Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas nikmat Islam dan genap 66 tahun kita mengecapi kemerdekaan.
Sehingga hari ini negara kita mampu berdiri teguh sebagai negara merdeka, berdaulat dan majmuk dengan pelbagai kaum. Sebagai rakyat Malaysia, perlunya kita bersatu padu bagi mengekalkan keamanan yang kita nikmati ini agar tidak diganggu-gugat oleh anasir yang boleh merosakkan perpaduan negara tercinta.
Apabila mengimbau kembali sejarah nusa dan bangsa, kita sudah dijajah dan ditakluk sejak berabad lamanya. Sungguh generasi ini amat beruntung kerana perjuangan, perih dan jerih generasi terdahulu telah menghadiahkan kita sebuah nikmat kemerdekaan yang amat bermakna.
Kita perlu akui dan menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah negara yang unik dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum hasil penyatuan daripada 14 buah negeri. Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata dunia.
Kini bukanlah masanya untuk kita berpecah-belah, saling berbalah dan berpolitik siang malam. Sebaliknya harus terus mara ke hadapan untuk membina negara berasaskan perpaduan nasional, semangat federalisme dan patriotisme.
Ini jelas seperti yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran melalui ayat 13, Surah al-Hujurat yang bermaksud :-
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal mengenali (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Sebagai akhirnya, saya ingin mengajak seluruh rakyat negeri Terengganu agar sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan serta bersatu padu membangunkan negeri dan negara kita ini.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’
Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
30 Ogos 2023
0 Comments