CHUKAI: Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bukan saja mahu membawa mesej rakyat Kemaman semata-mata, malah seluruh rakyat Terengganu ke Dewan Rakyat jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember ini.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, Kemaman juga adalah kunci Terengganu Baharu pada masa akan datang.
Beliau berkata, Kemaman adalah sebuah daerah di Terengganu yang ada di hadapan daripada segi pihak berkuasa tempatan, hasilnya, fasiliti yang ada dan operasi-operasi syarikat yang ada di Kemaman ini lebih banyak berbanding daerah lain.
"Di Kemaman terdapat petrochemical, ada bioteknologi, ada pelabuhan dan macam-macam lagi. Tidak cukup dengan pencapaian itu saja, nanti ada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Kalau kita tidak susun dengan baik dan kita percaya ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sudah memainkan peranan untuk susun keadaan ini, tapi kita perlu membawa ke depan.
"Bermula di Kemaman inilah kita akan lebarkan ke seluruh negeri Terengganu, itu yang saya kata kuncinya di Kemaman," katanya pada Program Orang Kemaman Dr Sam Nok Juppe di Kemaman Arena Square di sini, hari ini.
Pada program itu, Kamaruzzaman Abdullah bertindak sebagai moderator selain Ketua Pemuda PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azzamuddin.
Ahmad Samsuri berkata, selepas dimaklumkan menjadi calon, beliau mula melihat di sana (Dewan Rakyat) ada tugas dan tanggungjawab yang lebih berat.
Beliau berkata, tugasnya bukan sekadar rakyat Kemaman, bahkan rakyat Terengganu untuk membawa mesej daripada Kemaman dan Terengganu ke Dewan Rakyat.
"Tugas jadi Ahli Parlimen atau ADUN tugas yang sangat berat dan bukan tugas main-main. Saya percaya untuk daerah Kemaman kita sudah ada empat ADUN, masing-masing sudah mainkan peranan sebagaimana sepatutnya.
"Ahli Parlimen ada peranannya tersendiri dan Ahli Parlimen yang lepas-lepas sudah memainkan peranannya yang tersendiri.
"Sama juga ADUN sebelum ini, kita ada Air Putih, kita ada Kemasik, kita ada Kijal dan kita ada Chukai...Kemaman ini sudah memainkan peranan masing-masing.
"Peranan yang dibuat mereka yang lepas-lepas tidak kira dari parti mana, ada peranan masing-masing, ada sumbangan masing-masing, tinggal lagi adalah apa bezanya bila kita membuat pilihan yang baru dalam PRK, 2 Disember ini.
"Bukan atas nama saya, pada saya ini adalah suatu langkah yang sangat penting untuk Kemaman dan Negeri Terengganu," katanya.
0 Comments