Terengganu raih RM400 juta pelaburan pada suku pertama 2026


KUALA TERENGGANU 13 JulaiTerengganu merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM399.8 juta bagi suku pertama 2026 dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar susulan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri itu.

Jumlah pelaburan tersebut merangkumi sektor perkhidmatan bernilai RM336.4 juta atau 84.1%, manakala sektor perkilangan menyumbang RM63.4 juta (15.9%).

Daripada keseluruhan nilai pelaburan berkenaan, pelaburan domestik mencatatkan sumbangan terbesar sebanyak RM348.4 juta atau 87.1% , sementara pelaburan asing berjumlah RM51.5 juta atau 12.9%.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebanyak tujuh projek telah diluluskan sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2026.

“Kesemua projek ini dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 254 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Terengganu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) yang ingin tahu nilai pelaburan diperolehi setakat ini dalam Persidangan Dewan Udangan Negeri Terengganu hari ini.

Bagi pelaburan di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Terengganu merekodkan nilai RM91.2 juta melibatkan empat projek yang telah mendapat kelulusan penuh.

Empat projek tersebut melibatkan sektor perkilangan dan perkhidmatan iaitu Guanglei Steel Structure Engineering Malaysia Sdn Bhd yang menjalankan aktiviti pengeluaran struktur keluli di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman; Leung Huat Timber Industries (M) Sdn Bhd bagi pengeluaran kayu gergaji di Wakaf Tapai; serta Atlas Edible Ice (Pahang) Sdn Bhd bagi pengeluaran ais tiub di Kawasan Perindustrian Jakar III.

Turut menerima kelulusan ialah Laguna Redang Island Resort Sdn Bhd bagi pembangunan hotel tiga bintang Aqua Villa Perhentian di Pulau Perhentian yang akan menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

Sembilan Projek Berpotensi Dalam Radar Pelaburan

Menurut beliau, selain projek yang telah diluluskan, terdapat sembilan projek berpotensi yang masih dalam pertimbangan dan boleh menyumbang kepada jumlah pelaburan negeri bagi tahun ini.

Antara projek berkenaan melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, utiliti, logistik dan hospitaliti termasuk pembangunan jana kuasa hidro kecil berkapasiti 2.85 megawatt (MW), 3MW dan 4.70MW.

Turut dalam pertimbangan ialah pembangunan Terminal Gas LNG Kemaman, loji jana kuasa elektrik menggunakan teknologi turbin gas kitar gabungan (CCGT), Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa di Muara Utara KTCC serta projek pembesaran KMI Kuala Terengganu dan KMI Kuantan.

Kerajaan negeri turut menyenaraikan pembangunan infrastruktur di Kawasan Industri Kemaman (KSB) melibatkan kawasan pemeriksaan kastam sebagai antara projek berpotensi untuk direalisasikan.

Mineral Sebagai Sumber Hasil Bukan Cukai Baharu

Menjawab soalan tambahan Ahmad Shah mengenai langkah kerajaan negeri dalam menjana hasil mineral sebagai pendapatan utama hasil bukan cukai negeri pula, Mohd Nurkhuzaini berkata sektor mineral disasarkan menjadi antara penyumbang utama bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum.

Beliau yang juga ADUN Kota Putera berkata kerajaan negeri sedang memperkukuh tadbir urus sektor mineral menerusi pelaksanaan Dasar Mineral Negeri Terengganu 2018 (Pindaan) 2025 sebagai panduan dalam mengurus aktiviti perlombongan secara mampan.

“Antara strategi utama ialah membangunkan industri hiliran mineral supaya sumber mineral negeri tidak hanya dijual sebagai bahan mentah, sebaliknya diproses bagi meningkatkan nilai tambah ekonomi,” katanya.

GLC Negeri Terlibat Dalam Projek Mineral

Katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri seperti Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melalui usaha sama bersama pelabur tempatan dan asing.

Melalui pendekatan itu, kerajaan negeri bukan sahaja memperoleh hasil daripada royalti mineral, malah berpotensi menikmati pulangan tambahan melalui pegangan ekuiti dan agihan dividen daripada projek yang dibangunkan.

Beliau berkata, kadar fi dan royalti mineral juga sedang ditambah baik dengan purata kenaikan sebanyak 100% daripada kadar asal dan dijangka berkuat kuasa pada suku ketiga 2026 bagi memastikan pulangan lebih optimum kepada negeri.

Kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan kutipan hasil mineral melalui penguatkuasaan lebih menyeluruh bagi mengelakkan ketirisan hasil kerajaan.

Pelan Mineral Negeri Terengganu Sebagai Hala Tuju Jangka Panjang

Menurutnya, usaha memperkukuh sektor mineral turut diteruskan menerusi inisiatif New Income Terengganu (NIT), termasuk pelaksanaan bengkel hasil bukan cukai mineral pada Ogos 2025 serta pembangunan Pelan Mineral Negeri Terengganu.

Pelan berkenaan akan menjadi rujukan utama dalam pengurusan, penerokaan, pembangunan dan pengkomersialan sumber mineral negeri secara mampan serta mematuhi aspek alam sekitar dan perundangan.

Kerajaan negeri yakin pembangunan sektor mineral secara sistematik mampu mewujudkan ekosistem industri baharu, meningkatkan peluang pekerjaan serta memperkukuh kedudukan kewangan Terengganu dalam jangka panjang. - DagangNews

Post a Comment

0 Comments