Respon ringkas terhadap kenyataan Menteri Ekonomi

1. Saya jadi malas nak melayan suara yang siang malam nak berpolitik, walau atas urusan Negeri/Negara yang perlu komitmen serius dan menjangkaui politik. Lama kelamaan rakyat akan muak dan benci species ahli politik yang hanya mementingkan diri semata. 

2. Ya ada perkara berpolitik, dan ada perkara yang kena keluar dari politik. Jiwa besarlah sikit kawan. Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar atau merasa "superiority complex". Pandangan kita walau hebat macamana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah.

3. Isu yang dibangkitkan oleh YB Menteri Ekonomi, adalah umpama "mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri" atau disebut sebagai "shooting your own foot" dalam bahasa yang lain.

4. Semua kena ingat, hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh Negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua Negeri. Saya ulang : semua rakyat dan negeri. 

5. Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya. Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan. Maka semua Negeri-Negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua Negeri-Negeri ini.

6. Semua bidang kuasa kerja kerajaan adalah termaktub dalam Perlembagaan dalam Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, dengan tiga kaedah pembahagian kuasa. Zaman dahulu, perkara ini adalah satu ilmu pelajaran Kertas Pengetahuan Am Tingkatan Enam. Tak perlu mengaji di Amerika atau Perancis untuk tahu perkara ini.

7. Semua yang ada dalam senarai projek pembangunan di Negeri-Negeri, iaitu semua Negeri, adalah melalui proses bincang dan penilaian puluhan pakar, agensi dan kementerian sebelum menjadi senarai dalam RMk-12 yang ada sekarang ini. Itu belum termasuk Rolling -Plan. 

8. Bila kata bincang, bermakna kementerian-kementerian termasuk Kementerian Ekonomi telah berbincang sebelum ini dengan semua Kerajaan Negeri. Bukan bincang tepi jalan. Itu tanggungjawab bersama  dan bukan Negeri seorang diri. Kenapa Negeri yang nak diperlekehkan ? Politik lah tu.

9. Saya tidak ingin menyebut angka-angka, atau peratusan nombor semua perkara ini, kerana pihak Menteri sepatutnya membaca angka-angka ini dan melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian.

10. Tidak bolehkah kita membina hubungan yang lebih harmoni, dengan duduk berbincang, samada di negeri-negeri atau Putrajaya, kerana itulah sebab ada Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan, dengan semangat Federalisme yang mengukuh terutama selepas Pilihanraya dijalankan ?

11. Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. Bye-bye keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua.

12. Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka.

13. YB Menteri, kalau apa yang saya nukilkan ini salah, mohon banyak kemaafan, saya hanya mahu kita semua bergerak pantas ke hadapan.


Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

Menteri Besar Terengganu


Post a Comment

0 Comments