CHUKAI: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyambut ulang tahun kelahiran malam tadi menyifatkan pemilihannya sebagai cabaran yang perlu dipikul sebaik mungkin.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS meraikan hari jadi ke-53 tahun semalam.
"Saya tak tahu hadiah hari jadi atau tidak tetapi masing-masing boleh buat tafsiran, saya serah kepada semua buat tafsiran.
"Saya anggap ia sebagai satu cabaran, …tak kira kecil atau besar pun tugas, semua adalah cabaran masing-masing dan perlu mencari jalan bagaimana untuk melaksanakan," katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang sebagai calon PRK Parlimen Kemaman bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU15.
Ini adalah penampilan pertama Ahmad Samsuri bagi merebut kerusi parlimen dan dijangka menentang calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Ahmad Samsuri berkata, fokus utama setiap wakil rakyat yang bertanding pada pilihan raya sama ada di peringkat DUN atau Parlimen adalah memberi khidmat yang terbaik.
"Tentu yang bezanya ialah daripada segi jumlah pengundi antara DUN dan Parlimen tetapi prinsipnya sama iaitu memberi khidmat terbaik dan membawa permasalahan rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kita bercakap tentang membawa permasalahan Kemaman untuk dibawa ke peringkat nasional dan sebagai Menteri Besar, saya percaya bukan sekadar (isu-isu) Kemaman (tetapi) saya perlu membawa isu-isu berkait di seluruh Terengganu, jadi tentulah peranannya besar yang boleh dimainkan dan sangat memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau secara peribadi menghormati dan tidak pernah memandang rendah mana-mana calon yang bertanding pada pilihan raya.
"Tidak ada isu kita memandang sebelah mata sahaja calon-calon ini dan kita tidak boleh selesa (walaupun calon Barisan Nasional bukan orang politik).
"Jentera PAS telah digerakkan sejak beberapa minggu lalu untuk bekerja di bawah bertemu dengan pengundi dan Insya-Allah ini akan berterusan hingga ke garis penamat pada 2 Disember nanti," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman Terengganu pada 2 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.
0 Comments