PENDAHULUAN
Alhamdulillahi rabbil 'alamin, wabihi nasta'in, wal 'aqibatu lil muttaqin, wala 'udwana illa 'alaz zalimin.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua,
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri,
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,
Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi,
Yang dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, petugas media, bentara dewan, semua tetamu dan pemerhati yang berada dalam dewan dan mengikuti secara maya di luar sana.
Dengan setulus keikhlasan, marilah sama-sama kita mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu agar sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT, dilanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat sejahtera yang berpanjangan. Semoga kerahmatan dan kesejahteraan juga ke atas putera dan puteri-puteri baginda serta kerabat-kerabat diraja sekaliannya.
Saya mohon mencadangkan Enakmen Perbekalan 2027 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan dan memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun 2027. Perinciannya adalah seperti dalam Buku Belanjawan 2027 Terengganu Darul Iman.
ANGGARAN HASIL DAN PERBELANJAAN
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Belanjawan 2027 ini memperuntukkan sejumlah RM1.983 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.
Bagi Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak RM346 juta atau 77 peratus diperuntukkan kepada sektor sosial, RM82 juta atau 18 peratus kepada sektor ekonomi, manakala RM22 juta atau 5 peratus kepada sektor pentadbiran bagi menyokong pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
Di samping Terimaan Bukan Hasil yang dianggarkan berjumlah RM1.726 bilion, Kerajaan Negeri juga turut memberikan tumpuan kepada peningkatan hasil janaan negeri kepada RM361.06 juta, merangkumi RM86.3 juta daripada Hasil Cukai dan RM274.76 juta daripada Hasil Bukan Cukai, menjadikan keseluruhan hasil surplus sebanyak 5 peratus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.088 bilion.
CABARAN GEOPOLITIK DAN DOMESTIK
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kedudukan kewangan negeri perlu dilihat dalam konteks perubahan ekonomi dan geopolitik global, termasuk ketidaktentuan pasaran tenaga, persaingan kuasa besar dan peningkatan kos sara hidup seharian.
Sudah pasti perkembangan ini akan memberi kesan kepada aktiviti industri dan hasil berkaitan petroleum negeri, disebabkan struktur ekonomi yang banyak bergantung pada industri petroleum dan petrokimia sejak sekian lama.
Terengganu turut berdepan dengan pelbagai cabaran struktur yang perlu diberi perhatian. Cabaran ini saling berkait, bermula daripada struktur industri dan pasaran buruh, keupayaan logistik serta kepelbagaian sumber pertumbuhan, sehinggalah kepada ruang fiskal kerajaan dan kesejahteraan isi rumah.
Bagi aspek pembangunan negeri, jaringan Laluan Rel Pantai Timur, ECRL, membuka peluang untuk menghubungkan kawasan industri dan pusat pengeluaran dengan pasaran yang lebih luas. Perancangannya perlu disokong dengan data permintaan serta kajian strategik, supaya infrastruktur yang dibangunkan mampu memberikan kos yang efisien, melancarkan rantaian logistik barangan dan memperkukuh daya saing perusahaan negeri.
Keperluan menghubungkan pengeluaran dengan pasaran ini turut terpakai kepada sektor pelancongan, yang berpotensi menjadi satu lagi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Sehubungan dengan itu, Tahun Melawat Terengganu 2027 melalui kempen Visit Truly Terengganu 2027 mesti dimanfaatkan secara strategik, dengan memperkukuh penjenamaan, promosi dan kemudahan destinasi, agar peningkatan jumlah pelawat dapat diterjemahkan kepada pertambahan pendapatan pengusaha tempatan, serta limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Walaupun kita berdepan dengan pelbagai cabaran sebagaimana yang saya sebutkan tadi, namun dalam bermacam kekurangan dan kekangan itu, Negeri Terengganu tetap dinobatkan sebagai negeri yang paling telus dari segi belanjawan berdasarkan MyOBI. Pengiktirafan ini bukan sekali, bahkan tiga kali berturut-turut, tahun 2022, 2024 dan 2026. Dengan ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak kerana Negeri Terengganu telah melakar sejarah yang cukup membanggakan ini.
