EPIC, lima rakan industri perkukuh ekonomi Terengganu


CHUKAI: Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (Kumpulan EPIC), anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu memeterai kerjasama strategik bersama lima rakan industri, dalam usaha memacu kecemerlangan kumpulan itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili, berkata kesemua memorandum ditandatangani hari ini membolehkan pihaknya menjalin kerjasama yang lebih berstruktur dengan organisasi terbabit.

"Setiap satu mencakupi aspek-aspek advokasi, pembangunan kapasiti dan sokongan teknikal mengikut kepakaran masing-masing," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Strategik Antara Kumpulan EPIC dan Lima Pemain Industri di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama pertama membabitkan Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPMSSB) dan BOID Global bagi menyediakan perkhidmatan asas bersesuaian dengan sektor marin serta minyak dan gas.

Kerjasama kedua pula melibatkan Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) dan Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) bersama GSPARX bagi pelaburan dan pemasangan panel solar di bumbung fasiliti bangunan, gudang dan hartanah syarikat.

Selain itu, katanya kerjasama ketiga adalah antara KPKSB dan Eastern Steel Material Handling Sdn Bhd (ESMH) untuk membekal dan menyelenggara dua kren dermaga tambahan di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman, manakala kerjasama keempat antara KPKSB dan JXR Manufacturing menjalin kerjasama bagi pembinaan tali sawat penyampai dan penggunaan pelabuhan pada masa hadapan.

Dalam pada itu Kumpulan EPIC turut memeterai kerjasama bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi perkhidmatan integrasi media dan komunikasi bersepadu.

Majlis itu dihadiri Menteri Besar yang juga Pengerusi EPIC Bhd, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang juga Pengarah EPIC Bhd, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Turut hadir, Pemangku Ketua Komersil, Jabatan Komersil BERNAMA, Mastura Hassan serta Pengurus Jualan TV, Jabatan Komersil BERNAMA, Mohd Farhan Mustafa.

Dalam perkembangan sama, Muhtar berkata pemasangan dua kren gantri baharu di Dermaga Timur yang akan mula beroperasi pada suku pertama tahun depan, akan membolehkan KPKSB memaksimumkan kapasiti pemunggahan kargo di dermaga dan mengurangkan tempoh masa kapal berada di kawasan dermaga serta tempoh masa menunggu untuk kapal masuk ke dermaga.

"Selain itu, penggunaan kren gantri yang baharu ini juga bakal meningkatkan indeks prestasi pengendalian pelabuhan (Port Performance Indicator) dan seterusnya meningkatkan jumlah ketibaan kapal di kawasan pelabuhan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata perjanjian dimeterai selari dengan usaha kerajaan negeri memaksimumkan potensi Pelabuhan Kemaman untuk muncul sebagai hab maritim serantau.

"Ia juga bersesuaian dengan kerancakan semula industri perdagangan dan perkapalan global setelah beberapa tahun bergelut dengan krisis COVID-19," katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, pemasangan kren gantri baharu dapat meningkatkan kapasiti Dermaga Timur dan memberi kelebihan kepada pemain industri untuk beroperasi di kawasan berkenaan, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Post a Comment

0 Comments