Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
1. Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, kakitangan dari jabatan, para pemerhati, rakan media serta hadirin-hadirat sekalian.
2. Alhamdulillah, kita dapat menyelesaikan perbahasan dan penggulungan pada hari ini, insya-Allah.
3. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan perasaan terima kasih kepada Yang Berhormat Bandar selaku Ketua Backbenchers, bersama pasukan Ahli-ahli Yang Berhormat, yang telah memberikan pandangan serta mengemukakan persoalan-persoalan yang dijawab oleh pihak kerajaan, sama ada secara bertulis ataupun secara lisan, serta cadangan-cadangan yang baharu sepanjang perbahasan yang telah diutarakan yang sekiranya dalam bentuk persoalan, hampir keseluruhannya telah dijawab oleh rakan-rakan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tentunya sekiranya dalam perbahasan Ahli-ahli Yang Behormat berkait dengan cadangan, kritikan dan pandangan yang dilontarkan itu akan kita tekuni dan teliti satu persatu dengan serius dan kita akan usahakan untuk pelaksanaanya, insya-Allah mengikut keutamaan atau awlawiyat seperti mana yang dirancang oleh Kerajaan dan mengikut keupayaan kerajaan, insya-Allah.
ADUN BARU
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
5. Saya ingin mengambil kesempatan di dewan yang mulia ini, untuk kesekian kalinya untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas, kepada Yang Berhormat Saudara Chan Chee How, atas lantikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu. Mungkin pada kali ini masih lagi meninjau-ninjau untuk berbahas tetapi saya berharap dan saya percaya dalam sidang yang akan datang, beliau kan memainkan peranan, mengemukan persoalan-persoalan dan juga memberikan pandangan-pandangan yang boleh diambil kira oleh pihak Kerajaan.
6. Sudah tentu lantikan Yang Berhormat ini merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain 32 orang yang ada di sini semua ada Dun masing-masing untuk dijaga, dilihat, ditangani dan sebagainya. Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama Menteri Besar tentulah akan meneliti semua perkara, bukan di dun masing-masing tetapi di semua dun, satu negeri. Dan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri yang baharu, Yang Berhormat saudara Chan tentunya adalah untuk keseluruhan Negeri Terengganu mewakili kelompok yang tidak ada perwakilan. Dan kita percaya bahawa beliau akan dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan kelancaran untuk memikul amanah yang diberikan supaya kita dapat bekerja sebagai satu pasukan di Negeri Terengganu ini.
ROYALTI PETROLEUM
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
7. Beberapa persolan yang tidak disentuh oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terutamanya yang berkait dengan royalti petroleum yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bandar, Yang Berhormat Manir, Yang Berhormat Sura, Yang Berhormat Seberang Takir dan Yang Berhormat Bukit Besi.
8. Pertama sekali saya ingin tegaskan bahawa, hak royalti petroleum Terengganu adalah bukan perkara yang boleh dipandang ringan atau diketepikan begitu sahaja. Walaupun ada setengah pihak di luar sana yang memandanga remeh bila kita menyebut hal royalti, seolah memberi gambaran bahawa tidak ada kerja lain Terengganu ni, cakap hal royalti, royalti. Yelah, hak kita. Tentulah kita ingin bercakap. Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan kepentingan dan hak negeri ini berdasarkan perjanjian serta kerangka undang-undang yang telah dipersetujui. Jika ada mana – mana pihak yang mempertikaikan hak Terengganu ini, sudah tentu mereka adalah pihak yang tidak wajar diberikan apa jua amanah untuk membina negeri dan negara ini.
9. Yang kedua, untuk rekod, perjanjian pembayaran tunai antara PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Terengganu telah dimeterai, ditandatangani pada tahun 1975 berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974.
10. Perjanjian ini bukan sekadar catatan sejarah untuk dirujuk, masuk dalam muzium, masuk dalam arkib tetapi ianya adalah dokumen penting yang mesti diberikan perhatian serius dalam menentukan kedudukan hak pembayaran petroleum kepada Terengganu, dan sudah tentunya apa jua akta yang dibuat selepas daripada itu, yang ingin mengambil kuasa yang telah sama-sama kita tangani pada tahun 1975 itu tidak wajar dijadikan menjadi penyebab atau alasan untuk membatalkan hak Terengganu yang dimeterai puluhan tahun lebih awal.