HALA TUJU STRATEGIK
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Saya mengambil pendekatan yang agak sedikit berbeza untuk pembentangan belanjawan pada kali ini. Berbanding mengumumkan satu per satu program dan projek, pada kali ini saya akan menyebutnya dengan lebih ringkas dan straight forward (dengan izin), dengan hanya menegaskan strategy map (dengan izin) , Kerajaan Negeri untuk diambil perhatian dan tindakan oleh semua entiti Kerajaan Negeri, daripada agensi negeri, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri, di samping menjelaskannya kepada semua pihak yang berkepentingan.
Belanjawan tahun 2027 ini adalah dengan tema "Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera", mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan mampu diterjemahkan kepada aspek kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Dalam konteks Negeri Terengganu, kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat ini didasari oleh lima faktor utama yang penting, merangkumi aspek keagamaan, kekeluargaan, kemasyarakatan, keintelektualan dan keselamatan.
Rakyat menikmati rasa bahagia dan sejahtera apabila:
Pertama, kita dapat mempunyai hubungan yang baik, hubungan yang terbaik dengan Allah SWT melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian.
Yang kedua, kita dapat menjalin hubungan yang harmoni dengan ibu bapa, keluarga serta saudara-mara. Ini antara nikmat bahagia dan sejahtera yang sering kali dipandang remeh oleh pihak-pihak tertentu, terutama mereka daripada negara Barat.
Ketiga, kita dapat melibatkan diri di dalam masyarakat menerusi hubungan kejiranan dan pelbagai aktiviti sosial, di samping meluangkan masa bagi diri sendiri untuk berehat dan beriadah.
Keempat, dapat mengakses pendidikan, yang merupakan suatu pelaburan yang sangat penting kepada generasi yang ada dan generasi yang akan datang.
Yang kelima, dapat menjalani kehidupan dalam persekitaran yang selamat, dengan perkhidmatan keselamatan awam yang dipercayai dan cekap, serta kebebasan untuk bergerak tanpa rasa takut.
Inilah antara lima yang memberikan kesejahteraan dan rasa bahagia kepada kita sebagai manusia di mana-mana jua kita berada.
Bagi Kerajaan Negeri, kejayaan agenda pembangunan menerusi angka pertumbuhan ekonomi, kita lihat angka pertumbuhan ekonomi ini sebagai suatu referen atau rujukan kita, atau kedudukan fiskal, kesemuanya ini mestilah bergerak seiring dan dinilai sejauh mana ianya dapat diterjemahkan untuk merealisasikan kehidupan rakyat yang lebih bermaruah dan bermakna.
Dalam ucapan saya di Konvensyen SG4, saya telah jelaskan betapa terdapat pelbagai pandangan mengenai angka-angka ekonomi ini; ada baik dan ada buruknya. Dan tentulah bagi kerajaan, buat masa ini, ianya adalah merupakan satu instrumen untuk mengukur kedudukan prestasi ekonomi. Tapi dalam masa yang sama, kita tidak melupakan bahawa angka-angka ini kepada rakyat di bawah tidak mendatangkan apa-apa, sehinggalah kehidupan mereka lebih baik, lebih sejahtera dengan faktor-faktor yang saya jelaskan tadi.
Dalam mencapai matlamat kesejahteraan dan kebahagiaan ini, lima fokus utama digariskan, iaitu:
Yang pertama, memperkukuh tadbir urus dan fiskal negeri melalui pelbagai program dan aktiviti yang akan kita laksanakan.
Yang kedua, memacu pertumbuhan ekonomi dengan merancakkan pelaburan berkualiti, mengukuhkan rantaian nilai dan memberdayakan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Yang ketiga, merancakkan sektor pelancongan melalui pelbagai promosi yang agresif dan program-program yang dilaksanakan, yang saya rasa kalau kita nak sebut dalam pembentangan bajet pada hari ini, mungkin sampai ke petang.
Keempat, memperkasa pembangunan modal insan menerusi latihan kemahiran aras tinggi dan ekosistem pekerjaan yang kondusif.
Kelima, menyejahterakan kehidupan rakyat dengan memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta memantapkan akses kepada keperluan asas.
INISIATIF BERKEUTAMAAN TINGGI (HIGH PRIORITY INITIATIVES, HPI)
Inisiatif Berkeutamaan Tinggi atau High Priority Initiatives, (dengan izin).
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Kerajaan Negeri berpandangan bahawa kita tidak boleh lagi bergantung dengan pendekatan kewangan yang sedia ada atau status quo untuk pembangunan ekonomi negeri, terutama dalam keadaan suasana pengurusan hasil yang bukan cukai dalam bentuk royalti petroleum yang kita pegang itu, sukar diuruskan dengan cara yang biasa, atau [perlu] luar daripada kebiasaan atau luar biasa.
Kita juga harus melakukan pelbagai inovasi pembiayaan, terutama untuk penerokaan sumber baharu dengan segala hikmahnya. Kerana penerokaan sumber baharu tentulah ada yang melibatkan pelbagai pihak atau stakeholders (dengan izin), ada di peringkat industri, ada di peringkat rakyat, ada di peringkat rakyat tempatan dan rakyat asing yang datang ke Negeri Terengganu. Dan tentulah pendekatan kepada penerokaan sumber baharu kepada rakyat sendiri akan dilakukan dengan begitu cermat dan penuh hikmah, supaya tidak membebankan rakyat kita sendiri. Dan ia juga ialah usaha untuk kita memperkukuh kedudukan fiskal negeri berlandaskan prinsip keadilan dan keupayaan.
Prinsip keadilan menuntut supaya hak Terengganu sentiasa dihormati, dan peruntukan pembangunan Persekutuan mengambil kira keperluan sebenar berdasarkan keutamaan negeri serta sumbangan negeri kepada ekonomi negara.
Pada masa yang sama, prinsip keupayaan menuntut Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mengoptimumkan sumber negeri, supaya setiap ringgit menghasilkan manfaat yang lebih besar kepada rakyat.
Kedua-dua prinsip ini mesti bergerak bersama agar pembangunan di Terengganu dapat diterjemahkan kepada kemakmuran yang dirasai oleh seluruh rakyat negeri ini, supaya kitaran ekonomi itu tidak hanya berlegar di kalangan yang tertentu sahaja.
Seiring dengan itu, Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha untuk menambah baik prestasi syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan Badan Berkanun Negeri melalui kecekapan operasi, memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan daya saing, khususnya bagi institusi yang masih berdepan dengan cabaran kewangan serta memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan.
Kita juga akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman institusi yang menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti Terengganu Incorporated atau TI, EPIC, TDM dan Ladang Rakyat, melalui kerjasama strategik dan amalan terbaik dalam mewujudkan ekosistem GLC serta Badan Berkanun yang lebih berdaya saing dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Kerajaan Negeri akan meneliti potensi kepelbagaian pembiayaan alternatif, agar projek-projek infrastruktur yang berkepentingan kepada rakyat dapat direalisasikan tanpa gangguan pihak lain yang melambatkan proses sedia ada.
Kadang-kadang kita berdepan dengan suasana di mana prioriti ataupun senarai negeri tidak sama dengan senarai pihak Persekutuan, yang menyebabkan segala perancangan kita sukar diatur, apabila kelulusan diberi kepada projek-projek ataupun perkara-perkara infrastruktur atau pembangunan yang bukan dalam senarai top 5 atau top 10 daripada prioriti negeri. Ini antara masalah konsep federalisme yang sedia ada yang memerlukan penambahbaikan. Dan saya percaya, sekiranya kita diberi ruang pada waktu yang di hadapan ini, insya-Allah kita akan melakukan penambahbaikan kepada sistem fiskal dan juga sistem, konsep hubungan antara Federal dengan Negeri, selepas selesai pilihan raya yang akan datang, insya-Allah.
Kerajaan Negeri akan meneruskan fokus terhadap sumber mineral bernilai tinggi di Terengganu dalam sektor perlombongan, melalui pembangunan ekosistem lengkap industri hiliran, untuk memastikan nilai tambah kekal di negeri ini. Dan ini antara perkara yang kerap kali dipertanyakan oleh pelbagai pihak. Kita tidak ingin lagi hasil negeri dikorek di sini dan terus dieksport atau dijual di luar tanpa mendapat sebarang nilai tambah kepada negeri sendiri.
