Peta politik negara sedang dicorakkan dari Kemaman – TSAM
KEMAMAN: Rakyat hari ini dilihat terus menerus memberi kepercayaan kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) kerana diharapkan untuk kembali mengambil alih semula pentadbiran Putrajaya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat dan pendukung PAS sedang berada dalam keadaan penuh kesiapsiagaan berada dalam satu harakah perjuangan politik tanah air.
“PAS dan PN sedang mengendong, mendukung, menjunjung satu tanggungjawab yang amat besar dalam politik negara kita pada masa ini. Kita bukan hanya sekadar parti politik biasa tetapi adalah wadah yang telah berjaya dalam PRU lalu.
“Kita menjadi pengikat, payung, obor kepada perjuangan orang Melayu dan umat Islam khususnya dalam negara kita. Pilihan raya yang lalu, rakyat telah menggembleng tenaga untuk memberikan mandat kepada PAS dan PN.
“Sekarang kita menyaksikan negara sedang berada dalam satu situasi yang menuntut perjuangan yang istiqamah,” pada Ceramah Perdana dan Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK P.040 Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini malam tadi.
Oleh itu katanya, PRK tersebut tidak boleh dianggap kecil atau sambilan kerana dalam PRN dan PRK diadakan sebelum ini menunjukkan rakyat terus memberi sokongan yang semakin membesar.
Bekas Setiausaha Agung Umno itu berkata, dengan cabaran politik yang berlaku hari ini, penting untuk umat Islam negara ini memperagakan kesatuan mengukuhkan ikatan dan terus memberikan isyarat bahawasa umat Islam perlu terus diperkukuh teguhkan.
Sehubungan itu tegasnya, PRK P.040 Kemaman adalah medan sangat penting apatah lagi Parlimen ini terdapat segmen para pengundi terdiri daripada golongan cerdik pandai, teknokrat, pentadbir, usahawan, industrialis dan sebagainya.
“Segmen pengundi Kemaman adalah satu manifestasi rakyat, satu kelompok pengundi yang mencerminkan dinamik rakyat Malaysia itu sendiri. Kemaman juga satu-satunya kawasan dalam Malaysia dia ada airport, ada ECRL, ada lebuh raya.
“Kemaman pernah dinobatkan nombor dua dalam Malaysia di kalangan kerajaan-kerajaan tempatan dan Kemaman adalah salah satu daripada ‘the most vibranttown ataupun city dalam negara kita.
“Ertinya Kemaman bukan biasa-biasa. Kemaman adalah satu kawasan Parlimen yang perlu diwakili oleh seorang calon yang selayaknya dan saya yakin pucuk pimpinan telah mengambil kira dan memberi penghormatan kepada pengundi-pengundi Kemaman.
“Kerana di sini ini juga peta politik negara dicorakkan. Menunjukkan PN dan PAS ingin mereka cipta politik yang lebih baik yang lebih elok, yang lebih sempurna untuk masa-masa yang akan datang,” ujarnya.
Beliau juga secara umum menyentuh mengenai parti lawan yang disinggungnya dengan peringatan bahawa calon tidak sepatutnya tangkap muat dan menunjukkan seolah-olah semua orang telah lari, tidak mahu dicalonkan.
“Saya bersimpati dengan BN Kemaman, seramai-ramai pemimpin akar umbi Kemaman, rupanya tak ada seorang pun yang layak. Walaupun ada yang dah pengalaman jadi Menteri Besar, ada pengalaman dah jadi Menteri.
“Ada pengalaman jadi Presiden bola sepak, ada pengalaman jadi pemimpin hebat, wanita, ada pengalaman macam-macam, tapi tak berani nak tampil menjadi calon sehingga akhirnya seolah-olah mempersendakan rakyat Kemaman.
“Mengambil calon yang Umno Kemaman sendiri pun tak berapa suka. Saya tak naklah kata benda kasar-kasar. Sebab kita menghormati semua calon-calon, tetapi dia tidak melambangkan keseriusan nak ada wakil.
“Yang nak mewakili rakyat Kemaman yang sebegitu latar belakangnya. Berbeza dengan parti kita, kita memberikan keutamaan, pertimbangan yang mendalam dan berat (dalam pemilihan calon),” ujarnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS diisytiharkan sebagai calon bertanding dan bakal berhadapan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Post a Comment
0
Comments
About me
Asal
Jerteh, Besut, Terengganu
Pasangan
To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman
Bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menyempurnakan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pengkhususan Pembakaran dan Tenaga di Universiti Of Leeds, United Kingdom pada 1996.
Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang sama pengkhususan Pencucuhan dan Pembakaran Aeroenjin, Kegagalan Mesin Altitud Tinggi di universiti sama di United Kingdom pada 2001.
Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) ini turut digelar pakar aeroangkasa.
Pakar dalam penganalisis kejuruteraan aeroangkasa melayakkan beliau menerima beberapa anugerah kecemerlangan antaranya Anugerah Penyelidik Cemerlang UPM (2005) dan Anugerah Pencapaian Khas, daripada Federal Agency for Industry (ROSPROM) (2005).
0 Comments