Katanya, hubungan antara EU dan Malaysia bukan hanya tertumpu di peringkat Kerajaan Persekutuan, malah turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengenal pasti peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Malaysia adalah antara rakan dagang terpenting EU di rantau ini dan hubungan perdagangan meliputi pelbagai sektor termasuk semikonduktor, elektronik, peralatan industri serta bahan mentah kritikal.
“Terengganu pula mempunyai kekuatan dalam sektor petrokimia selain berpotensi dalam ekonomi hijau, pendigitalan dan teknologi baharu yang boleh diterokai bersama syarikat-syarikat Eropah,” katanya kepada media sempena Lawatan Kedutaan Kesatuan Eropah ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Rafael bersama 17 delegasi EU mengadakan kunjungan hormat ke atas Ahmad Samsuri di Wisma Darul Iman selepas menghadap Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Beliau berkata, ketika ini lebih 2,000 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia termasuk beberapa syarikat mempunyai pelaburan di Terengganu.
Katanya, falsafah pelaburan syarikat Eropah bukan sekadar menjalankan perniagaan, sebaliknya membangunkan modal insan tempatan melalui pemindahan teknologi, latihan dan peluang pekerjaan.
“Kejayaan sebenar adalah apabila kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama ini, bukannya hanya membawa teknologi dan tenaga kerja sendiri tanpa memberi nilai tambah kepada komuniti setempat,” ujarnya.
Mengulas mengenai AI, Rafael berkata, EU melihat teknologi itu sebagai pemangkin untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti manusia, bukannya menggantikan tenaga kerja.
Katanya, pembangunan AI perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan memberi penekanan kepada perlindungan data peribadi, hak asasi manusia dan pembangunan kemahiran tenaga kerja.
Sementara itu, beliau berkata, TVET adalah antara bidang yang berpotensi besar untuk diperkukuh melalui kerjasama antara Terengganu dan EU.
“Gabungan latihan praktikal dan pendidikan berterusan penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa depan.
“Sistem ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran belia, malah membantu syarikat memperoleh tenaga kerja yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Katanya, ketika ini terdapat sekurang-kurangnya dua projek penyelidikan melibatkan institusi pengajian tinggi di Terengganu iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan rakan universiti di Eropah, khususnya dalam bidang akuakultur dan biodiversiti.
Beliau berkata, lawatan itu memberi gambaran lebih jelas kepada delegasi EU mengenai potensi sebenar Terengganu dan membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.
“Kami kagum dengan potensi yang dimiliki Terengganu. Negeri ini mempunyai banyak peluang yang boleh diterokai bersama dalam pelaburan, teknologi, pendidikan dan pembangunan mampan,” katanya. - UTUSAN

0 Comments