Kerajaan Negeri juga secara serius dan berterusan mempertingkatkan sistem penyampaian dan komunikasi rakyat dari semasa ke semasa, agar maklumat yang benar sentiasa menjadi rujukan rakyat. Ini adalah antara cabaran yang saya rasa semua orang kena hadap, sama ada daripada pihak kerajaan, daripada agensi-agensi, badan-badan berkanun, kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua ketua-ketua jabatan dan semua individu, bahawa kita berdepan dengan suasana media yang sangat terbuka, yang kadang-kala tidak berlaku adil kepada kita.
Untuk tahun 2027, bagi mendepani pelbagai cabaran yang saya gariskan tadi, dan juga bagi menyelaras komunikasi kerajaan yang lebih tersusun supaya maklumat dapat disampaikan dengan segera, maka Sekretariat Komunikasi Strategik Negeri Terengganu atau Terengganu StratComm akan membangunkan Pelan Induk Komunikasi Strategik Negeri Terengganu sebagai panduan pengurusan komunikasi di peringkat pentadbiran negeri, di samping pembangunan modul latihan komunikasi akan turut digerakkan secara lebih agresif.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Bagi Kerajaan Negeri, pembangunan turut diukur melalui kesejahteraan rakyat, termasuk kualiti hidup, kemampuan memenuhi keperluan harian, jaminan makanan dan kelestarian alam sekitar. Hal ini turut dicerminkan oleh Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) Terengganu yang meningkat kepada 116.7 mata, menunjukkan peningkatan dalam ukuran kesejahteraan keseluruhan rakyat.
Namun begitu, peningkatan kesejahteraan ini perlu terus disokong oleh asas ekonomi yang lebih kukuh dan produktif. Kita tidak boleh berpuas hati dengan struktur ekonomi sedia ada, atau terlalu bergantung pada perbelanjaan kerajaan ataupun government-led spending, dengan izin. Sebaliknya, pelaburan swasta perlu dipergiat, rantaian nilai domestik diperkukuh, dan peluang ekonomi baharu diteroka agar pertumbuhan yang lebih mampan dapat menjana pendapatan serta pekerjaan berkualiti untuk rakyat Negeri Terengganu.
Kita memerlukan satu anjakan paradigma dalam dunia pelaburan yang kompetitif, untuk menukar posisi kita daripada sekadar "penjaga pintu" yang menunggu kehadiran pelabur kepada "pengejar" yang mencari pelabur yang berpotensi.
Dengan kita tidak menafikan, yang saya pernah sebut dalam Konvensyen SG4 baru-baru ini, konvensyen ekonomi, bahawa terdapat keperluan yang sangat serius bagi pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk melakukan due diligence yang teliti. Namun due diligence kena teliti lagi, kalaulah kita berdepan dengan pelabur yang pelbagai yang ada di hadapan kita. Tapi dalam masa yang sama, due diligence, keterlitian kita ini tidak harus menyebabkan kita sekadar menjadi penjaga pintu, atau menyebabkan pelabur-pelabur tidak ingin, tidak mampu untuk datang ke Negeri Terengganu.
Saya mahu agensi-agensi penting pembangunan ekonomi negeri untuk melakukan perubahan ini dan bertindak secara lebih agresif dan proaktif. Naratif kita "menjual" Terengganu kepada pelabur mesti diubah dan berfokuskan kepada sebuah ekosistem yang menyeluruh, seperti lokasi bahan mentah, keupayaan sumber tenaga yang mahir, sokongan utiliti dan kebolehan mengeksport melalui integrasi ECRL dan pelabuhan yang ada di Negeri Terengganu. Inilah ekosistem pelaburan di Negeri Terengganu yang mesti kita realisasikan.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan meneliti kembali pelbagai kawasan-kawasan industri yang ada di negeri, sama ada yang sedang meningkat dengan begitu rancak, ataupun yang sedia ada, ataupun yang nampak seperti seolah-olah gajah putih, supaya dapat kita urus atur kembali kedudukan kawasan-kawasan industri ini, dan kita dapat mengenal pasti sektor dan profil pelabur yang dapat memberikan pulangan yang paling optimum, supaya dapat membentuk suatu rantaian bekalan di mana kawasan perindustrian ini menyokong antara satu sama lain.
