Dr Sam Tidak Perlu Letak Jawatan - Abdul Hadi


KEMAMAN, 18 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu meletakkan jawatannya setelah dipilih sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi malah Menteri Besar juga boleh memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama.

Katanya, beliau sendiri pernah menjadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen (Marang) iaitu pembangkang (1999). 

"Ada beberapa Menteri Besar yang menjadi ahli Parlimen seperti Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Pulau Pinang (Chow Kon Yeow).

"Tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan. (Saya percaya) kita akan lihat perubahan politik akan berlaku.

"Kita pilih Ahmad Samsuri kerana nak menambahkan kekuatan Perikatan Nasional. Insya-Allah, parti akan berusaha mendapat majoriti lebih besar lagi berbanding PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Proses Penamaan Calon Bagi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama di Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri secara berseloroh  menyifatkan kenyataan Menteri Undang-Undang itu tidak berasas.

"Mungkin (Datuk Seri) Azalina tengah pening dan stress ketika memberi kenyataan itu.

"Saya percaya dapat mengurus dan mentadbir negeri dengan baik dan membawa suara rakyat ke Dewan negara jika diberi peluang," katanya.

Semalam, Azalina dalam satu program berkata, sekiranya benar Ahmad Samsuri mahu manabur baktinya kepada penduduk di Parlimen Kemaman, beliau tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar dan mendesaknya meletakkan jawatan tersebut.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, PAS juga dilihat ketandusan pemimpin apabila mencalonkan Ahmad Samsuri untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK tersebut.

Post a Comment

0 Comments