11. Ketiga, dan yang lebih parah ialah – yang akan saya ingat sampai bila – bila, bukan sekadar sebagai Menteri Besar je, tak jadi Menteri Besar pun nanti saya akan ingat sampai bila-bila dan biarlah sejarah yang merekodkan: bahawa royalti Terengganu ini – atau dipanggil dengan pelbagai nama seperti wang tunai petroleum, dana khas kerajaan persekutuan, wang ihsan – telah tidak diruskan oleh Kerajaan negeri sepenuhnya sejak berlaku pertukaran kerajaan dalam pilihan raya 19 Nov 2022. Kita berdoa, Insya-Allah keadaan akan pulih sepenuhnya seperti sepatutnya, jika berlaku perubahan dalam pilihan raya umum yang akan datang. Takboh cakap banyak tetapi begitulah hakikat dan realiti yang terpaksa kita telan dan sama-sama kita tangani.
KEDUDUKAN FISKAL DAN KEWANGAN NEGERI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kedudukan Fiskal Dan Kewangan Negeri.
12. Berkenaan dengan usaha memperkukuh kedudukan kewangan dan fiskal, Kerajaan Negeri memberi penekanan untuk meningkatkan kutipan hasil dengan lebih agresif, meneroka sumber pendapatan baharu, mengoptimumkan aset negeri serta menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai secara berhemah.
13. Dari sudut hasil, tumpuan diberikan kepada peningkatan kutipan cukai tanah, premium tanah, royalti galian, hasil perhutanan dan bayaran perkhidmatan, termasuk usaha mengurangkan tunggakan serta menyemak semula kadar fi dan caj yang bersesuaian.
14. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri terus meneroka sumber hasil baharu, termasuk terimaan daripada Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) dan keuntungan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, di samping memastikan aset dan sumber asli negeri memberikan pulangan yang optimum.
15. Dalam urusan perbelanjaan, Kerajaan Negeri mengutamakan pengurusan kewangan berhemah (prudent spending) untuk memastikan setiap perbelanjaan berasaskan keperluan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
16. Pendekatan ini disokong oleh pengurusan aliran tunai yang teliti serta keutamaan kepada projek pembangunan yang telah mempunyai komitmen dan projek infrastruktur asas yang mendesak. Bagi memastikan keberkesanannya, setiap agensi pemungut hasil turut dipantau berdasarkan sasaran prestasi yang ditetapkan.
17. Saya ingin tegaskan bahawa keseimbangan fiskal bukan bermaksud pembahagian peruntukan secara sama rata, sebaliknya, ia menuntut kecekapan mengutip hasil cukai dan mengurus perbelanjaan operasi serta memastikan setiap pelaburan pembangunan memberikan impak jangka panjang. Ini termasuklah kedudukan PBT-PBT yang perlu meningkatkan keupayaan mereka supaya boleh berdiri. Mungkin satu hari — hari pertama berdiri— merangkak untuk berdiri, lepas itu boleh berjalan, dan selepas berjalan itu, berlari. Rangka kerja dan pelan strategik perlu dirangka oleh setiap PBT supaya mereka tahu hala tuju dan cara untuk mereka sampai, supaya boleh berlari. Tak semestinya selesai dalam waktu yang singkat; kalau tak boleh setahun, dua tahun dan seterusnya. Tapi kena buat, kena cari jalan supaya setiap PBT yang ada di Negeri Terengganu ini mampu untuk berlari dengan selesa.
GLC DAN BADAN BERKANUN NEGERI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Glc Dan Badan Berkanun Negeri
18. Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian terhadap prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Badan Berkanun Negeri agar setiap entiti ini diurus secara cekap, berintegriti dan berdaya saing. Penilaian prestasi bukan sahaja mengambil kira kedudukan kewangan, keuntungan dan keupayaan menjana pendapatan, malah turut menilai pulangan kepada Kerajaan Negeri, kecekapan tadbir urus serta sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kesimpulan apa yang saya sebut tadi itu adalah, bukan 100% berkait dengan untung rugi semata-mata. Mungkin di atas kertas nampak untung banyak, tapi kalau tidak boleh memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat, tidak ada maknanya. Kalau tidak ada untung pun tidak ada maknanya. Jadi kena balance antara keuntungan yang boleh memberikan pulangan kepada Kerajaan Negeri, bukan semata-mata menghasilkan keuntungan untuk membayar cukai. Ini saya tak nak pergi jauh tentang membayar cukai kepada Kerajaan Persekutuan.
19. Dalam konteks ini, Kumpulan Terengganu Incorporated telah menyumbang secara langsung kepada ekonomi negeri melalui pembayaran kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM105.5 juta pada tahun 2025, manakala RM38.7 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2026. Selain itu, kumpulan TI turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 9,200 orang tenaga kerja serta menyalurkan perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM16.3 juta pada tahun 2025.