Inilah antara perkara yang mungkin timbul apabila kita bertemu dengan pihak-pihak di luar sana, terutama daripada negara-negara luar, negara Eropah dan sebagainya, yang bertanya tentang data centre, yang semua orang jadi begitu excited, dengan izin, mengenai data centre ini, kerana ia membawa satu nama yang tertentu, terutama apabila kedatangan syarikat-syarikat yang berkait dengan dunia antarabangsa ini.
Tapi dalam masa yang sama kita harus faham bahawa kewujudan data centre ini setiap kali haruslah datang dengan ekosistemnya. Tidak boleh dengan sebuah data centre semata-mata yang akan menyedut penggunaan air dan juga elektrik di Negeri Terengganu begitu sahaja, tapi haruslah datang dengan pelbagai ekosistem yang boleh dipartisipasi, boleh diikuti sama oleh seluruh rakyat dalam pelbagai sektor ekonomi dan perkhidmatan, supaya ianya mendatangkan hasil kepada negeri dan juga kepada rakyat negeri kita ini.
Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa pembangunan berorientasikan transit atau TOD di sekitar enam stesen ECRL di Terengganu perlu diberikan perhatian dan diselaraskan secara lebih menyeluruh.
Dan saya faham bahawa kita berdepan dengan pelbagai cabaran, terutama dari segi kewangan dan sebagainya, dan kedudukan TOD-TOD yang tidak semua mesra kepada pembangunan. Ada yang berhampiran kawasan air, kawasan tenggelam, tepi bukit, dalam swamp ataupun dalam lowland swamp dengan izin, dan memerlukan kos awalan yang sangat besar dan mungkin membebankan Kerajaan Negeri. Tapi inilah antara cabaran-cabaran yang sedang kita hadapi.
Oleh kerana itu, saya minta supaya pihak Kerajaan Negeri melalui UPEN sebagai penyelaras utama, bersama dengan agensi dan syarikat GLC serta PBT sendiri di pelbagai PBT, perlu bersinergi usaha dan tindakan dalam mempergiat usaha menarik pelaburan, mempercepat pembangunan kawasan komersial dan industri, serta memastikan potensi ekonomi di sekitar setiap stesen dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Dan tentunya apabila kita berdepan dengan kawasan-kawasan yang sedemikian, kawasan stesen yang memerlukan akses daripada rakyat dari masa ke masa, yang mungkin juga akan ada mixed development, dengan izin, di kawasan-kawasan stesen ini, maka tentunya kewujudan kawasan-kawasan industri yang berhampiran itu haruslah memenuhi kriteria-kriteria keselamatan yang sangat penting. Mana-mana industri yang berdepan dengan risiko keselamatan tentulah tidak sesuai untuk ditempatkan berhampiran dengan kawasan TOD.
Apa yang lebih penting ialah aspek connectivity dengan izin, atau ketersambungan antara stesen ECRL dengan pusat bandar, kawasan perindustrian dan destinasi pelancongan, mestilah diberikan keutamaan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Tumpuan strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh rantaian nilai sektor pertanian kini membuahkan hasil. Pada tahun 2025, KDNK sektor ini telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus dengan nilai mencecah RM3.1 bilion. Ini meletakkan pencapaian pertanian Terengganu pada tangga kedua tertinggi di Malaysia, sekali gus mengatasi pertumbuhan purata nasional pada kadar 2.2 peratus.
Hal ini juga dapat dinilai menerusi prestasi enam Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), di mana walaupun hanya merangkumi 7.9 peratus daripada keseluruhan tanah pertanian negeri, namun berjaya menyumbang sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan pengeluaran hasil pertanian kita.
Bagi meneruskan momentum ini, Kerajaan Negeri akan terus memacu sektor pertanian melalui kerja-kerja penaiktarafan TKPM dan pembinaan baharu infrastruktur Taman Pertanian. Ini digandingkan dengan pelbagai inisiatif untuk terus melonjakkan pengeluaran industri padi serta tanaman, penternakan dan perikanan negeri.
Seterusnya, kitaran ekonomi negeri akan dirancakkan lagi dengan menjadikan agenda pembangunan industri halal Terengganu sebagai pemacu ekonomi baharu. Rumah sembelihan yang memenuhi piawaian dan memperoleh pensijilan halal JAKIM akan dibangunkan, bagi meningkatkan keyakinan pasaran, memperluas akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa, serta membuka peluang kepada produk tempatan untuk menembusi rantaian bekalan halal global.
