fizikal pada malam ini.
Dengan membaca bismillahirrahmanirrahim, saya lancarkan manifesto sepakat Perikatan Nasional dengan 14 tawaran tambahan.
Moga-moga mendapat keberkatan di sisi Allah s.w.t. Sekian wabillahi taufik wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sampai jumpa lagi.

Post a Comment

0 Comments