20. Kita juga menyaksikan pencapaian strategik Terengganu Incorporated dalam memperoleh pegangan ekuiti dalam sektor eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas, selain berjaya menarik pelaburan melebihi RM10 bilion bagi Projek Solar Terapung Hidro Hibrid di Tasik Kenyir. Pencapaian ini membuktikan peranan GLC sebagai pemangkin pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negeri. Saya tak akan sebut dengan lanjut berkenaan dengan pegangan ekuiti yang membuahkan hasil seperti dalam sektor eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas. Tak ada perkara yang agak spesifik berkenaan dengan hal ini. Insya-Allah, kalau duit masuk, kita akan maklum balik kepada semua. Kita sembang panjang-panjang, duit tak masuk lagi. Insya-Allah, by first quarter next year, duit masuk, insya-Allah kita akan sebut dan maklumkan dalam sidang yang akan datang insya-Allah. Kalau kita begitahu awal, manalah tahu ada pihak yang dengki di luar sana yang mengambil langkah yang berbeza. Jadi inilah, kadangkala ada perkara yang baik, we save the best for the last. Kita tak cerita awal; kalau tidak, kalau kena sailang awal-awal, naya kita.
21. Bagi Badan Berkanun Negeri pula, Kerajaan Negeri memastikan setiap organisasi melaksanakan mandat penubuhannya dengan berkesan, di samping mengekalkan kemampanan kewangan dan memberikan nilai tambah kepada negeri. Keuntungan yang dicatatkan tidak seharusnya dilihat dari sudut kewangan semata-mata, namun ia perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, penglibatan usahawan tempatan, pelaksanaan projek strategik dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
22. Dalam memastikan kelangsungan prestasi, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berbeza mengikut kedudukan setiap entiti. Bagi GLC dan Badan Berkanun yang berprestasi kurang memberangsangkan, pemantauan berkala, audit pengurusan dan kewangan, penstrukturan semula operasi, pengoptimuman aset serta kawalan kos akan diperkukuh melalui pelan pemulihan yang jelas dan bersasar. Ini kalau kita banding 10 tahun dulu, sebelum kita ambil alih kerajaan, keadaan pada waktu itu lebih parah. Dan sebagaimana yang semua sedia maklum, bukan menjadi kecenderungan saya untuk kita bongkar apa yang berlaku 10 tahun dahulu. Kita memilih untuk bergerak ke hadapan, menyelesaikan apa jua tanggungjawab yang diberikan kepada kita terlebih dahulu, daripada mengungkit-ungkit apa yang berlaku 10 tahun yang lalu.
23. Bagi entiti yang mencatatkan keuntungan, tumpuan diberikan kepada pengembangan perniagaan, penerokaan pelaburan strategik, pendigitalan, inovasi, automasi dan pengukuhan tadbir urus korporat bagi memastikan pertumbuhan yang lebih mampan serta peningkatan sumbangan kepada hasil negeri.
PEMBINAAN SEMULA MASJID DI SETIU
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
24. Ini ada satu perkara yang agak spesifik, pembinaan semula masjid di Setiu, Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada Setiu. Kerajaan Negeri amat bersimpati dengan insiden kebakaran yang telah memusnahkan sepenuhnya Masjid At-Taqwa, Kampung Beris Tok Ku di Setiu pada 6 November yang lalu. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan pembinaan semula masjid tersebut di tapak asal dengan kadar yang segera bagi memastikan kemudahan dan keperluan ibadah penduduk setempat dapat dipulihkan.
BONUS PENJAWAT AWAM
25. Baik, saya teruskan. Yang terakhir sebelum saya akhiri, sebelum saya menutup ucapan saya pada hari ini, saya kira ada satu lagi pengumuman yang pastinya dinanti-nantikan. Orang yang tak dapat perkara ini pun tanya. Saya berada di luar Dewan, ada pihak yang tanya, "Ada ke tidak tahun ni?" Saya kata, "Awak terima bonus bonus apa tak?" "Tak ada." "Nak tahu juga?" Nak buat macam mana. Ini adalah realiti yang kita kena hadap bahawa sehebat mana pun perancangan dasar yang kita rangka, ia tidak akan menjadi sebahagian daripada realiti tanpa komitmen dan dedikasi barisan penjawat awam Kerajaan Negeri.
26. Justeru, sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti yang dicurahkan oleh seluruh warga penjawat awam Negeri Terengganu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,500. Insya-Allah
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
27. Sekali lagi, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persidangan pada kali ini.
28. Daripada pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga kepada pihak yang menyediakan makanan, kelengakapan, yang menjalankan segala tugas dan amanah, walaupun sekecil-kecilnya, saya ucapakan terima kasih saya ucapkan. Semoga segala usaha kita diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.
Sekian.
0 Comments