Bagi melonjakkan daya saing PMKS, Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen memperkasa usahawan menerusi Program Usahawan Go Digital 2027, untuk memperluas penggunaan teknologi digital dalam pemasaran dan operasi perniagaan, selaras dengan perkembangan pasaran semasa.
Ini sama-sama kita dapat lihat, kalau Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dan yang hadir sekalian pergi ke kawasan-kawasan yang menjalankan perniagaan seperti di Guangzhou dan lain-lain tempat, kita dapati kadang-kadang shoplot-shoplot dan kedai-kedai itu hanya kecil sahaja. Besarnya mungkin 6 kaki kali 10 kaki sahaja, tapi mereka masih di tempat yang sama, masih menjalankan aktiviti online untuk dihantar secara online ke seluruh dunia. Walaupun mereka punya warehouse di tempat lain, tapi outlet mereka ada dalam kapasiti fizikal yang sangat limited. Dan ini juga antara ruang-ruang yang boleh dimanfaatkan oleh para peniaga-peniaga kita untuk sama-sama terlibat dalam operasi perniagaan secara digital. Dan insya-Allah Kerajaan Negeri memberikan komitmen melalui program yang saya sebutkan tadi, untuk kita bawa pengusaha-pengusaha atau usahawan-usahawan dari Negeri Terengganu untuk turut terlibat dalam aktiviti yang semakin berkembang ini.
Berkaitan dengan ini juga, Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan penggunaan platform e-dagang yang setara dengan paras nasional menjelang tahun 2030.
Sasaran ini mencerminkan anjakan daripada pendigitalan atau digitalisation, dengan izin, sebagai pilihan kepada pemacu pertumbuhan perniagaan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai usahawan Terengganu untuk melangkaui pasaran setempat, menembusi pasaran yang lebih luas dan memperkukuh kedudukan dalam ekonomi digital.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Tahun 2027 menjadi detik penting bagi sektor pelancongan negeri untuk melakar pencapaian baharu. Bagi mencapai sasaran kehadiran 15 juta pelancong, sebanyak 17 acara utama dan lebih 100 acara sampingan akan dilaksanakan sebagai tarikan utama sepanjang tahun. Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2027 juga harus memainkan peranan penting dalam memastikan setiap agenda berjalan secara terancang dan berimpak, dan juga dalam masa yang sama tidak menjadi elemen yang boleh memberi gangguan kepada kesejahteraan dan keharmonian yang kita ada di Negeri Terengganu.
Ini harus dilihat dengan cermat supaya program-program ini dapat memberikan manfaat kepada rakyat Negeri Terengganu secara umumnya. Kerana kita dapati ada program-program tertentu yang berlangsung di waktu-waktu yang lalu, kita mendapat rungutan daripada rakyat atas dengan suara bisingnya, dengan jamnya dan sebagainya. Insya-Allah kita cuba susun atur supaya ini dapat diuruskan lebih baik pada tahun yang akan datang ini.
Kesemua inisiatif dan program, contohnya seperti Festival Kenyir Geopark, Festival Hari Muzium Antarabangsa dan lain-lainnya dalam senarai, senarai yang panjang, lebih 100 dalam senarai, adalah antara program yang mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan Tahun Melawat Terengganu 2027 menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Melangkah juga ke tahun 2027, Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan agenda transformasi perkhidmatan awam, melalui pembangunan kompetensi penjawat awam secara berterusan, khususnya menerusi program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula ataupun upskilling dan reskilling, dengan izin, serta pensijilan profesional yang bersesuaian, termasuklah siri attachment di syarikat atau institusi yang terpilih.
Bagi mengekalkan momentum ini, Kerajaan Negeri akan turut memperkukuh ekosistem pekerjaan, melalui penambahan peluang kerjaya dan latihan kemahiran, serta kerjasama antara agensi melalui penganjuran Karnival Kesejahteraan Pekerjaan Negeri Terengganu 2027 dan pelaksanaan TVET Career Connect Terengganu.
