"'Cermin sendiri kelemahan PH, bukan sibuk tuduh PAS meratib nama DAP" - Dr Sam


SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) perlu mengenal pasti kelemahan dalaman gabungan itu, bukannya sibuk mendakwa PAS menggunakan DAP sebagai modal kempen untuk meraih sokongan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata dakwaan terhadap PAS itu sama sekali tidak benar kerana apa yang dikenal pasti punca semua itu adalah daripada kelemahan PH sendiri.

"Apa yang berlaku ialah 'self-destruction'. Mereka yang beri masalah kepada diri mereka sendiri, jadi kenapa dilabelkan kita meratib pula?

"Masalah itu ditimbulkan mereka. Mereka kena buat cerminan sendiri," katanya selepas Program Nogori Beradat, Kito Sepakat di Pusat Penerangan dan Komunikasi Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Senawang, petang tadi.

Ahmad Samsuri menegaskan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan PN tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

Beliau menyifatkan dakwaan PH itu hanya propaganda untuk mempengaruhi pengundi.

"Kalau kita tengok propaganda ini, mereka lakukan berulang-ulang, dengan tujuan lama-lama orang akan percaya.

"Saya rasa rakyat sudah celik pada waktu ini, dengan maklumat di hujung jari setiap orang, masing-masing boleh tengok apa yang diucapkan lima atau 10 tahun dahulu yang ada dirakamkan.

"Jadi tak timbul pun isu itu, mereka sebenarnya yang menimbulkan masalah sedemikian, ini boleh dilihat pada rekod yang lalu," katanya.

Menteri Besar Terengganu itu turut menafikan kempen PN ketika ini kurang cergas sebaliknya menegaskan ia dilaksanakan secara agresif dengan strategi tersendiri bagi memikat hati pengundi.

"Gear satu atau dua, itu saya tak pasti, tapi dalam gerak kerja kempen ini ia ada strategi tersendiri. Kempen ada cara dan kaedah dia.

"Semestinya ada kepelbagaian dan bagi orang biasa mungkin melihatnya agak sejuk, tapi kempen sedang berjalan sangat aktif di kalangan jentera BN dan PN," katanya. -BeritaHarian

Post a Comment

0 Comments