MARANG - Perikatan Nasional (PN) mengakui isu kekurangan dana susulan pembekuan akuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi cabaran kepada calon yang mewakili gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Bagaimanapun Bendaharinya, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar berkata, ia tidak memberi kesan yang terlalu besar kepada gerak kerja jentera gabungan berkenaan.
Menurut Samsuri yang juga calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Pas sebagai contoh mengumpul dana di peringkat cawangan masing-masing sebaik berakhirnya pilihan raya lalu.
"Hari ini (sebagai contoh) habis sahaja pilihan raya, esok (Pas) telah memulakan proses untuk mengumpulkan dana. Jadi, bayangkan dalam masa lima tahun sedikit demi sedikit masing masing telah menyediakan dana yang mencukupi untuk membuat kerja asas di peringkat DUN.
"Namun, jentera (PN tetap) dapat bergerak cara sesuai dengan keadaan dana yang sedikit kerana yang penting semangat semua petugas termasuk pengundi muda sangat baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Teguh Pertahan:Kenali Calon Pas Marang Kite di Kampung Padang Mengkuang Pengkalan Berangan di sini malam Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa masalah kekurangan dana yang dihadapi calon PN pada PRN kali ini adalah kifarah terhadap perbuatan menganiaya UMNO termasuk membekukan akaun parti tersebut.
Mengulas lanjut, Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, gerak kerja jentera parti kini berada di landasan betul dan jika momentum itu dikekalkan hasrat untuk memenangi semua kerusi DUN pada kali ini tidak mustahil.
Namun, beliau turut mengingatkan jentera dan penyokong untuk tidak berasa terlalu selesa kerana keputusan muktamad hanya diketahui selepas hari pengundian nanti.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu sah menyita dua akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas membekukannya pada Januari lepas.
Menerusi satu kenyataan, SPRM memaklumkan tindakan sita itu dibuat pada 11 April lepas setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.
0 Comments