BIARPUN sibuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini, di samping bekejar pula kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada sebelah malam, namun Menteri Besar DATO’ SERI DR SAMSURI MOKHTAR sempat meluang sedikit masa. Beliau yang juga calon PAS PRK Parlimen Kemaman berkongsi pandangan dengan wakil Harakahdaily NAZIR HELMI, LANJUSOH dan NOR HAZWANI NOH ketika ditemui di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu petang tadi.
Harakahdaily: Apa reaksi Dato’ Seri setelah dicalonkan pada PRK Kemaman, adakah terkejut atau macam mana?
Dalam hidup kita ini selalu terkejut, saya bertanding di Dun Ru Rendang sehingga boleh menjadi menteri besar pun terkejut juga sebenarnya. Biasa terkejut.
Namun apabila diberikan tugas, kita buat yang terbaiklah. Untuk minta tidak apa jua jawatan. Nak minta jawatan menteri besar, apa jua tidak minta, jika diberi amanah insya-Allah kita buat yang terbaik.
Bebanan Dato’ Seri mungkin berganda apabila Menteri Besar juga seorang ahli parlimen, benarkah begitu?
Pada saya bagaimana kita uruskan, yang penting smart manage. Saya selalu sebut dalam pertemuan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK). Saya kata di negeri Terengganu ini ada lebih 1,000 JPKK kalau setiap satu JPKK saya nak jumpa setiap hari saya kena spend empat tahun. Kalau saya nak jumpa rakyat makan masa berbelas tahun setiap hari jadi bermakna kita tidak boleh buat macam itu.
Kita ada cara, cara itu diwujudkan oleh kerajaan. Kita ada JPKK yang mendapat maklumat daripada bawah (kampung). Kita ada ahli majlis yang melihat dari segi perjalanan tempat mereka. Kita ada agensi kerajaan yang kerja bersama antara Pusat dan negeri.
Isu longkang kita ada JPS, JKR semua itu adalah agensi yang diwujudkan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Tinggal lagi bagaimana kita nak guna perkara ini supaya kita lebih efisyen.
Tak perlu seorang aadun itu turun kepada semua kampung untuk tanya masalah yang berlaku, tidak praktikal dan tidak efisyen. ini yang kita kena keluar daripada cara lama 20 atau 30 tahun dahulu kepada cara yang lebih baru.
Maka tentulah kita kena ada cara penyelesaian masalah. MB di negeri itu sendiri menjadi Ahli Parlimen sedangkan semua agensi kerajaan negeri duduk di bawah Pejabat MB.
Ahli parlimen pula di bawahnya ada Adun. Ini semua adalah unit yang terlibat dalam penyelesaian masalah. Apa jua masalah yang ada di parlimen boleh diselesaikan Adun di kawasan berkenaan.
Saya kena ingat, saya juga masih lagi kena (selesaikan) masalah di parlimen lain, Dun lain. Di Terengganu ada 32 Dun bukan sekadar satu parlimen sahaja, semua sekali. Kalau saya boleh uruskan 32 Dun di negeri Terengganu, kenapa tidak boleh diuruskan hanya satu parlimen. Thats the key work.
Di Kemaman juga agak unik Dato’ Seri dan calon BN juga berasal dari Besut. Apa pandangan Datuk Seri?
Sebenarnya lagi unik, saya bertanding di Ru Rendang pun saya bukan orang sana. Saya bukan orang Marang. Ini yang kita tidak dapat tidak rakyat kena faham fungsi dan peranan sebenar ahli parlimen dan Adun.
Kalau kita tengok cara politik DAP di mana pemimpin mereka Lim Kit Siang dahulu bertanding di Tanjung, Pulau Pinang, (sedangkan) dia bukan orang Pulai Pinang, kemudian dia bertanding pula di parlimen Ipoh Timur, selepas itu dia bertanding di Johor. Begitu juga Lim Guan Eng bertanding di Kota Melaka sebelum ini tetapi kenapa orang Cina boleh (terima).