Kita berdepan dengan cabaran yang pernah kita hadapi beberapa tahun dahulu. Kita menyediakan ruang di mana rakyat Terengganu yang ingin bekerja dalam sektor-sektor pembuatan, manufacturing, di luar dari Negeri Terengganu, syarikat-syarikat datang menjalankan interview mereka, temu duga mereka, hasil daripada program yang diatur urus oleh Kerajaan Negeri, sampai seratus orang lebih dapat, dan mereka bekerja di sana. Tapi tak sampai setahun, hampir enam bulan, hampir keseluruhan daripada seratus orang ini pulang ke Negeri Terengganu atas pelbagai sebab.
Jadi ini memerlukan anjakan paradigma, bukan sahaja kepada kita di pihak Kerajaan Negeri, bahkan juga kepada rakyat. Supaya, dalam istilah yang tidak popular, disebut sebagai "zaman strawberry"lah dan sebagainya, tapi tidak popular kerana ia membawa konotasi yang tertentu. Tapi saya percaya objektif dan hasrat kita adalah sangat murni, memastikan bahawa generasi yang ada sepanjang waktu ini dan generasi yang mendatang adalah mereka yang mampu berdepan dengan pelbagai cabaran; cabaran bukan sahaja di Negeri Terengganu, bahkan di luar Negeri Terengganu, bahkan peringkat antarabangsa. Kalau tidak, kita akan berdepan dengan zaman kegelapan kepada generasi yang akan datang.
Kerajaan Negeri juga amat peka akan pentingnya akses pendidikan yang inklusif dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Sehubungan dengan itu, Program Kecemerlangan KAFA Pelajar Sekolah dan Program Latihan Kemahiran Pondok akan terus diperkasakan, bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang bermanfaat pada masa hadapan. Kita mendapat respons yang sangat baik di kalangan pelajar-pelajar pondok dalam program teknikal atau vokasional. Dan ini adalah antara nilai tambah yang sangat besar ertinya yang kita boleh laksanakan, dan membantu membawa imej Terengganu yang lebih baik.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri akan turut memperkasakan Pusat Pengajian Islam OKU, dalam menyediakan kemudahan pembelajaran Islam dan al-Quran bagi golongan kurang upaya secara menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan mereka ini. Ini antara tanggungjawab kerajaan yang sangat penting kepada mereka yang tidak bernasib baik atau mendapat ujian daripada Allah SWT yang sedemikian, yang sudah tentunya akan merangkumi seluruh komuniti yang ada di Negeri Terengganu khususnya, tak kiralah sama ada orang Melayu, Orang Asli ataupun komuniti Cina, India dan sebagainya. Semuanya harus kita susun atur supaya program-program OKU mereka ini dapat diambil manfaat sepenuhnya.
Memahami akan pentingnya dakwah dalam kehidupan masyarakat, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Semarak Dakwah Komuniti di seluruh negeri, merangkumi pelbagai program keagamaan, sambutan Hari Kebesaran Islam, street dakwah serta pembudayaan amalan membaca dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, Program Pemerkasaan Daie Terengganu akan turut diberikan penekanan, bagi menggilap kemahiran para pendakwah di negeri ini agar penyampaian menjadi lebih kreatif, moden dan kontemporari, serta berimpak tinggi.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Dalam mendepani tekanan kos sara hidup dan memenuhi keperluan asas rakyat, Kerajaan Negeri komited memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera melalui akses kepada perumahan yang mampu dimiliki.
Sehubungan itu, Program RAHMAT akan dilaksanakan bagi membantu rakyat membina rumah mampu milik di atas tanah sendiri, di samping menyediakan peluang pemilikan tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kepada mereka yang memenuhi kriteria yang ditentukan.
Selain itu, aspek kesihatan akan turut diberikan perhatian demi menjamin kualiti kehidupan rakyat. Justeru itu, Program Kad Sejahtera Fasa 6 dan Program Wad Kelas Ketiga Percuma akan terus diperkasakan.
Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Bantuan Khairat Kematian sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menyediakan sokongan segera kepada waris yang terkesan. Pada masa yang sama, program Walimatulurus Perdana akan turut diteruskan pelaksanaannya.
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan rakyat terus menikmati persekitaran kehidupan yang bersih, selamat dan selesa. Justeru, mulai tahun hadapan, Pemajuan Inklusif Terengganu bagi Aspirasi Hasil atau PITAH akan dilaksanakan, bagi mempercepat urusan perancangan dan kebenaran merancang, sekali gus meningkatkan keupayaan PBT dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap.
