MB, EXCO akan terus masuk 'gear tiga' - Samsuri


 KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan meningkatkan gerak kerja dalam usaha menambah baik pentadbiran dan pembangunan di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau bersama barisan EXCO Terengganu juga akan bergerak lebih pantas pada penggal ini dengan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek, termasuk merangka pelan lebih komprehensif untuk menarik pelabur ke negeri ini.

"Saya percaya jika penggal pertama hari itu saya membawa sebuah kenderaan dalam gear satu...pada kali ini, saya tak masuk gear dua (sebaliknya) saya terus gear tiga.

"Insya-Allah selepas ini, kita akan ada perkara lebih agresif dilaksanakan, jadi bila saya kata saya ingin bergerak lebih laju berbanding penggal lalu tentulah dia akan memberi kesan kepada cara kita bekerja.

"Semua nak lebih (dan) akan lebih pantas dan juga kita perlu merangka pelan lebih komprehensif untuk menarik pelabur datang ke Terengganu, terutamanya dalam konteks kerajaan negeri haruslah menyediakan diri dengan suasana yang lebih mencabar dalam ekonomi yang ada sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis mengangkat sumpah Menteri Besar dan 10 EXCO Terengganu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, beliau akan mengadakan satu sesi khusus bersama pegawai-pegawai kerajaan mengenai hala tuju dan aspirasi kerajaan negeri.

"Saya akan tunggu waktu sesuai untuk mengutarakannya kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga kakitangan kerajaan serta agensi supaya mereka faham aspirasi itu," katanya.

Jawatan EXCO bukan untuk bermegah

Sementara itu, tiga daripada empat EXCO baharu menganggap jawatan disandang itu bukan untuk bermegah, sebaliknya perlu digalas penuh tanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, agenda utama selepas dilantik adalah melakukan penambahbaikan dalam portfolio yang akan diumumkan esok.

"Kita akan meneruskan kesinambungan EXCO terdahulu dan melakukan penambahbaikkan bagi membantu melancarkan agenda pembangunan seperti dirancang Menteri Besar," katanya.

ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abd Hadi yang dilantik EXCO penuh hari ini berkata, memandangkan PRN sudah selesai, maka sekarang adalah masa untuk bekerja demi kesejahteraan rakyat.

Perkara sama dikongsi ADUN TEPOH yang juga bekas Timbalan EXCO Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, yang berjanji untuk melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan baik.

Post a Comment

0 Comments