Kita kena memahami mengapa mereka boleh susun begitu. Sebab kefahaman politik masyarakat Tionghua berbeza, mereka melihat wakil-wakil yang dipilih ini ada fungsi dan peranan dia.
Peranan untuk selesaikan masalah longkang tersumbat bukan ahli parlimen atau Adun boleh selesaikan. Sedangkan kita ada majlis daerah, JPS. Apa yang berlaku sekarang rakyat pergi jumpa Adun, kemudian Adun pergi mengadu dengan JPS.
Dan kalau tidak selesai Adun mengetengahkan kepada Exco yang jaga portfolio berkaitan. Kalau masih belum selesaikan Exco pergi jumpa MB. Itu cara pengurusan, bukan semua perkara nak turun tolong korek longkang tersumbat, itu cara lama.
Kita kena sedikit demi sedikit mendidik rakyat kita supaya memahami polisi sebenar. Tidak mudah tapi boleh diusahakan, pendidikan politik yang sebenarnya.
Apa tawaran PAS dan PN untuk rakyat dalam misi mempertahankan kerusi parlimen Kemaman?
Kalau rakyat boleh faham apa yang disebut oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Tan Sri Muhyiddin Yassin ada sebut bahawa satu kebaikan yang besar akan diperolehi oleh penduduk Kemaman sekiranya PAS menang di Kemaman.
Ini kerana fungsi faderal boleh menyelesaikan banyak masalah di Kemaman. Saya rasa itu sudah cukup untuk memberi gambaran bahawa semua ini bukan semata-mata mengenai pilihan raya Kemaman sahaja.
Kemaman sepertimana saya sebut kepada jentera pilihan raya PAS. Kemaman adalah kunci untuk kebaikan Terengganu dan kebaikan di peringkat nasional kepada PN, PAS dan seluruh rakyat.
Apa pesanan Dato’ Seri untuk anak muda di Kemaman?
Kepada anak muda Kemaman saya rasa mereka cerdik, celik dengan maklumat yang ada. Teruskan celik dengan maklumat yang ada dan nilai betul-betul pilihan mereka, kerana pilihan mereka bukan sekadar untuk bersama mereka setiap hari di tempat mereka tetapi untuk membawa daerah dan negeri mereka ke tahap yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang. Itu komitmen, insya-Allah.
Apa yang menyebabkan Dato’ Seri dilihat begitu komited dengan perjuangan Tuan Guru?
Saya rasa sama dengan orang lain juga. Saya mula terlibat dengan aktiviti agama dan usrah sejak tingkatan satu ketika saya bersekolah di Kuala Terengganu dan bermula tingkatan tiga saya mula mengikuti kuliah di Rusila dan di Batu Enam, jadi bila pendedahan lebih awal ia berterusan.
Zaman keset lagi menyebabkan kita faham tentang intipati yang dibawa oleh Tuan Guru, apabila saya menjadi setiausaha politik Tuan Guru yang paling lama iaitu hampir 10 tahun, saya rasa beliau memberi satu inspirasi yang besar, bagaimana cara perjuangan PAS itu sendiri.
Perkara asas, prinsip, dasar, agamanya tetap banyak perkara yang perlu fleksibel dan memerlukan strategi, cara perlaksanaan dan ini peranan yang saya rasa saya boleh mainkan untuk membawa PAS ke tahap yang berikutnya.
Apa yang telah kita cuba laksanakan pilihan raya 2018 yang merupakan game changer PAS ketika itu saya menjadi Ketua Pengarah Pilihan Raya dan saya mengendalikan war room PAS di peringkat pusat.
Jadi kita nampak sebenarnya apakah perkara yang boleh dibuat supaya PAS daripada berada di fasa satu dan berada di fasa berikutnya dan parti arus perdana.
Ini dikongsikan kepada Tuan Guru dan beliau mengiyakan apa yang kita rancang.
0 Comments