Ini antara aspek yang saya kira kita sentiasa berusaha sejak daripada 2018 lagi, supaya proses-proses kelulusan segala macam pembangunan yang dijalankan di Terengganu ini dapat dijalankan dengan lebih cepat, teratur dan lebih cekap. Dan tentunya kita berdepan dengan cabaran-cabaran, yang saya kira setelah kita melalui pelbagai proses yang lalu, kita tidak boleh rasa puas hati ataupun rasa kecewa dengan apa jua usaha sebelum ini yang masih lagi gagal mencapai matlamat sepenuhnya. Kita mestilah terus berusaha untuk memastikan bahawa segala urusan perancangan dan kebenaran merancang dan pelbagai yang berkaitan itu dapat dijalankan dengan lebih cekap. Kalau dahulu mungkin enam bulan, kita boleh turunkan lagi kepada empat bulan, kepada tiga bulan, kepada dua bulan dan seterusnya.
Pengurusan kebersihan juga akan terus ditambah baik melalui peluasan kutipan sampah dari rumah ke rumah, manakala penggunaan teknologi Bandar Pintar seperti lampu isyarat pintar, CCTV dan pusat pemantauan bersepadu akan dipertingkatkan.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Tahun 2026 menyaksikan atlet Terengganu terus mengharumkan nama negeri dan negara, menerusi pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Anak kelahiran Dungun, Dato' Mohd Azizulhasni Awang, terus melakar kejayaan yang membanggakan apabila merangkul pingat emas acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Kejayaan ini wajar dijadikan penanda aras dan kayu ukur kepada atlet pelapis untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi.
Prestasi kontinjen Terengganu dalam SUKMA 2026 turut menunjukkan peningkatan yang membanggakan, apabila berjaya melonjak ke tempat ketiga keseluruhan berbanding tempat kelima pada SUKMA 2024.
Manakala atlet Para SUKMA Terengganu turut melengkapkan tahun yang gemilang buat seluruh rakyat Terengganu, apabila telah mempamerkan prestasi yang membanggakan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Terengganu.
Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pembangunan sukan melalui latihan berstruktur, sokongan kepada atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan serta pemberian insentif yang bersesuaian. Penganjuran Sukan Terengganu atau SUTERA yang melibatkan lapan daerah akan terus menjadi platform mencungkil bakat baharu, serta pembinaan padang bola sepak tambahan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, selain daripada [itu, atas] perkara yang dihantar oleh para Ahli-ahli Yang Berhormat, ialah pembaikan padang bola di daerah-daerah secara berfasa, akan diperluaskan lagi sebagai satu ruang untuk pembinaan dan pembangunan atlet. Kita nak buat 32 sekali gus, mungkin ada kekangan, tapi kita akan susun mana yang perlu didahulukan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri.
PENUTUP
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Sebelum mengakhiri ucapan pada hari ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang tidak pernah jemu menabur bakti untuk negeri ini. Segala kemakmuran yang kita kecapi hari ini adalah hasil keringat kita bersama.
Mungkin ada yang menjangka, dia tunggu-tunggu daripada awal tadi, bila MB nak umum sesuatu seperti bonus dan sebagainya. Itu tunggu pada hari terakhir. Jadi, cerita hero Hindustan, dia tak beri awal, dia beri kemudian.
Saya dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, bersama-sama semua Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, adalah mereka yang diberikan amanah untuk mengurus tadbir dan membantu rakyat. Kita tidak akan berada di sini selama-lamanya. Sampai masa, masing-masing akan diganti oleh orang lain. Tentunya juga kita, kami semua, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, bukanlah insan yang paling sempurna, paling terbaik. Ada kelemahannya. Oleh kerana itu, kami mohon pada Allah SWT agar kami terus diberikan kekuatan dan hidayah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang saya rasa sangat berat, terutama pada zaman yang ada ini.
Semoga segala keikhlasan daripada kami semua ini akan menjadi asbab untuk mengangkat Terengganu bukan sahaja sebagai sebuah negeri yang maju, bahkan negeri yang berkat dan sejahtera, dan yang paling penting mendapat keredaan daripada Allah SWT.
Mudah-mudahan setiap dasar yang dirancang, setiap peruntukan yang dibelanjakan dan setiap usaha yang dilaksanakan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
0 Comments