Dr Samsuri boleh bawa isu Terengganu ke Dewan Rakyat


KEMAMAN: Menampilkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bukan satu perkara yang pelik.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekarang di parlimen terdapat tiga menteri besar dan ketua menteri.

“Kalau kita lihat ia bukan perkara yang pelik, sebab di parlimen sekarang pun kita ada tiga ketua kerajaan negeri.

“Selangor dan Negeri Sembilan menteri besar mereka juga sebagai ahli parlimen, Pulau Pinang sama, ketua menteri dan juga ahli parlimen.

“Jadi bila kita umum MB Terengganu sebagai calon ia bukan perkara baharu,“ katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK Kemaman, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini malam tadi.

Menurut beliau, sekiranya kerusi parlimen Kemaman dimenangi oleh Dr Samsuri ia memudahkan lagi maklumat negeri untuk dibawa ke peringkat persekutuan.

“Ada kelebihan, dan kita yakin Dr Samsuri peranan beliau sekiranya dipilih nanti boleh melonjakkan lagi peranan Terengganu.

“Manakala dari segi pentadbiran saya rasa banyak perkara yang beliau boleh jawab secara langsung di parlimen, insya-Allah,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata, keputusan PAS memilih Dr Samsuri yang juga Adun Ru Rendang sebagai calon PRK parlimen Kemaman bukan bermakna parti itu ketandusan calon untuk diketengahkan.

“Bila kita umumkan saya tengok reaksi daripada orang ramai sangat positif, bukan soal tiada calon.

“Saya sebut tadi ada lima calon yang diangkat dan kita menilai calon-calon tersebut, cuma bila kita letak calon banyak faktor kita ambil kira bukan sahaja peluang untuk menang tapi peranan lebih besar boleh dimainkan.

“Insya-Allah, berdasar maklumat di bawah di Kemaman membabitkan golongan profesional, rakyat biasa dan pertengahan, mereka meletakkan Dr Samsuri sebagai pilihan pertama.

“Walaupun persaingan itu agak sengit tetapi calon yang (kita ketengah) mampu membawa agenda Terengganu di peringkat persekutuan. Insya-Allah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berharap majoriti yang lebih besar akan diterjemah di PRK kemaman pada 2 November ini.

“Insya-Allah sebagaimana yang diumum oleh pengarah pilihan raya malam tadi, yang kita target lebih kurang 30,000 majoriti. Ini target kita berusaha ke arah itu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments